Pengumumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 (Rabu) mengundang pelbagai reaksi ramai.Memandangkan ia bakal dilakukan pada pertengahan minggu hari bekerja dan anak-anak bersekolah. Ramai yang tertanya-tanya status cuti pada hari penuh bermakna ini.
Majikan Tak Wajib Beri Cuti Khas
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan tidak diwajibkan untuk memberi cuti khas sehari kepada pekerja masing-masing bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab berkenaan. Namun demikian,majikan perlu memberi waktu yang munasabah kepada pekerja bagi memastikan mereka dapat keluar mengundi pada 9 Mei ini.
Kata beliau, majikan mempunyai tanggungjawab untuk tidak menghalang pekerja mereka sebagai pengundi berdaftar untuk mengundi pada hari berkenaan meskipun Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) kali ini diadakan pada hari bekerja.
“Sebaliknya tempoh masa bersesuaian dan munasabah antara satu hingga dua jam boleh diberikan contohnya masuk pejabat lewat sedikit untuk mengundi pada sebelah pagi, menggunakan waktu rehat atau pulang awal dari pejabat sebelum pusat pengundian ditutup.
“Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi, boleh apabila disabitkan, didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama setahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
“Selain itu, majikan juga tidak boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan pemilih, mengenakan atau menuntut daripadanya apa-apa penalti kerana tidak hadir bekerja dalam tempoh munasabah yang diberikan berkenaan,” katanya.
Pengundi Harus Kemas Kini Alamat Terkini
Shamsuddin berkata, masalah lokasi pengundian jauh di negeri asal bukanlah bebanan di pihak majikan kerana sebagai pengundi yang bertanggungjawab, pekerja seharusnya mengemas kini lokasi tempat pengundian berdasarkan alamat tempat tinggal terkini. Katanya, masalah biasanya timbul sekiranya pengundi masih mengekalkan alamat kampung halaman masing-masing meskipun sudah berpuluh-puluh tahun menetap di tempat lain.
“Dalam hal ini, pekerja perlu sedar bahawa sekiranya dua jam pelepasan diberikan, syarikat sudah pun kehilangan kira-kira 25 peratus produktiviti kerja.
“Namun, jika majikan dapat memberi kelonggaran, pekerja boleh mengambil cuti tahunan masing-masing untuk membolehkan mereka mengundi dengan selesa tanpa perlu mengejar masa kembali ke pejabat,” katanya.
Cuti Peristiwa Khas Semua Sekolah
Sementara itu, bagi mak ayah yang tertanya-tanya status cuti untuk anak-anak yang bersekolah, memandangkan pilihanraya jatuh pada hari Rabu,Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi akaun facebooknya mengumumkan bahawa 9 Mei 2018 sebagai cuti peristiwa khas bagi semua sekolah sempena Pilihan Raya yang akan datang.
Pengumuman itu juga sekaligus menjawab isu yang menjadi tanda tanya orang ramai mengenai persekolahan anak-anak mereka di hari pengundian oleh kerana pusat pengundian banyak juga dijalankan di sekolah-sekolah yang terpilih.
Sumber: hmetro & Mahdzir Khalid
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI