Hari Pertama Hanya 60% Patuhi Perintah, Tak Terkawal Guna Tentera

Share

Hari ini memasuki hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan dan berkali-kali anda diingatkan agar jangan bergerak dan berada di rumah sepanjang masa kecuali kecemasan. Usaha ini diambil semata-mata untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Sebenarnay Perintah Kawalan Pergerakan ini akan berjaya jika semua pihak bekerjasama dan memilih masa untuk berada di samping keluarga. Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya telah merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.

Jika usaha ini masih gagal, mungkin tempoh perintah ini akan dipanjangkan dan akan menjejaskan semua pihak. Selain itu, jika masih ramai gagal mematuhi arahan ini, mungkin tentera akan digunakan kerana pada hari pertama hanya 60 peratus sahaja yang berjaya mematuhinya.

Tentera Dikerah Jika Gagal

Kerajaan mungkin akan menggunakan khidmat anggota tentera untuk memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, hanya 60 peratus rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan pada hari pertama ia dilaksanakan.

Jika keadaan masih tidak dapat dikawal sepenuhnya, kemungkinan besar tentera akan digunakan.

“Saya percaya tidak perlu, tetapi jika tidak ada pilihan — pematuhan masih kekal setakat 60 peratus ke 70 peratus — saya percaya kemungkinan besar tentera akan digunakan,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan untuk memastikan rakyat mematuhi peraturan tersebut pihak polis telah mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara pada hari pertama perintah tersebut dijalankan.

Beliau menjelaskan sebanyak 504 sekatan jalanraya telah dilaksanakan pada Rabu untuk memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Setakat semalam sebanyak 504 sekatan jalan raya telah dilaksanakan oleh polis di seluruh negara dan sebanyak 6,135 kenderaan diperiksa.

“Setakat hari ini, pihak polis telah mengambil tindakan berhemah dengan menasihati sahaja dan saya percaya kalau pematuhan ini masih tidak meningkat saya percaya pihak polis terpaksa gunakan undang-undang dan mengenakan tindakan yang lebih tegas lagi.

“Saya rasa perkara ini tidak perlu dilakukan kalau pematuhannya meningkat dari masa ke semasa,” katanya lagi.

Bermula Hari Pertama

Ismail Sabri memberitahu sejak hari pertama perintah tersebut dilaksanakan semua ketua-ketua polis daerah diarahkan untuk mengambil tindakan untuk memastikan rakyat mematuhi perintah tersebut.

Peringkat awal ini adalah untuk mengadakan pengumuman supaya semua berada di rumah dan juga mengadakan hebahan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa mesyuarat Kabinet pada Rabu memutuskan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Jawatankuasa Khas ini yang melibatkan 19 Kementerian, 19 Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Majlis Kesemalatan Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Setiausaha setiap kementerian terlibat.

Sumber: Astro Awani

MW: Jika anda tidak mahu tentera digunakan dan keadaan menjadi semakin ketat hingga mak, ayah tak mampu keluar rumah. Duduklah di rumah diam-diam dan jangan bahayakan diri anda dan keluarga. Semoga kita semua semakin peka dengan keadaan semasa dan mengambil langkah kebersihan. 

Published by
Syazwani Mehat