Menjadi seorang sukarelawan bukan sesuatu yang mudah. Anda perlu berkorban daripada masa, tenaga dan juga wang jika berkemampuan. Status sebagai isteri dan ibu juga kadang kala menyekat seseorang untuk menjadi seorang sukarelawan.
Namun berbeza dengan Nur Dieana Mohd Mardzi, 40-an, atau mesra dengan panggilan dengan Dieana, dia membutikan seorang isteri dan ibu juga mampu terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan sebegini dengan penglibatannya dengan Syria Care Malaysia.
Syria Care merupakan sebuah badan bukan kerajaan dan beroperasi di Shah Alam. Sebenarnya Dieana telah lama berkecimpung dalam bidang sukarelawan atau NGO iaitu sejak 2010 lagi. Sebelum ini dirinya pernah bekerja di dalam industri perbankan dan juga pendidikan sebelum terlibat secara serius sebagai sukarelawan.
“Segalanya bermula pada tahun 2010 di mana saya meyertai satu pertubuhan NGO iaitu Raudatus Sakinah iaitu sebuah pertubuhan yang mengurus tadbir remaja puteri yang tersasar. Kebetulan CEOnya ibu saudara saya, jadi saya mula berjinak-jinak dengan NGO sejak itu untuk membantu remaja-remaja yang bermasalah termasuklah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pelbagai masalah remaja.
“Sejak itulah saya mula bergelar sukarelawan dan mulai terlibat dengan beberapa NGO lain yang mengangkat isu kemanusiaan seperti isu Palestin, pemerkasaan mualaf dan sebagainya. Hinggalah pada tahun 2016, saya berjumpa dengan CEO Syria Care sendiri iaitu Ustazah Sakinah. Dia berkongsi tentang penderitaan masyarakat dan keadaan mereka di Syria. Dari situ saya tertarik dan mengambil langkah untuk menjadi sukarelawan di Syria Care.
“Saya juga mula terfikir di usia sebegini, apa salahnya saya memberi sepenuh komitmen kepada kerja-kerja kemanusian. Jadi bermula pada tahun 2016 hingga saat ini saya bersama Syria Care,” ungkap Pengurus Besar Syria Care satu-persatu.
Dalam masa yang sama, Dieana turut berkongsi pengalaman pertama kali ke Syria iatu pada tahun 2018. Secara kebetulan, misi itu dijalankan ketika bulan Ramadan. Bukan mudah kerana ianya merupakan kali pertama menggalas tanggungjawab dalam misi kemanusiaan. Di samping dipertanggungjawabkan untuk meyampaikan bantuan kepada pelarian Syria yang berada di sempadan Turki dan juga di dalam Syria sendiri.
“Apa yang boleh saya ceritakan adalah apabila berada di zon perang iaitu bumi yang telah terkena bencana kemanusiaan memang sebagai wanita dan ibu khususnya apabila melihat keadaan kanak-kanak di sana sukar nak gambarkan dengan perkataan tapi sangat-sangat meruntun jiwa.
“Apalagi melihat kanak-kanak yang trauma serta takut apabila didekati kita. Dengan keadaan fizikil mereka yang tidak sempurna, ada yang tangan tiada dan ada juga kaki kudung terkena letupan bom dari pelbagai latar belakang cerita. Jadi ia cukup memberi kesan kepada saya dan ianya cukup mahal. Ianya adalah bentuk sumbangan peribadi saya kepada masyarakat di sana.
“Pengalaman yang tak dapat saya lupakan adalah apabila saya berjumpa dengan seorang kanak-kanak, namanya Zainab dan berusia 9 tahun dan duduk di atas kerusi roda. Dia melihat saya dalam keadaan yang cukup trauma, dia menangis tak terhingga, Menurut ibunya, Zainab terkena serpihan bom, jadi dia takut apabila melihat orang luar akibat trauma.
“Saya terus terbayangkan anak saya berada dalam keadaan begitu, jadi saya terfikir apalah lagi yang dapat saya bantu anak kecil tersebut. Kebiasaanya petugas kemanusiaan dinasihatkan kalau boleh jangan menangs di depan mereka tetapi saya pada hari tersebut bukan saya tewas. Malah seluruh team saya tewas dengan perasaan melihat Zainab,” jelas Dieana lagi yang terlibat dalam misi Syria Care yang ke-enam pada tahun lalu.
Sudah tentu penglibatan Dieana dalam bidang sukarelawan mendapat restu keluarga. Ibu beranak satu ini bersyukur keluarga terutamanya suami memang menyokong kerja-kerja sukarelawan sebegini.
Suaminya sentiasa berada di belakang Dieana dan amat memahami tanggungjawabnya terhadap manusia lain kerana dia juga terlibat dalam bidang ini secara langsung. Malahan jika berkelapangan, suami Dieana juga turut turun padang bagi mendukung aktiviti-aktiviti yang Syria Care anjurkan dalam negara.
Begitu juga dengan anaknya yang berusia enam tahun juga sudah dapat menerima setiap kali sang ibu meninggalkannya. Sebelum ke sana, Dieana sedari awal akan terangkan pemergiaannya yang akan mengambil supaya dia peka dengan ketiadaannya kelak.
Kempen Musim Sejuk
Di samping itu, Dieana menggesa seluruh rakyat Malaysia menyumbang serta menyokong Kempen Musim Sejuk yang dianjurkan Syria Care. Kempen Musim Sejuk telah dilancarkan sejak bulan Ogos yang lalu.
Musim sejuk di Syria akan bermula penghujung Oktober dan pihak Syria Care akan menggerakkan bantuan kemanusian dari dalam negara kepada mereka yang berada di sana. Setakat ini bantuan telah dikhususkan seperti selimut, pakaian baju sejuk, pek makanan dan alat pemanas serta khemah. Kempen ini berlansung bermula Ogos sehingga 31 Disember, namun musim sejuk di Syria akan berterusan hingga Februari.
“Baru-baru ini kita ada lancarkan satu projek di mana kita mohon pada rakyat Malaysia menyumbang baju sejuk dan pakaian sejuk yang sesuai dan hantar kepada kami. Seterusnya Syria Care akan pekkan dan dihantar melalui kontena.
“Pada asalnya kita sasarkan satu kontena, luar biasanya masyarakat Malaysia kita berjaya menghantar iaitu telah berlepas awal September lalu sebanyak dua kontena 40 kaki yang besar dan kontena telah selamat sampai di sana,” ungkapnya.
“Selain itu, pihak Syria Care turut menjalankan projek Ikhlas 50, bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dengan hanya sedekah RM 50, kita boleh menaja sekurang-kurangnya satu selimut untuk satu keluarga. Malah melalui RM 50 juga kita dapat taja pek makanan untuk keluarga di Syria atau pun alat pemanas dan pakaian untuk mereka,” serunya bahawa dengan serendah RM 50 kita dapat memberi keselesaan kepada rakyat Syria dan akhirnya balasan pahala di akhirat buat kita.
Nasihatnya kepada rakyat Malaysia yang ingin turut serta membantu rakyat Syria, sebenarnya terdapat pelbagai cara dalam meringankan beban mereka di sana.
“Sesiapa sahaja yang ingin membantu kita boleh gerakkan bantuan kemanusiaan dari dalam negara. Selain itu terapkan kesedaran pada orang ramai tentang apa yang berlaku di Syria serta isu-isu kemanusiaan yang berlaku di sana atau boleh juga menghulurkan sumbangan kepada Syria Care dan kita akan hantar bantuan ke sana.
“Saya secara peribadi ingin mengajak anda semua iaitu rakyat Malaysia untuk sama-sama menggerakkan kempen musim sejuk melalui Syria Care kerana kesejukan di Syria bukan kesejukan yang biasa tetapi kesejukannya mampu meragut jiwa akibat tidak cukup pakaian dan makanan.
“Sebagai manusia marilah membantu dan menyokong misi kemanusian yang Syria Care anjurkan. Jika anda ingin mendapatkan maklumat tentang kempen ini anda boleh melayari facebook kami iaitu Syria Care Project,” katanya di akhir perbualan.