Rumah jadi sunyi sepi tanpa gurau mesra atau berlawak dari mak ayah dan anak-anak. Cara inilah boleh mengeratkan kasih sayang keluarga.
Tapi kena ingat, mak ayah nak berlawak, jangan main hentam saja, semua benda keluar dari mulut. Ada sesetengah jenaka yang mak ayah kena elakkan. Ada baik buruknya.
Inilah antara yang ditekankan oleh Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy tentang lawak jenaka yang patut mak ayah elakkan untuk dijadikan panduan bersama.
Humor atau jenaka dan gurauan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ahli keluarga perlu sering ketawa bersama-sama kerana ia boleh meredakan ketegangan atau stres yang bukan sahaja dialami oleh ibubapa, malah juga oleh anak-anak. Ketawa merembeskan hormon endorfin yang menenangkan dan mengurangkan hormon stres cortisol.
Suasana yang sentiasa serius, penuh kritikan dan kurang senyuman di antara ahli keluarga menambahkan lagi tekanan sedangkan rumah dan keluarga sepatutnya menjadi tempat yang mewujudkan ketenangan.
Jenaka juga boleh menjadi medium untuk menyampaikan nasihat dengan cara yang ringan kerana ia mudah diingati oleh anak-anak.
Walau bagaimanapun, terdapat 4 jenis JENAKA TIDAK SIHAT yang perlu dielakkan oleh ayah dan ibu:
1) JENAKA LUCAH.
Jenaka sebegini tidak seharusnya dianggap lucu kerana ia akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak-anak.
Ads
Anak-anak akan menjadi tidak sensitif kepada kelucahan tutur kata dan perbuatan kerana mereka sudah ‘desensitised’ atau sudah lali dengannya.
Pantau dan tapis juga lawak jenaka di media yang ditonton oleh keluarga dan anak-anak. Ramai pelawak yang suka menggunakan unsur lucah untuk meraih populariti.
2) BERBOHONG SAMBIL BERJENAKA.
Ramai yang menganggap berbohong dalam jenaka itu hanyalah satu gurauan yang tidak perlu diambil serius.
“Alaa, ayah gurau saja. Tak betul pun. Ayah main-main saja.”
Elakkanlah dari berbohong ketika berjenaka. Cakaplah perkara yang benar dan jujur dalam jenaka. Ini kerana terdapat hadith hasan yang mengingatkan tentang perkara ini.
Daripada Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Celakalah kepada manusia yang berkata dengan sesuatu perkataan yang dusta untuk membuatkan manusia ketawa. Celakalah dia, celaka lah dia.
[Jami’ at-Tirmizi, Kitab az-Zuhd, hadis no: 2315, Imam at-Tirmizi menyatakan ia hadis hasan]
Beringatlah ketika berjenaka dengan anak-anak.
3) JENAKA DENGAN MENTERTAWAKAN ORANG LAIN.
Jenaka yang sebegini tidak mengajar anak erti hormat-menghormati sesama manusia. Sebaliknya ia mengajar anak untuk memandang rendah kepada orang lain.
Jenaka sebegini juga boleh menjadikan anak seorang pembuli yang suka mengejek dan mentertawakan orang lain tanpa rasa bersalah kerana dia sudah biasa.
Ada juga yang menjadikan rupa paras dan fizikal seseorang sebagai satu gurauan. Ini adalah sesuatu yang salah sama sekali. Fizikal manusia adalah ciptaan Allah SWT. Menjadikan fizikal orang lain sebagai satu bahan jenaka dalam keluarga membuatkan anak lupa tentang kebesaran Allah sebagai Pencipta yang sempurna semua ciptaanNya.
Berhati-hatilah.
4) JENAKA TENTANG POLIGAMI.
Saya sering melihat orang lelaki yang berpangkat seorang ayah dan juga datuk suka bergurau soal poligami sehinggakan kadang-kadang ia berbau lucah.
Poligami bukanlah sesuatu yang boleh dibuat bahan gurauan. Hormatilah wanita dan kanak-kanak perempuan dalam keluarga anda. Hormatilah ibu anda, isteri anda, kakak anda, adik perempuan anda dan anak perempuan anda. Janganlah bergurau soal poligami sehingga merendah-rendahkan martabat wanita dan menyebabkan mereka merasa malu.
Ads
Hentikanlah jenaka yang tidak lucu ini.
Amalkanlah jenaka atau humor dalam keluarga kerana ia mewujudkan ketenangan dan mengeratkan perhubungan kekeluargaan. Namun berjenakalah dengan bijak dan bermoral kerana setiap sesuatu yang keluar dari mulut ibubapa akan menjadi ikutan dan amalan anak-anak.
Mingguan Wanita : Gurau senda, lawak jenaka inilah yang merapatkan hubungan keluarga. Tapi jangan tersalah buat lawak, takutnya jadi ikutan anak-anak.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Wanita penuh dengan emosi dan lebih cenderung untuk mempamerkan apa yang mereka sedang rasaikan pada pasangan mereka. Dengan harapan, pasangan atau orang yang paling hampir dengan mereka akan faham apa yang mereka rasa.
Sebagai suami, pernah tak isteri anda merajuk? Puncanya anda sendiri pun tak dapat kesan. Apakah anda hendak biarkan saja atau memujuk isteri yang sedang merajuk?
Faham
Sebagai suami, anda tentu sudah mulai faham (walau pun belum sepenuhnya) bila isteri anda sedang merajuk. Mungkin dia banyak diam. Kalau ditanya, sepatah saja dijawab. Kemudian, sengaja menyibukkan diri dengan kerja rumah dan anak-anak, seolah-olah menggelakkan diri daripada bercakap/ bermesra dengan anda.Jika begitu, cubalah cari puncanya mengapa isteri merajuk. Barulah anda boleh pujuk.
Selain itu, terdapat cara-cara tertentu untuk memujuk isteri. Setiap wanita ada cara nak melembutkan hati mereka.
Tahu ‘Kelemahan Isteri’
Di sini, apa yang dimaksudkan dengan ‘kelemahan’ isteri adalah apa yang dia suka atau sesuatu yang boleh buat dia ‘cair’. Ada wanita yang memang sukakan kejutan, jadi buatlah kejutan untuknya. Contohnya dalam diam, tempah jambangan bunga dan minta dihantar ke rumah. Pasti senyuman akan mekar di bibirnya umpama kuntuman bunga yang diterimanya itu.
Ada juga yang bersikap praktikal, cara untuk memujuknya pun mudah saja. Bila anda bantu dia uruskan kerja-kerja rumah yang belum sempat disiapkan, pasti dia akan rasa gembira. Sedikit demi sedikit, hampiri dia, dan tanya apa yang buat dia merajuk. Bila hati dan gembira, tentu dia akan berkongsi dengan anda.
Ingat wahai suami, jika puncanya disebabkan anda, minta maaf jika perlu. Tak jatuh maruah suami bila minta maaf dengan isteri. Berikan penjelasan sewajarnya.
Sekadar Nak Perhatian
Kadangkala pening juga kepala bila punca rajuknya hanya perkara-perkara remeh. Contohnya anda tidak memeluknya seperti biasa bila pulang kerja. Kalau begitu, lekas-lekas bagi pelukan dan ciuman mesra untuknya. Jelaskan juga, di saat itu anda terlalu penat dan ‘terlupa’. Sebenarnya itu adalah tanda dia inginkan perhatian daripada anda, suaminya. Anggaplah dia rindu bila seharian tidak berjumpa kerana anda bekerja. Sweet bukan?
Apa pun, jangan biarkan rajuk isteri tidak dipujuk. Ia boleh menjadi satu bebanan emosi di hatinya. Lain pula jadinya nanti!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Salah satu cabaran bila jadi mak-mak adalah nak bagi anak kecil makan ubat tanpa menolak, silap gaya boleh keluar balik ubat atau mungkin tumpah sebab kena tolak dengan anak.
Jadi nak senang, mak ayah boleh cuba tip yang dikongsi Doktor Ezairy M.Sallih ini. In shaa Allah anak akan lebih senang makan ubat.
6 Langkah Mudah Bagi Anak Kecil Makan
Mungkin ada antara anak-anak kita yang memang susah untuk makan atau minum ubat. Masalah ini biasanya lebih kerap berlaku kepada peringkat umur bayi dan kanak-kanak. Tidak hairanlah jika ada ibu bapa yang mengambil berbagai-bagai alternatif bagi memastikan si anak tersayang dapat menelan ubat. Persoalannya bagaimana?
Saya akan kongsi 6 cara berkesan berdasarkan pengalaman para ibu bapa pesakit untuk kita cuba amalkan di rumah :
1. Guna picagari. Elak menggunakan sudu. Dos ubat yang diberitahu oleh doktor perlu diikuti. Justeru penggunaan syringe atau picagari adalah perlu bagi memastikan anda memberi ubat mengikut kuantiti yang betul dan ia sebenarnya jauh lebih mudah berbanding cara lain. Pastikan juga menggunakan syringe sesuai mengikut kuantiti yang akan diberi. Biasanya 3ml atau 5ml.
2. Teknik yang sesuai dan betul. Saya nasihatkan letakkan anak di dalam pangkuan. Untuk bayi atau anak kecil, pastikan mereka berada di posisi duduk atau separa duduk. Posisi baring menelentang dilihat mudah untuk memberi ubat, namun ia akan meningkatkan risiko ubat untuk masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke peparu. Ini bahaya!
3. Cari ruang dan kawasan yang tenang. Kita pun kalau nak buat sesuatu perkara perlukan ruang yang selesa. Beri ubat kepada anak pun begitu. Penting bagi kita sebagai ibu bapa untuk mencari ruang yang selesa dan cukup pencahayaan. Memberi ubat sama seperti memberi makan atau minum kepada anak. Sekiranya ruangnya sempit, kita juga akan cenderung memberi ubat dengan cara yang tidak betul. Kuantiti ubat yang bakal diberi juga akan terganggu.
4. Jangan paksa anak anda yang sedang meronta-ronta. Ini akan menyebabkan anak anda tersedak dan muntah. Beri peluang mereka tenang dan beri ubat.
5. Beri peluang anak pegang picagari ubat dan letakkan ke dalam mulutnya sendiri. Cara ini banyak membantu ibu bapa. Anda kemudian bantu untuk pastikan ubat dimasukkan ke mulut anak anda.
6. Minta nasihat doktor. Anda boleh minta pandangan dan nasihat daripada doktor yang memeriksa anak anda. Beritahu kepadanya bahawa anak anda mungkin jenis yang amat sukar untuk diberi ubat. Perlu dipegang tangan, kaki dan dipaksa baru boleh diberi. Doktor ini tuan puan, manusia juga. Kami akan cuba beri ubat yang paling sesuai dari segeri kekerapan, kuantiti dan jenis kepada anak dan bayi. Yang penting, komunikasi antara ibu bapa pesakit bersama doktor mesti ada.
Semoga perkongsian kali ini mendatangkan banyak manfaat. #Kongsikan kepada orang yang anda sayang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ammar dan anak bongsunya, Zahraa.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...