‘Harga Tinggi Cecah RM291 Segram’ Ramai Jual EMAS Tampung Perbelanjaan Raya. Memang tak rugi apabila membeli atau membuat simpanan emas. Apabila waktu terdesak dan memerlukan wang tunai tambahan, ia boleh dijual atau dicairkan untuk membantu sumber kewangan keluarga.
Trend mencairkan atau menjual emas untuk mendapatkan wang tunai bagi menampung perbelanjaan keluarga turut berlaku di daerah ini.
Ia berikutan harga komoditi emas berkenaan di sini mencecah RM291 segram sekali gus mendorong kebanyakan pemilik aset itu berbuat demikian terutamanya untuk digunakan semasa sambutan Hari Raya Aildilfitri nanti.
Tak Menang Tangan Layan Pelanggan
Perkara itu diakui oleh Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noorhasliza Abd Rahman yang memaklumkan disebabkan situasi itu kakitangan kedai berkenaan tidak menang tangan melayani pelanggan sejak kedai dibuka jam 10 pagi pada Khamis.
“Harga emas kira dalam tahun ini memang antara yang tertinggilah setakat ini, kalau tengok dekat kedai sekarang pun orang ramai, banyak yang menjual emas dan tukar emas lama kepada yang baru.
“Kadang kita ingat emas tinggi orang (pelanggan) tidak akan datang tetapi di sini berlaku sebaliknya, tetapi kalau harga emas turun orang tak ada kat kedai,” katanya.
Malah pendapat itu senada dengan Pengurus Kedai Emas Pilah, Muhammad Ismail Rusli yang menjelaskan harga emas mencatatkan kenaikan sejak awal bulan Mac lepas.
“Harga emas ini berubah-berubah, kita tidak boleh jangka dan sekarang harganya naik ramai pelanggan saya yang datang ke kedai ini untuk menjual emas.
“Bagaimanapun ada juga yang datang untuk menukar emas lama dengan reka bentuk baharu untuk dijadikan simpanan dan ‘backup’ kepada simpanan tunai,” katanya.
Seorang pelanggan yang dikenali sebagai Dina, 27, dari Senaling berkata, kedatangannya ke kedai emas bertujuan untuk membeli ‘stok’ emas.
“Biasanya kalau wang tunai tu cepat habis kalau dalam tangan, jadi saya pilih untuk menyimpan emas untuk digunakan semasa saya menyambung pengajian nanti,” katanya yang bekerja sebagai pengurus syarikat.
Dia juga tidak menolak ada dalam kalangan masyarakat hari ini memilih untuk menggadaikannya di kedai pajak gadai walaupun menjualnya lebih untung, namun berpendapat ia pilihan masing-masing.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi kedai emas mendapati kebanyakannya mempunyai pelanggan, cuma satu dua kedai sahaja lengang.
Bagaimanapun mereka memaklumkan, harga emas diyakini akan terus meningkat dan masing-masing sudah bersedia menawarkan reka bentuk emas terbaharu selain bekalan emas dijangka lebih ‘meriah’ menjelang hari raya ini.
Mesti Baca:Untungnya Beli Emas, Jual Bila Terdesak, Pakai ‘Lasak’ Pun Nilai Ikut Harga Semasa
Baca Lagi Di Sini:Takkan Susut Nilai, UNTUNG Suami Hadiahkan Isteri Beli EMAS Setiap Bulan!
Artikel Menarik: Suami Ada Rezeki Lebih, Belilah Isteri EMAS, Bila Terdesak Inilah Membantu, Tidaklah Meminta-minta!
Mingguan Wanita: Memang tak rugi bila ada duit beli emas untuk dijadikan simpanan mahupun pelaburan. Malah boleh dijual atau dicairkan bila dalam keadaan terdesak apabila memerlukan wang untuk perbelanjaan.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.