Siapa yang tidak terhibur dengan watak Lucy dalam sitkom popular era 90-an Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang bersahaja mencuit hati. Nama pelakon Angeline Tan Yoke Yeah yang memegang watak Lucy tetap melekat sehingga dia lebih dikenali dengan nama tersebut berbanding nama sebenarnya.
Hari ini, pelakon yang telah memeluk agama Islam dan dikenali sebagai Ardini itu sah menjadi suri hati pelakon dan pengarah senior, Sabri Yunus. Sabri telah dinikahkan dengan hanya sekali lafaz oleh jurunikah yang juga merupakan Mufti Perlis, Datuk Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Dr Maza.
Majlis pernikahan pasangan tersebut turut dikongsikan menerusi sesi siaran langsung di akaun Facebook, Dr Maza. Angeline atau lebih dikenali sebagai Lucy menerima mas kahwin berupa seutas rantai emas.
Bintang Pokya Cong Codei itu kelihatan segak mengenakan baju Melayu putih di samping suri hatinya yang anggun menggayakan baju kurung moden warna senada.
Difahamkan majlis akad nikah itu hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua pengantin. Akui Sabri, mereka sudah tiga tahun merancang untuk mendirikan rumah tangga namun menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam.
Pelakon dan pengacara Issey Fazlisham turut memuat naik sekeping gambar bersama pengantin baru usai majlis pernikahan berlangsung.
Menyingkap perkenalan dengan Sabri, mereka bergandingan dalam drama Pak Din KK sebaik Angeline menyertai sebuah syarikat produksi cina pada 1992.
Suaminya yang memegang watak bos, manakala dirinya menggalas peranan sebagai kerani dianggap sebagai guru pertama dalam arena lakonan memandangkan dirinya ketika itu baru berjinak-jinak sebagai pelakon.
Setahun kemudian mereka bersatu dalam sitkom arahan Othman Hafsham, Pi Mai Pi Mai Tang Tu
sehingga drama pentas itu berakhir pada tahun 2000.Namun, keakraban antara Angeline yang hingga kini kekal dipanggil Lucy, sementara Sabri selaku penggalas watak Wan Ismail Golok terus berkekalan hingga bergelar suami isteri.
Sumber: Facebook Dr Maza & Media Hiburan.