Hati-Hati Kawan Yang ‘Fake’, Depan Baik Belakang Canang Buruk Kita

Hati-hati  ye..termasuk dalam soal memilih kawan. Dalam hidup, selain keluarga, pastinya kita memerlukan insan-insan bergelar kawan atau sahabat. Tak kira kawan setaman perumahan, kawan sepejabat, kawan sepersatuan, kawan panjat gunung dan macam-macam lagi.

Hati-Hati Bila Nak Rapat

Ada orang kata, tak elok memilih kawan. Bahkan dengan anak-anak pun kita sering menasihati perkara yang sama. Nak berkawan jangan pilih-pilih. Tak baik.

Namun, dalam situasi kita ini, memilih dalam erti kata pandang orang itu dari segi luaran saja. Contoh bila dia berpangkat, ada kuasa, ada harta; barulah kita nak berkawan. Yang macam tu memang tak patutlah.

Bila berkawan, kita tak boleh pandang kelebihan material yang dia ada. Tapi kepada hati dan sikapnya. Apakah dia seorang yang ikhlas, jujur dan amanah dalam persahabatan? Yang boleh kita ‘masuk’ bila berborak. Yang ambil berat bila kita ada masalah.  Bukan kawan yang ada ketika kita senang, ketika sedang di puncak kejayaan.

Hati-Hati Kawan Yang ‘Fake’, Depan Baik Belakang Canang Buruk Kita

Kawan Biasa Atau Kawan Rapat

Berkawan boleh dengan semua orang. Tapi nak berkawan rapat, kita kena pilih juga. Kenal dulu hati budinya. Apakah dia juga ikhlas nak berkawan dengan kita? Apakah dia jujur memberikan nasihat bila kita berkongsi masalah dengan dia? Yang Penting, apakah dia mampu menjaga rahsia kita?

Ada kawan yang boleh dikategorikan kawan biasa. Kita boleh keluar bersama dan berbual-bual. Tapi tidak sampai berkongsi masalah peribadi dengannya. Tapi kita okay saja dengannya.

Ada kawan yang memang kita percaya. Walau pun mungkin tak hari-hari jumpa, TAPI DIA yang akan kita cari bila ada masalah.

Hati-Hati, Kenal Lama Tak Semestinya Boleh Percaya 100%

Ada orang yang mungkin sudah lama berkawan dan dia mempercayai rakannya itu 100%. Segala rahsia termasuk rahsia rumah tangga akan dikongsikan bersama rakan itu. Baginya, itulah sahabat dunia akhiratnya. Banyak perkara dikongsi bersama yang mungkin dengan keluarga sendiri pun dia tak kongsi.

IKLAN

Rakan itu yang menjadi tempat dia meminta pandangan dan nasihat. Malangnya tanpa sedar, rahsianya diketahui orang lain. Bayangkan apa perasaan bila dikhianati rakan yang selama ini dipercayai?

Baca artikel menarik lain di sini:

Berkawan Dengan SEMUA Orang Biarlah Seikhlas Hati, Bukan Atas Kepentingan SENDIRI

Didik Anak Untuk Lebih Percaya Pada Keluarga Berbanding Kawan Sebaya

Jangan lupa ikuti Mingguan Wanita di instagram

IKLAN

Tak IKHLAS Dan Cemburu Dalam Diam

Hati orang kita tak boleh baca. Mungkin di depan kita, dia seorang sahabat yang sangat memahami, yang sentiasa ada di sisi saat kita memerlukan. Namun kita perasan, ada kalanya nasihat yang diberikan itu hanya memburukkan keadaan.

Misalnya bila bertengkar dengan suami, kita luahkan perasaan padanya. Dia pula bersikap seolah-olah ‘batu api’, seolah menghasut kita memanjangkan pertengkaran dengan suami. Kalau seorang sahabat yang baik, apa jua masalah kawan, kita kena ada sikap neutral. Sudahlah kita hanya mendengar luahan dari kawan kita saja. Di pihak suaminya kita tak tahu. Jadi, seeloknya kita bertindak pendamai. Alah, gaduh suami isteri biasa.

Lainlah kalau rakan itu sudah mengalami keganasan rumah tangga, asyikdipukul suami bila bertengkar. Ha..kalau kes macam itu, elok kalau ‘dihasut’ kawan itu untuk ambil tindakan sewajarnya seperti buat report polis. Ini sudah jadi keganasan rumah tangga.

Cemburu Kebahagiaan Rakan Sendiri

Siapa tahu apa yang ada di dalam hati seseorang. Misalnya kes yang melibatkan suami dirampas kawan sendiri. Bagaimana itu terjadi? Bagaimana sanggup memusnahkan kebahagiaan rakan sendiri?

Mungkin selama ini, bila mendengarkan kebahagiaan yang dikongsikan, dalam diam dia rupanya cemburu dan ingin mengecap bahagia itu. Bukan dengan lelaki lain, Tapi SUAMI RAKAN itu sendiri!

IKLAN

Hati-Hati Bila Kongsi Masalah Rumah Tangga

Sebab itu, jangan kongsi hal rumah tangga kita sewenangnya walau pun dengan rakan-rakan yang kita percayai.Boleh nak cerita, tapi kalau boleh, simpan sedikit untuk diri sendiri saja. Hubungan tengah baik okay. Takut nanti kita bergaduh dengan persahabatan putus, nanti dijaga semua rahsia rumah tangga kita pada orang lain. Naya je kan.

Pilih Yang Betul-Betul Layak

Tak mengapa kita tak ramai kawan, tapi cukuplah ada beberapa orang yang kita sudah kenal hati budinya. Yang ikhlas berkawan, tak bersikap ‘batu api’ dan jujur dalam memberikan nasihat.

Sebab itu, ada rakan yang berjauhan, jarang berjumpa. Namun kita tahu dia sentiasa ada di saat kita paling memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah. Pendapatnya tulus dan boleh dipercayai. Carilah sahabat yang sebegitu dan bila dah jumpa, hargai dia. Kita juga, kenalah menjadi sahabat yang jujur, ikhlas dan amanah dalam persahabatan ye…

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI