Setiap kali kelahiran anak, nama yang bakal diberikan memainkan peranan penting dalam membawa harapan dan maksud yang baik buat si anak. Atas pengharapan yang tinggi ingin anak menjadi orang berguna apabila dewasa kelak, sepasang suami isteri menamakan anak mereka, ‘Google’.
Seorang bayi lelaki dinamakan Google oleh ibu bapanya di Jakarta, Indonesia dengan harapan dia akan menjadi berguna seperti enjin carian tersebut, lapor akhbar Mirror.
Ibu bayi berkenaan, Ella Karin, 27, dan suaminya, Andi Cahya Saputra menyambut kelahiran anak kedua mereka itu pada 30 November 2018 tetapi berita mengenai pilihan nama pelik tersebut cuma tular baru-baru ini.
Andi, 31, berkata, dia memilih nama teknologi itu semasa isterinya hamil tujuh bulan.
“Saya turut mempertimbangkan nama seperti Windows, iPhone, Microsoft dan iOS di samping nama lebih tradisional iaitu Albar Dirgantara Putra,” katanya.
Bagaimanapun, apabila anak itu lahir, bapanya memutuskan untuk memberi nama Google tanpa nama keluarga.
Menurut Andi, dia enggan meletakkan nama keluarga kerana ia akan menghilangkan zat nama tersebut.
Terbaru, kisah pasangan suami isteri yang memberikan nama anak mereka Google beberapa minggu lalu telah mendapat perhatian syarikat teknologi gergasi dunia itu. Menurut laporan Coconuts Jakarta, syarikat Google telah mengubungi bapa kepada bayi itu untuk memberi kejutan.
Difahamkan, pasangan Andi Cahya Saputra, 31, dan Ella Karina, 27 itu menerima hadiah istimewa daripada Google yang dihantar menggunakan teksi terus ke rumah mereka di Bekasi, Indonesia.
“Syarikat Google mengucapkan tahniah kepada kami serta mendoakan supaya bayi Google menjadi insan yang berguna dan akan membantu ramai orang apabila besar kelak,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu tidak berkongsi apakah hadiah yang diterima daripada pengurusan Google.
Andi berkata, pada awalnya, dia dan Ella mempunyai pilihan nama lain seperti Microsoft, iPhone, iOs, Windows dan sebagainya.
Bagaimanapun, mereka akhirnya menukar fikiran iaitu Google.
“Namanya Google. Hanya satu perkataan, G-o-o-g-l-e,” katanya.
MW: Setiap mak ayah, pastinya meletakkan nama yang baik-baik untuk anak-anak, dengan harapan ia membawa maksud dan kehidupan baik buat mereka. Apa pun nama yang diberikan oleh mak ayah ini, hormati sahaja pilihan nama dan keputusan mereka.Lagipun anak dan darah daging mereka sendiri. Bukannya beri nama untuk anak orang lain.
Sumber: Kosmo, Astro Awani