Harta Sepencarian Boleh Dituntut Dalam 3 Keadaan Ini, Begini Caranya

Peguam Syarie, Roslina Sabiyah & Co berkongsi info untuk para isteri hadamkan kemas-kemas. Cara menuntut harta sepencarian apabila berdepan dengan tiga situasi ini dalam rumah tangga.

Iaitu, akibat penceraian, berpoligami dan apabila berlakunya kematian. Setiap situasi ini berbeza prosesnya. Panduan ini mudah untuk para isteri ambil tahu dan simpan dalam nota kalian.

Harta Sepencarian (HS), Tuntut Dalam 3 Keadaan Ini

Proses ini boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja. Boleh dituntut dalam 3 keadaan. Setiap keadaan prosesnya berbeza. Ok saya cuba terangkan secara paling ringkas :

IKLAN

Pertama : Harta Sepencarian yang dituntut akibat perceraian

  • pihak yang akan jadi plaintif dan defendan adalah pasangan suami isteri yang bercerai sahaja tanpa melibatkan orang lain.
  • jika terbukti memang harta tersebut diperolehi dalam tempoh perkahwinan, harta tersebut memang boleh diisytihar sebagai HS.
  • isu yang timbul hanyalah melibatkan berapa bahagian setiap orang akan dapat. Contohnya, jika ada bukti sumbangan akan dapat 50%, jika tiada bukti sumbangan (surirumah/sumbangan tak langsung) akan dapat juga 30%. Portion HS tu Mahkamah yang akan tentukan selepas mendengar keterangan kedua-dua belah pihak.
  • kalau terbukti, harta tu diperolehi sebelum perkahwinan dan tiada bukti sumbangan untuk mengembangkan harta tersebut oleh pasangan yang menuntut, maka pasangan tersebut tidak berhak ke atas harta sepencarian tersebut.

Kedua : Harta Sepencarian yang dituntut akibat poligami

  • biasanya yang tuntut HS adalah isteri pertama dan suami akan jadi defendan.
  • boleh dituntut semasa suami failkan permohonan poligami di mahkamah ataupun pada bila-bila masa sahaja selepas isteri pertama mengetahui yang suaminya berkahwin poligami.
  • hanya boleh tuntut terhadap harta yang diperolehi semasa dalam tempoh perkahwinan dengan isteri pertama tersebut.
  • Mahkamah akan tentukan portion HS berdasarkan keterangan dan bukti-bukti oleh kedua-kedua belah pihak

Ketiga : HS yang dituntut akibat kematian

  • proses ini yang paling rumit sekali.
  • hanya pasangan kepada si mati sahaja yang boleh menuntut (anak, ibubapa, adik-beradik kepada si mati tak boleh tuntut harta sepencarian).
  • balu tersebut perlu memohon sijil faraid di mahkamah syariah terlebih dahulu untuk memastikan siapa waris-waris si mati kerana harta tersebut dah jadi harta pusaka.
  • balu si mati akan jadi plaintif dan semua waris-waris faraid si mati akan dinamakan sebagai defendan.
  • permohonan faraid dan harta sepencarian tersebut perlu diserahkan kepada semua waris-waris si mati supaya proses permohonan pusaka akan jadi telus dan waris-waris maklum dengan permohonan tersebut.
  • waris-waris dipanggil ke mahkamah bukannya untuk dapatkan kebenaran mereka sebab balu tu memang akan dapat juga hak ke atas harta sepencarian tu melainkan prosedur tersebut hanyalah untuk memaklumkan kepada waris-waris supaya tidak timbul isu di kemudian hari.
  • jadi jangan pelik jika ada balu yang saman mak ayah mertua atau adik-beradik si mati di mahkamah. Itu hanyalah prosedur biasa dalam permohonan faraid dan harta sepencarian selepas kematian.
  • Biasanya balu boleh dapat portion 50% daripada harta yang dituntut dan baki 50% lagi barulah akan difaraid kepada semua waris-waris si mati termasuklah balu tu pun akan dapat bahagian faraidnya juga.

Baca sini : Harta sepencarian, hak isteri harus diselesaikan dulu sebelum pembahagian harta pusaka peninggalan suami.

Salah faham tentang permohonan faraid dan harta sepencarian :

1) Faraid tak akan dapat secara automatik. Perlu dapatkan pengesahan waris-waris dari Mahkamah Syariah supaya tidak ada waris-waris yang sepatutnya berhak tetapi ditinggalkan. Memang banyak berlaku penyembunyian waris. Kalau ada unsur penipuan, sijil faraid tersebut boleh dimohon untuk dibatalkan.

2) Begitu juga harta sepencarian tidak akan dapat secara automatik. KECUALI, jika pembahagian harta pusaka adalah secara muafakat. Waris-waris setuju nak tolak bahagian harta sepencarian dulu kepada balu maka tak perlulah sampai kena mohon ke mahkamah. Tapi kalau ada pertikaian dan tak ada persetujuan, balu tersebut perlu failkan permohonan untuk dapatkan PERINTAH mahkamah terhadap bahagian harta sepencarian.

Kontroversi dan pertelingkahan boleh dielakkan dengan adanya ilmu. Biar tahu jangan keliru.

Semoga bermanfaat.

Sumber/Foto : Roslina Sabiyah & Co