Hasrat Sambut Syawal Tidak Kesampaian, Jenazah 4 Beranak Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad

Share

Allahu, sayu rasa hati bila mendengar berita melibatkan kemalangan maut melibatkan kaum keluarga tatkala Syawal semakin menghampiri.Apatah lagi segala persiapan dan keperluan barangan raya telah dibeli namun hasrat untuk menyambut lebaran tidak kesampaian apabila ajal dan maut telah menjemput tiba. Lebih memilukan, pasti  sedih dan terkilan rasa hati ketika kejadian berlaku didepan mata, namun cubaan untuk menyelamatkan insan tersayang gagal kerana ketidakupayaan kudrat untuk membantu.

Cuba Bantu Ibu Tersepit

“Saya cuba bantu ibu yang ketika itu tersepit akibat besi penghadang jalan menembusi kereta, namun gagal,” kata Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan ibu dan tiga adiknya, di Kilometer 161.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, Pahang, pagi semalam, yang mengorbankan ibu dan tiga adik beradiknya.

Beliau berkata, ketika itu dia baru dua minit berbual dengan ibunya sebelum tiba-tiba terdengar seperti bunyi letupan lalu kereta mereka terbabit kemalangan. Mohd Shahrul Ikram berkata, dia yang memandu kenderaan dinaiki mereka sekeluarga terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarganya itu. Katanya, sebelum tragedi itu ibu dan adik-adiknya sangat teruja berbelanja sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu, sebelum bertolak pulang kira-kira jam 1 pagi hari kejadian.

“Kami sekeluarga tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh kira-kira jam 3 pagi dan sempat bersahur di situ.Selepas bersahur kami semua solat Subuh dan menyambung tidur di dalam kereta sehingga jam 8 pagi. Saya memandu menyambung perjalanan ke Kemaman. Ketika memandu, ibu tiba-tiba terjaga dan bertanya kami di mana dan saya jawab kita di Maran dan ibu kemudiannya menyambung tidur,” katanya.

Kereta Rempuh Penghadang Jalan

Dia yang hanya cedera ringan memandu tidak laju kerana teringat pesanan ibu supaya memandu perlahan dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta tiba-tiba tersasar ke tepi dan sebaik tersedar dia mendapati sudah merempuh penghadang jalan.

“Ketika itu kami semua tersepit di tempat duduk dan ibu serta tiga adik beradik lain ketika itu tidak sedarkan diri sebelum kami semua dikeluarkan orang ramai dan anggota bomba,” katanya.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi semalam itu, mengorbankan ibunya Azian Abdulah, 50, serta tiga adik beradiknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Ardiana Mazlan, 15 dan Mohamad Danish Najmi Mazlan, 10.Seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Beli Barang Keperluan Persiapan Syawal

Sementara itu,tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan Mazlan Mohd Rashid, 54, apabila kehilangan isteri dan tiga anak tercinta sekali gus dalam kemalangan di kilometer 161.3, Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman di sini,selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan, semalam.

Lebih memilukan kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas membeli-belah di ibu negara bagi menyambut Aidilfitri.

Menceritakan saat akhir ketika bersama keluarganya, dia memaklumkan enam beranak itu bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan memaklumkan ingin membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.

“Saya kebiasaan tidak ikut (pergi membeli belah) dan beri keizinan kepada isteri dan anak-anak untuk keluar membeli belah…saya di sini (rumah) menjalankan perniagaan runcit dan tunggu kepulangan mereka sahaja membawa pakaian yang dibeli.

“Kali terakhir isteri telefon jam 11 malam tadi memaklumkan akan bertolak balik ke rumah… saya difahamkan mereka juga ada singgah di kawasan rehat dan rawat (RnR)Temerloh untuk berehat sebelum dimaklumkan pagi ini mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jengka, di sini.

Dalam nada sebak Mazlan berkata, dia reda dengan pemergian isteri dan anak mereka pada bulan Ramadan ini dan mengharapkan semua mereka di tempatkan di kalangan orang beriman.

“Anak sulung saya (Fatin Najwa) baharu tamat pengajian di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan dan dia dalam perancangan untuk memulakan kerjaya, namun apakan daya Allah SWT lebih menyayanginya dan menjemput mereka di bulan baik ini.

“Anak bongsu saya (Mohamad Danish Najmi) juga sebelum ke Kuala Lumpur berpesan kepada saya untuk jagakan kucingnya dan memberi makan… kenangan ini yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad

Jenazah empat beranak tersebut telah disolatkan di Surau Ar Ridhuan, Bandar Cheneh Baru pada 10.30 malam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheneh Baru, Chukai, pada 11.50 malam tadi. Jenazah mereka yang siap dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Jengka, Pahang, dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan dalam satu liang.

Sementara itu, suami Allahyarham Azian, Mazlan Mohd Rashid, 54, berkata dia bersyukur jenazah isteri dan tiga anaknya dapat dikebumikan dalam satu liang.

“Ramadan kali ini sangat menguji kekuatan dan kesabaran saya menghadapi dugaan Allah yang mengambil isteri serta tiga anak kesayangan sekali gus,” katanya sebak.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak sama ada di Pahang atau di Terengganu yang membantu melicinkan proses tuntutan mayat ahli keluarganya sehingga selesai pengebumian.

Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman pada bulan yang mulia. Semoga kita lebih berhati-hati dijalanraya, pandu dengan cermat dan dapat meraikan Syawal bersama-sama keluarga tersayang.

Sumber: bharian & hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab