Sesungguhnya, hargai setiap ahli keluarga selagi mereka masih ada, jangan terlalu taksub bekerja sehingga abaikan masa bersama keluarga.
Memang hidup memerlukan kita bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga, namun janganlah mengabaikan perasaan pasangan dan anak-anak.
Hargai Selagi Masih Ada
Kongsi Nurul Haslida, luangkan masa bersama keluarga selagi masih ada. Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Zaman yang sudah di penghujung ini kita tidak jangka apa bakal terjadi.
Mati tiba-tiba tanpa kita tahu puncanya. Yang sakit dah tentu sakit. Sama ada semakin teruk atau sebaliknya. Itu semua rahsia Allah, kita tidak mengetahuinya.
Apa yang bakal terjadi di hadapan semua sudah ditentukan. Masa yang sedikit ini, luangkanlah bersama keluarga. Gembirakan keluarga kita kerana kita tidak tahu siapa yang akan pergi dulu.
Tak semestinya yang sakit akan pergi dulu. Kadang-kadang yang sihat pergi dulu. Jadi peluang yang ada ini jangan sia-siakannya. Gunalah dengan manfaat. Rugi jika kita abaikan.
Jangan Terlalu Taksub Bekerja
Jika ada rezeki lebih bawalah keluarga kita berjalan-jalan kerana berjalan juga satu terapi. Tak pergi jauh pun tak apa, tak pergi tempat mahal pun tak apa janji kita keluar dan tenangkan fikiran bersama keluarga.
Tinggalkan kerja-kerja yang sudah pasti tak akan habis sampai bila-bila. Ingat satu jika kita tiada, kerja tu tetap ada dan orang lain yang akan ambil alih pula jadi jangan terlalu taksub dengan kerja sehinggakan kita abaikan masa dengan keluarga.
Sangat rugi bila mana kita membuang masa dan peluang untuk melihat anak-anak kita membesar di depan mata. Pengalaman dan kenangan itu sangat sukar untuk kita lalui lagi. Malah keakraban mereka dengan kita pun akan jadi jauh.
Hingga Abai Masa Bersama Keluarga
Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk melalui momen yang indah itu. Kerana dari situ akan menguatkan kasih sayang kita dengan anak-anak kita.
Ada juga pasangan yang suka melebihkan kawan daripada keluarga. Bagi mereka keluarga adalah satu beban dan menyusahkan.
Mereka lebih suka membuang masa dengan kawan-kawan demi kepentingan diri sendiri sedangkan kawan-kawan itu datang dan pergi bila mereka perlukan kita, mereka akan datang pada kita dan jika mereka tidak perlukan kita, mereka akan menjauh.
Ads
Tetapi keluarga tetap setia dengan kita walau bagaimana keadaan kita sekalipun. Tengok mata anak-anak kita seorang demi seorang, tengok sedalam-dalamnya supaya nanti kita akan nampak bahawanya mereka sangat mendambakan perhatian dan kasih sayang daripada kita.
Hubungan Yang Terjalin Erat
Jika sejak kecil kita memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kita kepada mereka tak mustahil, keakraban kita dengan mereka pasti terjalin dengan erat.
Malah mereka akan lebih menghargai dan menghormati kita sampai hujung nyawa kita. Jadi gunalah peluang yang ada ini untuk mengembirakan anak-anak kita. Jangan siakan peluang dan masa yang dah ada didepan mata.
Ingat, keluarga adalah amanah dan tanggungjawab kita. Mereka juga adalah pertalian darah yang sangat erat dengan kita. Ibarat jika kita gembira mereka pun gembira dan jika kita sedih merekapun akan turut sedih.
Susah senang pasti mereka tetap bersama kita. Jadi hargailah selagi masih ada di depan mata. Jangan anggap mereka beban atau menyusahkan. Anggaplah mereka permata yang berharga pada kita.
Mingguan Wanita : Sebaiknya hargailah pasangan dan anak-anak, bimbang suatu hari nanti kita akan menyesal jika mereka telah tiada buat selamanya. Cipta momen indah bersama anak-anak untuk dikenang sampai bila-bila.
Dalam membesarkan anak-anak dalam dunia mencabar begini bukanlah satu tugas yang mudah bagi seorang “mak”. Tidak kiralah bagi mak yang bekerjaya mahu pun bergelar suri rumah masing-masing berdepan dengan pelbagai masalah dalam mendidik anak-anak.
Rasa marah atau mahu memukul anak kadang-kadang menjadi kebiasaan pabila sang ibu berdepan dengan tekanan atau situasi memenatkan kerana mak-mak juga manusia biasa. Tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Sebagai ingatan bersama, sebelum angkat tangan pada anak, ingatlah siapa pemilik mutlak mereka, barulah kita merasa takut dengan Allah. Mak, ayah hanyalah pemegang amanah anak-anak yang belum tentu masanya Allah akan mengambil mereka semula.
Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli dan jadikan ingatan kita bersama:
Teringat pesan seseorang pada saya,
Sebelum rasa mahu marah atau mahu angkat tangan memukul anak, ingat siapa pemilik mereka.
Walaupun kita ini ibu yang berpenat, bersakit mengandung dan melahirkan anak-anak, tetapi anak-anak bukan hak milik kita.
Allah adalah pemilik mutlak anak-anak. Kita sebagai ibu bapa cuma peminjam dan pemegang amanah.
Ya, memang ada masa kita terlepas. Astaghfirullahal adzhim. Namun, kalau boleh jangan biarkan berlalu tanpa taubat, dan kalau boleh jangan jadikan kebiasaan kerana pukulan tak mengeraskan tubuh mereka tetapi hati anak-anak.
Sebagai ibubapa, tanamkan rasa takut kepada Allah. Anak-anak kita adalah amanah kita. Barulah kita dapat mendidik anak-anak yang juga kelak akan takut mengkhianati amanah mereka kepada Allah. InsyaAllah. Allahu musta’an.
MW: Mak,ayah tak lari daripada membuat kesilapan, namun setiap kali tersalah langkah kembalilah dekatkan diri dengan Allah. Memukul anak dalam mendidik anak-anak bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian. Masih banyak lagi jalannya yang lebih baik dan berkesan dalam mendidik anak yang merupakan amanah besar Allah buat mak, ayah.
Masalah kewangan merupakan faktor utama yang mendorong kepada kes-kes perceraian yang berlaku di negara ini. Kebanyakan kes perceraian didorong oleh pelbagai masalah kewangan termasuk melibatkan pemberian nafkah, kehilangan pekerjaan dan pendapatan yang kecil sehingga tidak dapat menampung keperluan isi rumah.
Masalah Kewangan Punca Pasangan Bercerai
Masalah kewangan dalam kehidupan berumah tangga menjadi antara punca utama perceraian berlaku. Berdasarkan undian di laman sosial X Sinar Harian dalam tempoh 24 jam bermula jam 1 petang Jumaat, mendapati 50 peratus daripada 319 yang mengundi bersetuju bahawa masalah kewangan menjadi punca utama perceraian.
Penganalisis ekonomi dan muamalat di Universiti Sains Islam, Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata tekanan masalah kewangan antara penyebab utama perceraian.
“Gaji sekadar cukup makan juga menyebabkan pasangan bergaduh kerana tidak mampu menyara kehidupan seharian.
“Mereka perlu bekerjasama dan bertoleransi dengan cara berkomunikasi bagi mencapai persefahaman dalam mengatasi masalah kewangan.
“Sememangnya sukar merealisasikan impian hidup berkeluarga tanpa menghadapi krisis kewangan. Namun, mereka perlu bersabar dan tidak cepat melatah dengan apa jua cabaran akan datang.”
Beliau mencadangkan kursus pra-perkahwinan ditambah baik, antaranya membantu peserta merancang perbelanjaan sejajar pendapatan mereka, menggalakkan simpanan wang selepas majlis perkahwinan dan penerangan mengenai perancangan serta pengurusan kewangan.
Kos sara hidup tinggi menjadi antara penyumbang kepada jumlah perceraian di Selangor
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup ini mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi mahupun sosial.
Sibuk Cari Rezeki Sampai Tak Ada Masa Dengan Famili
“Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka rakyat perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.
“Disebabkan kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telah pun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mu’izzudden Mahyuddin (PN – Hulu Bernam) mengenai faktor mendorong Selangor mencatatkan jumlah penceraian tertinggi berbanding negeri-negeri lain pada tahun lalu.
Tambah beliau, peningkatan jumlah cerai juga adalah disebabkan akses kepada perkhidmatan peguam syarie sama ada disediakan oleh agensi-agensi kerajaan atau swasta.
“Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi supaya hasil kajian tersebut boleh diguna pakai untuk membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor,” katanya.
Sekarang ini jumlah anak yang alami ekzema semakin bertambah bilangannya. Jauh beza daripada dulu. Proses merawatnya pun tak sama, begitu juga kesan penyembuhannya ambil masa.
Jadi mak ayah jangan suka-suka sapu macam-macam petua atau produk pada kulit anak yang merengsa. Kasihan mereka.
Ini nasihat yang diberikan oleh Dr Hafiz Sulaiman. Benar.. mak ayah yang ada anak ekzema, dugaan dia lain macam. Kalau tak kental jiwa, boleh bercanggah pandangan antara mereka.
Apa pun ujian yang tuhan berikan ini, carilah jawapan pada penyakit anak dengan pengamal perubatan yang arif.. yang pakar. Agar anak tak jadi bahan ujikaji mak ayah.
Pesan Doktor Untuk Mak Ayah Yang Ada Anak Ekzema
Rasanya dah banyak kes saya tengok ekzema jadi makin teruk lepas cuba produk xxx, pencuci xxx, herba xxx.
Saya sedaya upaya elakkan komen produk dan rawatan orang lain..Sebab itu saya jarang balas jika orang tanya produk mana
bagus. Sebaiknya kita taknak lah bias dan promote produk kita je kan.
Cuma kali ni saya nak tegur lah..mak ayah yang ada anak ekzema. Banyak pulak tiba-tiba kes ekzema jadi teruk lepas ambil herba cuba-cuba.
Saya faham, korang stres dan sedih tengok anak korang menderita ekzema..
Gatal malam-malam garu berdarah,anak menangis menjerit tak henti..
Hanya yang melaluinya akan faham..
Lagi-lagi anak pertama..memang panik habis.
Ada tompok kecik merah kat pipi pun tak sabar-sabar nak tenyeh something bagi hilang terus ruam tu.
Ini Yang Mak Ayah Kena Faham, Jika Anak Ekzema..
Apa yang korang kena faham…ekzema zaman sekarang tak macam dulu.
Kebiasaannya dulu sapu krim steroid atau pelembap..kejap je reda..pastu ekzema jadi sejarah.
Zaman sekarang, sangat ramai ekzema kanak-kanak yang progres sampai besar.
Sapu steroid kejap memang masih berkesan..bila stop mengejut, ekzema datang mengamuk dengan dendam kesumat.
Kasihan Dekat Anak, Kasihan Juga Dekat Diri Sendiri
Tolong lah jangan main cuba-cuba produk tu produk ni..herba terutamanya kecuali di bawah nasihat doktor
atau pengamal yang berpengalaman dan berpengetahuan.
Kalau produk farmasi, sekurangnya produk yang ahli farmasis sarankan biasanya daripada bahan rendah risiko alergi.
Kalau korang pi ambik akar kayu.. ambik herba.. siapa yang jadi rujukan korang? perawat tradisional? tabib? ahli farmasis?
doktor?
Kalau korang berani tanggung sendiri takpe lah kan..badan korang..
Tapi kalau korang beri anak korang, lepas tu meradang kulit merah berair dan bengkak..
Kesian kat anak kita..Dan kita pun kesian jugak sebab tak tidur lah jaga anak kita.
Korang perlu faham dan tahu ilmu herba ni. Herba ni ada banyak yang mempunyai fungsi IMMUNOMODULATOR.
Maksudnya, herba akan meransang imuniti badan kita untuk mempercepatkan penyembuhan.
Tapi sudah tentu bukan untuk semua orang!
Herba Echinacea Cepatkan Penumbuhan Kulit?
Saya dah tengok banyak kes mereka yang ambil suplemen dan sprout alfalfa untuk ekzema jadi makin teruk.
Untuk kes autoimuniti banyak kajian tak galakkan ambil suplemen ni.
Ada yang guna herba echinacea.
Korang tau tak..macam mana echinacea cepatkan penumbuhan kulit?
1) Merangsang interleukin paling kuat pro-keradangan iaitu IL-1 dan IL-6
2) Meningkatkan faktor nuklear -kappa B yang mampu meledakkan keradangan.
Sebab itu salah satu kesan sampingan herba ni ialah KERADANGAN TERUK. Korang ada baca tak sebelum guna?
Allahu.. Naya kat baby weh! anak-anak amanah ibu bapa sebab kita yang buat keputusan untuk mereka.
Adakah kita sebagai ibu-bapa dah buat sebaik mungkin pilihan terbaik untuk anak kita?
Apa Pun Consultlah Dulu Pada Yang Pakar
Tak salah ikut syor kawan try produk herba tu dan ni..tapi kena lah consult tabib herba yang berpengalaman dan tahu ilmu herba ni dan boleh explain kat korang. Bukan main beli terus bagi anak kecil.
Jangan bersedih dan jangan risau. Manusia memang tak lari daripada buat kesilapan.
Apa yang lepas tu jadikanlah iktibar supaya kita jadi ibu-bapa yang lebih baik.
Buatlah keputusan dengan ilmu. Jangan cuba-cuba dan risikokan kesihatan keluarga kita. Ikhtiar yang terbaik dan berdoa padaNya semoga kita dan keluarga kita dilindungi Allah daripada bala dan bencana. Ameen.