Hentikan politik menghasut, jangan usik isu perpaduan di Tik Tok. Negara boleh rosak – YB Fahmi Fadzil. Setiap orang mempunyai perbezaan pendapat dan ia harus diraikan. Walau berbeza pendapat ia tidak harus sampai perpaduan negara tergugat.
Kala ini, kelihatan ramai anak-anak muda yang memilih medium Tik Tok untuk menyuarakan pandangan mereka tentang sesuatu isu khususnya lanskap politik negara tanpa menyedari ia menyentuh isu sangat sensitif iaitu perpaduan yang dikekalkan selama kita merdeka ini.
Sebelum bermulalah pilihanraya Sabtu lepas, bertebaran di Tik Tok, barang siapa yang mengundi Pakatan Harapan, negara akan kembali di perintah oleh golongan anti islam termasuk anak-anak gadis akan kembali memakai skrit di sekolah “pinafore tunic” jika mereka menang.
Jelas pemikiran sebegini sangat bahaya kerana anak-anak muda tidak mengetahui undang-undang negara dan tidak dapat membezakan antara fakta dan realiti.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :– "Wahai Kaum Lelaki Jangan Ingat 100 Peratus Ketidaksuburan Terletak Pada Isteri.." Dr Say Shazril
Anak Sulung Umur 5 Tahun Ke Bawah, Ini Fasa Struggle Dan Kelam Kabut Kaum Ibu
Mingguan Wanita menembual YB Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai yang berjaya mengekalkan kemenangannya di kawasan tersebut untuk penggal ke dua.
Menurut YB Fahmi, secara jujurnya dia risau. Risau kerana fakta yang diwar-warkan di media sosial itu tidak tepat sama sekali.
Katanya kita adalah negara berpelembagaan dan semuanya sudah termaktub dalam undang-undang yang tidak boleh disentuh.
“Masa yang sama saya risau kerana anak-anak muda ini tidak tahu apa implikasi bila mereka membuat naik konten begini. Negara ada undang-undang.
“Sesiapa yang bertindak sebagai penghasut berdasarkan pengucapan awam atau memuat naik konten yang mampu menganggu gugat keamanan boleh disiasat dan di dakwa mengikut subseksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) kerana menghasut dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana sengaja mengaibkan dengan niat mahu membangkitkan pecah keamanan.
Masa yang sama jelas Yb Fahmi, siasatan dan dakwaan boleh dibuat mengikut Seksyen 505 dan Seksyen 506 Akta 574, masing-masing kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam serta menakutkan secara jenayah.
“Inilah yang saya risaukan kerana anak-anak muda ini memuat naik konten menghasut tanpa tahu implikasinya. Boleh dipenjara tak lebih dua tahun. Mereka tak faham undang-undang dan hanya mengikut sahaja.
“Jujur saya sangat kesal dan kecewa membaca apa yang sedang berlaku ini. Boleh jahanam masa depan negara akibat fitnah politik yang mencemari pemikiran anak-anak. Hentilahlah isu begini,”katanya.
Dalam pada itu, Fahmi mendesak pihak Tik Tok untuk mengawal konten khusus melibatkan isu perpaduan.
“Sebagai mana mereka menyekat isu lucah, isu perpaduan juga mesti dihentikan segera. Saya sangat takut kerana banyak isu seperti peristiwa 13 Mei dibangkitkan semula, hal bangsa diperkatakan dan kita harus tolak pemikiran extremis begini. Malaysia terkenal kerana keamananya yang dicapai sebelum ini.
“Tapi kalau isu perkauman sentiasa dimainkan, ia umpama nanah. Duduk diam dan sakitnya terasa sedangkan perpaduan tidak boleh diganggu gugat. Saya juga meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi memantau hal ini sebaik mungkin agar perpaduan kita tak terjejas dengan hasutan begini.
“Semalam pun, ketua polis negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan beberapa kandungan sensitif dan menyentuh sentimen perkauman dimuat naik di beberapa platform media sosial, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), pada Ahad.
"PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh menyebabkan kegusaran awam.
“Sebab itu saya risau kerana kejahilan memuatnaik konten berbaur perkauman ini mengakibatkan masa depan negara musnah dan masa depan pelakunya juga musnah kalau di penjarakan.
“Hentikan hal ini, fikir dahulu sebelum post. Itu saya minta,”katanya mengakhiri perbualan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.