Haram sebar video & gambar aib mangsa kemalangan, menyakiti hati keluarga waris. Hari ini media sosial begitu terbuka di mana orang ramai sering berkongsi apa saja yang berlaku.
Tragedi pesawat terhempas di Elmina semalam sememangnya menggemparkan di mana 10 mangsa meninggal dunia. Namun penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan melibatkan identiti penghantar makanan food panda, yang pada awalnya identitinya tidak dikenal pasti yang meninggal akibat terbakar sememangnya amat menyedihkan. Arwah dikenali sebagai Apit atau nama sebenarnya Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 tahun.
Di sebalik penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan, ada sesuatu yang harus kita pelajari di mana HARAM HUKUMNYA SEBARKAN GAMBAR ATAU VIDEO AIB MANGSA KEMALANGAN. Bukan saja mendedahkan aibnya tapi juga menyakiti hati keluarga waris.
Di page Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada ditanya soal jawab mengenai perkara ini dan perbuatan ini jelas hukumnya HARAM.
Haram Sebar Video & Gambar Aib Mangsa Kemalangan
Menyakiti Hati Keluarga Waris – Mufti Wilayah
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Ringkasan Jawapan:
Perbuatan menyebarkan gambar mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya.
Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim). (Rujuk: ‘Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 1/141).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Riwayat Muslim (2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat dia atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
إن كسر عظم المؤمن ميتا مثل كسره حيا
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani “dapat diambil iktibar daripada hadis ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup”. (Rujuk: Fath al-Bari, 9/142).
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408). Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Sabda Nabi S.A.W yang mengisyaratkan hal ini:
لا تبرز فخذك ولا تنظر إلى فخذ حي ولا ميت
Maksudnya: “Jangan membuka paha kamu dan janganlah melihat kepada paha orang yang hidup atau meninggal dunia”.
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia. Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa jua yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya. Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulnya.
Kesimpulan
Tunstasnya, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.
Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :–Urusan Jenazah Berkaitan Dengan MARUAH & AIB, Waris Kena Buat!
Pemeliharaan Aib Dan Pelakuan Jenayah, Perkongsian Mantan Menteri Agama Dipuji
Setiap Manusia Ada Kisah Silamnya, Kita Jaga Aib Orang, Allah Jaga Aib Kita
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
“Kalau ditakdirkan, biar saya pergi dulu..” kata Zarina Zainuddin. Kasih ibu yang tidak pernah ada hujungnya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI