Macam-macam perangai manusia di rumah terbuka hari raya, ada yang sibuk mengata orang, menjaja cerita kekayaan sendiri, memuji pasangan dan anak sendiri, menunjuk-nunjuk perhiasan yang dipakai dan macam-macam lagi kegatalan mulut yang tak dapat dikawal.

Sabar

Macam mana nak hentikan ‘makcik bawang’ merepek di rumah kita? Apakah kita mampu bersabar menahan mulut daripada terjebak sama membawang secara berjemaah?

1. Jaga lidah
Betapa kita amat berhati-hati menjaga tutur bicara, akhlak dan ibadah di bulan Ramadhan supaya pahala-pahala dikumpulkan dengan sempurna tetapi malangnya bila Syawal menjelma terlerai sudah ikatan kawalan dosa kerana tak tahan pujukan nafsu yang melenakan.

Amat berat kesabaran menjaga diri ketika berada di tengah-tengah orang-orang yang lalai. Ada kawan-kawan lama ajak membawang rasa teruja akhirnya terikut sama, tengok perhiasan yang dipakai tetamu timbul sangka buruk yang bukan-bukan kepadanya. Duit rasuahlah, duit tak berkatlah, mengata orang sombonglah semua lintasan hati itu datang bila kita lalai dan tak ingat dosa pahala.

Allah SWT berfirman: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” – (Surah al-Kahfi ayat: 28)

Ads

Hari Raya Masa Untuk Silaturahim, Bukan Pesta ‘Membawang’ Ye!

2. Kuatkan rasa syukur
Syawal bukan masanya bermain-main dengan dosa, kerana kegembiraan yang dianjurkan dalam agama kita semata-mata hanya untuk menampakkan rasa syukur kepada Allah SWT. Tak dilarang pakai baju cantik, tetapi dengan niat nak tunjuk nikmat Allah itu sebagai tanda kita bersyukur bukan untuk menyombongkan diri. Jika benar lidah kita bersyukur maka hati akan bersih dari sangka buruk, tubuh badan akan ringan melakukan solat, lidah akan lunak memuji Allah sehingga lupa mengata orang. Kalau betul kita bersyukur, tak akan mudah maksiat kita biarkan berada dalam rumah apatah lagi kita ikut sama meraikan dosa sungguh hati tak akan reda.

3. Syawal bulan jihad
Syawal juga bukan masanya lalai daripada kewajipan agama kerana Rasulullah s.a.w bukan hanya ditulis dalam sirah pernah memilih bulan Syawal di mana baginda menikahi Aisyah tetapi juga pernah melakukan beberapa peperangan besar di bulan Syawal iaitu perang Uhud, khandaq dan Hunain (perang yang terakhir sebelum kewafatan baginda).

Ads

Rasulullah s.a.w telah pun berangkat berjihad di Uhud pada 7 atau 11 Syawal kita pula sebulan penuh berangkat dari satu rumah ke rumah lain menjamu selera. Open house sudah menjadi tradisi wajib tak kira orang kaya atau orang susah mesti nak buat juga, kasihan sungguh bila duit tak ada tapi terpaksa berhutang kerana malu ditanya kawan bila nak open house. Ramai yang keletihan berpesta, tidur tak cukup, rehat pun tak cukup kerana sibuk menghadiri jemputan sepanjang Syawal. Bila masa nak sambung amalan yang pernah dibuat Ramadan lalu? Apakah terus hilang al-Quran daripada pelukan, solat malam terus tinggalkan, apakah kita sanggup nak sambung puasa sunat Syawal?

4. Silaturahim bukan alasan halalkan maksiat
Memang tak salah nak sambung silaturahim, tapi janganlah melampau sangat sampai tak ingat mana yang afdal. Mana boleh tinggal solat sebab tak nak tinggalkan tetamu bersembang. Mana boleh tak nak puasa sunat sebab nak makan sampai tak cukup perut, mana boleh membawang dengan alasan meraikan silaturahim. Kenalah berpada-pada melakukan kebaikan, ikut ukuran yang ditentukan syariah bukan ikut hawa nafsu.

5. Aktifkan diri hayati ilmu
Jangan dianggap Syawal datang maka cutilah ibadah, pulun habis berpesta makan, tak ada masa ingat akhirat.

Ads

Sesungguhnya Syawal itu ujian bagi orang yang mahu istiqamah meneruskan amalan Ramadannya. Ujian kelazatan dunia yang dinyatakan dalam firman-Nya: “Janganlah sekali-kali kamu mengarahkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.” ( Surah Thaha: 131)

Penuhi Masa Dengan Ilmu Berfaedah

Jika mahu lulus dalam ujian kita mesti banyak belajar, isi masa dengan ilmu agama, dengar ceramah, aktifkan diri dengan diskusi ilmiah bersama sarjana-sarjana agama yang diiktiraf. Carilah sebanyak-banyaknya hidayah sehingga kita tiada masa untuk buat maksiat. Apabila kita bersedia melabuhkan tirai Syawal dengan ilmu dan amal soleh, serangan syaitan untuk menggagalkan iman kita di bulan Syawal tidak akan berjaya. Walaupun mereka menghasut makcik-makcik bawang menyerang rumah kita, insya-Allah ilmu dan amal masih kuat membentengi serangan itu.

Jangan hanya sibuk berkongsi resipi masakan dan biskut yang sedap, ceritakanlah juga tentang nikmatnya solat!

Artikel disumbangkan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam dan penulis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI