Hebatnya Kuasa Panggilan ‘SAYANG’ Dekat Anak Usia 6 Tahun, Ayah Ini Buktikan Dalam Masa Sebulan

Percaya tak dengan satu panggilan yang baik-baik untuk anak kecil, mak ayah akan rasa bahagia dengan kesan panggilan baik lagi manis itu kelak. Inilah bak kata Khairul Hakimin Muhammad, Bapa Viral Kebangsaan yang sedang mendalami pembacaan buku keibu bapaan, ‘Propethic Parenting For Girls’.

Betapa hebatnya kuasa memanggil di hati seseorang. Lalu, dia mencuba mengubah panggilan untuk anak perempuannya, Ain kepada SAYANG. Setiap hari dia memanggil Ain dengan panggilan itu. Selepas sebulan, kesayangannya itu menyedarkannya tentang sesuatu.

Suatu hal yang selama ini tak disedari kerana kesibukannya bekerja. Dan inilah yang membuatnya terpanggil untuk berkongsi dengan para followernya.

Tukar Reward Anak Dengan Panggilan SAYANG

Sebabkan saya lebih sibuk berbanding orang rumah, anak saya memang banyak melekat dengan mama dia.

Nak tidur, nak susu, nak makan, nak tanya tentang kerja mewarna, mengeja dan belajar, semua dengan mama dia. Semua.”

“Saya hanya dapat momen ‘reward’ seperti ajak pergi kedai, pergi taman dan berjalan bersama. Itu pun jika beliau ada mood.”

Baru-baru ini saya terbaca tentang menukar panggilan nama anak-anak kepada perkataan yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Jadi dalam sebulan ini saya cubalah tukar dari panggil ‘Ain kepada sayang.

IKLAN

Setiap kali dia panggil “abah,” saya jawab “ya sayang.”

Dan ianya berlarutan hingga ke hari ini.

Abah Selalu Tak Ada, Tapi Selalu Cakap SAYANG

Kelmarin, hari lahir beliau. Saya sengaja cakap “‘Ain sayang, ciumlah pipi abah, kan hari ini birthday ‘Ain.”

Lalu dia cakap “‘Abah, ‘Ain baru tahu abah sayang ‘Ain.”

Saya pun pandang muka dia. Dia tersengih-sengih. Budak kecil yang baru masuk 6 tahun ini masih dengan lagak kanak-kanak yang comel.

Aik, memang abah sayang ‘Ain, ‘Ain kan anak abah.” Saya jawab lagi.

“Itulah. Abah kan sibuk, selalu tak ada. Tapi abah selalu cakap sayang, sayang, ‘Ain jadi rindu dekat abah.”

Saya terdiam. Lalu dia datang ke pipi saya dan cium. Saya membalas dengan ciuman yang sama di pipinya.

Hebatnya Kuasa Memanggil Di Hati Seseorang

Sehingga hari ini saya terfikir hebatnya kuasa memanggil di hati seseorang. Patutlah dalam agama kita pun, memanggil (atau panggilan) mesti (atau wajib) datang dalam bentuk kebaikan atau kesenangan kepada yang dipanggil. Tak boleh sebarang.

Kesannya mendalam. Memberi titik istimewa yang berbekas dalam sebuah hubungan. Lebih lagi ianya dalam bentuk keluarga.

Saya habiskan membaca ‘Propethic Parenting For Girls’ dengan gembira. Sesungguhnya, nak melawan rasa bersalah terhadap ketidakmampuan kepada sesuatu adalah dengan ilmu.

Kadang-kadang, sebab saya terlalu sibuk, saya pulang ke rumah kemudian meluahkan dengan melihat anak tidur. Esoknya beliau bangun, kami bersalam, itu sahaja. Hari ini saya bersyukur dapat belajar sesuatu tentang cara memanggil.

Sungguh, pada zaman ibu ayah kita dahulu, panggilan manja dalam bentuk kasih sayang ini sudah terbiasa. Kita sahaja yang tidak mahu sambung-sambungkan kerana canggihnya nama anak-anak.

Dan paling saya teruja ialah ada beza mendidik yang lelaki dengan perempuan. Supaya kasih sayang yang terluah kepada mereka itu menjadikan mereka ini jejaka dan juga wanita hebat di luar sana.

Kawan-kawan,

Keluarga ini anugerah. Tak dapat kita nak beli di mana-mana pasar atau kedai. Ianya pemberian dari Tuhan. Jaga, simpan, pelihara, didik dan asuh supaya ia kekal jadi hadiah yang diberi baik-baik kepada kita.

Begitulah.

Semoga selepas ini mak ayah akan memanggil anak-anak dengan panggilan yang baik-baik. ‘Sayang’, ‘comel’ ‘manja’.. Ini antara contoh. Selebihnya, terpulang pada mak ayah mahu pilih panggilan yang mana.

Sumber/Foto : Khairul Hakimin Muhammad