Hasrat miliki anak kedua tidak kesampaian, ibu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Impian sepasang suami isteri untuk menyambut kelahiran anak kedua bertukar menjadi tragedi apabila si isteri, seorang suri rumah berusia 35 tahun, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Difahamkan, wanita tersebut mengalami sakit untuk bersalin sebelum suaminya segera menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi mendapatkan bantuan perubatan. Namun, wanita berkenaan dipercayai tidak sedarkan diri sebelum pengsan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 5.57 petang semalam daripada kakitangan zon merah Jabatan Kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah yang memaklumkan bahawa wanita berkenaan serta bayi yang dikandungnya telah disahkan meninggal dunia.
“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menaiki ambulans. Doktor telah melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi namun malangnya, bayi itu juga tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Hasil temu bual bersama suami mangsa mendapati wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod penyakit atau masalah kesihatan yang diketahui sebelum ini.
Tambah beliau lagi, tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat ditemui hasil pemeriksaan ke atas jasad mangsa.
Mayat wanita tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Ganjaran Lepas Bersalin, Wanita Di Dubai Terima Hadiah Mewah Bernilai Hampir RM12 Juta
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE