Harapan Baru Kepada Pesakit Kanser Payudara Metastatik

Share

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011, seramai 18,206 wanita di negara ini menghidap kanser payudara, dengan 5,152 daripada mereka di peringkat kanser payudara lanjutan (Advanced Breast Cancer atau singkatannya, ABC), iaitu tahap 3 dan 4.

Kanser payudara metastatik, juga dikenali sebagai kanser payudara sekunder atau ABC, berlaku apabila penyakit berulang dan/atau sudah merebak daripada payudara ke bahagian badan yang lain seperti nodus limfa, tulang, paru-paru atau otak.

Kanser payudara sering dirujuk sebagai ‘penyakit penuaan,’ yang biasanya dikaitkan dengan wanita lebih tua. Selama hampir 20 tahun, kebanyakan penyelidikan saintifik terhadap kanser payudara metastatik telah ditumpukan kepada wanita putus haid (selepas menopaus) yang lazimnya berusia lebih daripada 50 tahun.

Bagaimanapun, wanita lebih muda atau belum putus haid (pramenopaus) juga boleh diserang oleh penyakit ini. Malah, ABC dalam kalangan wanita belum putus haid adalah nyata dari segi biologi dan merupakan bentuk kanser yang lebih agresif. ABC juga menjadi punca utama kematian akibat kanser dalam kalangan wanita berusia 20–59 tahun.


Gambar sekadar hiasan.

Lebih Separuh Pesakit Adalah Wanita Belum Putus Haid

Sungguhpun diagnosis kanser payudara amat membimbangkan pesakit dalam semua kumpulan usia, diagnosis pada usia lebih muda membawa pelbagai cabaran psikososial dan emosional yang unik seperti interaksi dengan pasangan, anak-anak dan ahli keluarga yang lain, imej badan, keseksualan, dan kehilangan kesuburan/putus haid awal (menopaus pramatang).

Dr. Matin Mellor Abdullah, Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Subang Jaya, berkata, “Di Malaysia, kira-kira 50 peratus pesakit kanser payudara berusia bawah 50 tahun. Lebih membimbangkan, lebih separuh daripada pesakit kanser payudara metastatik adalah wanita yang belum putus haid.” Ujarnya.

Jelas beliau lagi, “Wanita lebih muda mungkin mempunyai anak-anak untuk dijaga dan kerjaya untuk diuruskan; justeru, kesan kanser payudara ke atas situasi kewangan dan kehidupan harian mereka mungkin besar dan sukar untuk ditangani.

“ Sebagai seorang pakar onkologi, saya harap perkembangan baharu dalam penyelidikan kanser akan membolehkan kita membawa manfaat kepada golongan ini yang kurang diberi perhatian.” Jelasnya.

Kombinasi Ubat Baharu Dan Terapi Hormon Telah Melengahkan Penularan Penyakit

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus menambah baik kehidupan pesakit, Novartis telah mengenal pasti jurang yang terdapat dalam menangani keperluan kumpulan belum putus haid.

Syarikat tersebut dan rakan-rakan kerjasamanya baru-baru ini menyempurnakan satu kajian yang secara khusus menumpukan kepada pesakit kanser payudara metastatik yang belum putus haid.

Kajian ini, yang dijalankan di beberapa negara, ialah percubaan kawalan placebo, dwibuta, rambang Fasa III global, yang membabitkan dua kumpulan pesakit kanser payudara peringkat lanjutan HR+ atau HER2- .

Secara keseluruhannya, seramai 672 wanita, berusia 18 hingga 59 tahun, telah didaftarkan dalam uji kajian ini. Tujuannya adalah untuk menyiasat kemujaraban dan keselamatan penggunaan ubat baharu digabungkan dengan terapi hormon berbanding hanya terapi hormon sahaja sebagai pilihan rawatan awal untuk pesakit.

Keputusan yang diperoleh telah menunjukkan pengurangan 29 peratus risiko kematian dalam kalangan pesakit yang menerima ubat baharu dengan terapi hormon.

Menambah Baik Kualiti Hidup

Dr. Stephen Chia, MD, FRCPC, Profesor Perubatan, Onkologi Perubatan, British Columbia Cancer Agency, University of British Columbia, Pengerusi Bersama CCTG Breast Disease Site, Vancouver (BC), berkata, pesakit belum putus haid berdepan dengan situasi sosial yang berlainan.

“Mereka baru memulakan kehidupan. Mereka mungkin mempunyai keluarga untuk dijaga, malah sesetengah daripada mereka merupakan pencari nafkah.

“Mujurlah kajian yang telah dijalankan oleh Novartis dengan 40 peratus peserta berketurunan Asia, menunjukkan bahawa kombinasi ubat baharu dan terapi hormon telah melengahkan penularan penyakit.” Ujar Dr. Stephen.

Menurutnya lagi, “Separuh daripada pesakit yang diberi plasebo menjalani rawatan kemoterapi dalam dua tahun pertama, manakala mereka yang mengambil ubat baharu tidak memerlukan kemoterapi selama empat tahun atau lebih. Oleh itu, terapi ini bukan sahaja melengahkan mortaliti (kematian), tetapi juga menambah baik kualiti hidup.” Tambahnya.

Tidak Putus Asa

Meskipun tempoh percubaan telah tamat, pesakit yang turut serta ini masih menjalani rawatan susulan dengan harapan Novartis akan terus menambah baik pengetahuan tentang kanser metastatik yang dapat menghasilkan kaedah rawatan yang lebih baik.

Mohamed Elwakil, Pengurus Besar, Novartis Oncology Malaysia dan Brunei, berkata, “Kami di Novartis gembira kerana dapat menyokong pesakit kanser payudaya metastatik belum putus haid dalam perjalanan ini menerusi penyelidikan kami yang berterusan untuk mentafsirkan semula perubatan.

“Sesungguhnya mereka tidak harus putus asa dan terus menaruh harapan kerana terdapat rawatan yang telah menunjukkan kesan positif.” Jelasnya.

Pesakit kanser payudara metastatik tidak sewajarnya malu untuk membincangkan keadaan mereka dengan orang tersayang dan mendapatkan nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan mereka tentang pilihan rawatan yang boleh didapati.

Published by
julie roshana Shafee