Semalam, Malaysia dikejutkan dengan berita orang awam temui sekujur tubuh pelajar perempuan Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) yang dibunuh sebelum mayatnya diinggalkan di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, Port Dickson.
Jasad mangsa, Nur Alya Damia sudahpun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang sekitar jam 6.50 petang semalam. Syukurlah kerana pihak polis sudahpun berjaya menahan bekas teman lelaki pelajar ini yang juga suspek kejadian.
Seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Mohd Faisal Mohd Noor, suspek berusia 19 tahun ditangkap di rumahnya di Taman PD Idaman, Lukut. Yang mana jarak kediaman suspek itu kira-kira satu kilometer dari tempat mayat ditemui.
Tambah beliau, selepas mayat Nur Alya Damia Hairi, 19 ini ditemui oleh penduduk sekitar jam 10.30 malam semalam, kira-kira 15 minit selepas itulah suspek yang juga penuntut KVPD ditahan.
Dari siasatan awal polis mendapati mangsa keluar dari rumah sewanya dekat Taman PD Idaman. Selepas itu suspek menjemput mangsa menaiki Proton wira dan mereka bergerak ke satu lokasi berdekatan taman perumahan itu.
“Berlaku perselisihan faham di dalam kereta sehingga mangsa dicekik oleh suspek selama beberapa minit yang menyebabkan kematiannya,” katanya.
Tambah Mohd Faisal, apabila suspek sedar yang Nur Alya Damia sudah meninggal dunia, suspek pula dalam ketakutan dan mencampakkan mayat remaja perempuan itu di tepi jalan di Taman PF Permata sebelum ditemui orang awam.
Sambung beliau lagi kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson untuk mendapatkan perintah reman.” ujarnya ketika ditemuramah pemberita semalam.
Semalam menyaksikan saat yang paling menyayat hati buat keluarga allahyarham Nur Alya Damia. Pelajar perempuan tahun akhir Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian KVPD ini hampir saja menamatkan pengajiannya. Namun, belumpun sempat dia membalas jasa mak ayah, allahyarham sudah dibunuh.
Jenazah allahyarham tiba ke kediaman keluarganya buat kali terakhir di Kampung Idaman kira-kira jam 4.50 petang semalam. Yang mana, ahli keluarga, sanak saudara malah jiran tetangga telah pun berkumpul untuk melihat allahyarham buat terakhir kalinya.
Kemudian, jenazah dibawa ke Masjid Al-Falah, Kampung Idaman Klang untuk disolatkan. Sekitar 5.30 petang, jenazah tiba di tanah perkuburan untuk urusan pengebumiannya.
Sumber/Foto : Harian Metro, Berita Harian
Baca Sini : “Tak Sangka Kami Menjemputnya Dalam Keadaan Macam Ini” Bapa Nuralya Damia