“Ya Allah rindunya pada dia, tiada kata yang mampu aku luahkan, rindu yang aku pendam, rindu nak kucup tangan itu, rindu nak berbantalkan lenganmu wahai suami. Ya Allah, kau terus berikan aku kekuatan untuk aku lalui liku-liku kehidupan ini. Tenanglah di sana wahai suamiku. Doa isterimu sentiasa mengiringmu tiap masa. Terima kasih Ya Allah kerana telah memberi peluang kepada aku untuk merasai nikmat kebahagiaan sebagai isteri bersama dia walaupun hanya sementara,” itulah antara doa yang sentiasa dititip oleh Nurzawani Mohd Ismawi, 25 (Wanie) terhadap arwah suaminya, Mohamad Arsyad Azhar, 24 yang telah kembali ke ramahtullah pada 26 September 2017 akibat kemalangan jalan raya.

Melepaskan suami kesayangan bukanlah satu perkara mudah apatah lagi baru 10 bulan menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Namun aturan Allah tiada siapa yang dapat sangkalkan.

“Tarikh 26 September akan menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 26 November 2016 kami dinikahkan dan 26 September 2017 selepas 10 bulan pernikahan kami, Arsyad kembali kepada penciptaNya. Segala aturan Allah itu ada hikmahnya, saya ada terbaca mesej arwah kepada rakan-rakannya iaitu nak bercinta selepas kahwin. Padanlah baru saja kenal arwah terus ajak kahwin. Walaupun kami tak sempat bercinta sekejap saja selepas berkahwin namun saya reda dan akan sambung bercinta sampai ke jannah. Saya reda atas semua ini,” luah Wanie ketika penulis bertemu dengannya di kediaman wanita ini yang terletak di Klang.

Bagaikan tidak sampai hati untuk menemubual wanita bertubuh kecil ini untuk mengimbau kembali nahas yang menimpa arwah suaminya. Namun dek kerana tugas penulis terpaksa lontarkan persoalan kepada dirinya. Wanie yang kelihatan tabah, menceritakan segalanya termasuklah menjaga Arsyad dalam keadaan koma selama tiga bulan.

“Hati isteri Mana Yang Tak Sayu Bila Suami Disayangi Tiba-Tiba Ditimpa Musibah. Kepalanya Tinggal Kulit Dengan Otak.” Wanie Hanya Sempat Bergelar Isteri 10 Bulan
Motosikal yang ditunggang arwah ketika kemalangan, motosikal ini juga merupakan kesayangan arwah.

Arsyad Tak Banyak Cakap

Menurut Wanie nahas berlaku pada 13 Jun 2017 hampir dua minggu umat Islam mengerjakan ibadah puasa. Tiada kelainan yang berlaku malah Arsyad juga sewaktu keluar dari rumah melangkah ke pejabatnya seperti kebiasaan dengan menunggang motosikal miliknya.

IKLAN

“Beberapa hari sebelum kejadian dia tak banyak bercakap, bila ajak berbual-bual dia lari-lari. Sebenarnya kami baru saja tinggal bersama, selepas bernikah kami tinggal berasingan Arsyad tinggal di Seremban dan saya di Klang. Sebabnya dia bekerja dengan bapanya, saya pula bekerja di Selangor dan hujung minggu saya perlu hadiri kelas (menyambung pengajian separuh masa) di UiTM Shah Alam. Dia kemudiannya bertukar kerja di Petaling Jaya dek kerana tak nak duduk berjauhan dengan saya.

“Pada 13 Jun lebih kurang pukul 6 petang saya cuba hubungi telefon bimbitnya namun tak berjawab dan saya mesej pun tak berbalas. Hati saya semakin risau, sebab pada kebiasaanya dia keluar pejabat jam 5 petang. Kemudian saya dapat panggilan dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) yang menyatakan Arsyad terbabit dalam kemalangan. Dia telah terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Kesas. Mengikut cerita dia baru keluar dari jalan motor dan terlanggar belakang lori. Kecederaan yang dialami cukup teruk kerana terkena bahagian kepala dan pendarahan berlaku di otak.

“Sewaktu di hospital saya tak perasan Arsyad padahal banyak kali lalu lalang di katil dia ditempatkan. Bila jururawat tunjuk terus saya terkedu dan langsung tak mengalirkan air mata. Kepala dia berdarah kemudian doktor lakukan pembedahan untuk membuang darah di kepalanya. Selepas pembedahan dia langsung tak ingat kerana otaknya cedera, tak boleh bercakap cuma yang memberi tindak balas hanya dari reaksi mata, kaki atau tangan. Sepanjang dia koma, saya sentiasa bercakap dengan dia. Doktor tak bagi harapan tapi Arsyad sentiasa menunjukkan respon yang positif.

IKLAN

“Hati isteri mana yang tak sayu bila suami yang disayangi tiba-tiba ditimpa musibah. Kepalanya tinggal kulit dengan otak. Doktor pesan kalau nak dia pulih cepat kena banyak bercakap dengan dia. Masa saya pegang kepala dia tak rasa apa-apa lama kelaamaan otak dia mula bertindak balas. Doktor pakar mata pula beritahu sebelah mata tak nampak. Saya sering berbisik pada Arsya selama ini Allah dah bagi pinjam nikmat melihat selama 24 tahun jadi bersyukurlah dengan keadaan yang ada. Doktor suruh saya beritahu semua yang berlaku agar bila dia sihat nanti, dia tak terkejut melihat keadaannya. Doktor anggarkan Arsyad boleh pulih tetapi mengambil masa yang agak lama lebih kurang tiga atau empat tahun.

“Dalam tempoh, tiga bulan menjaga Arsyad saya berasa hilang penat bila berada di sisi dia. Saya sentiasa berdoa agar Arsyad pulih seperti sedia kala. Pada ketika itu saya tak kisah susah sikit janji saya boleh beri yang terbaik buat suami saya. Jika saya bekerja abang Arsyad akan menjaga dia. Sehinggalah satu hari doktor memberitahu Arsyad kena sawan. Keadaannya bertambah kritikal dan dipindahkan dari HTAR ke Hospital Sungai Buloh. Di sini saya tak dapat jaga di sepanjang masa kerana tak dibenarkan menunggu pesakit. Saya sambut raya pertama dengan suami di hospital. Saya sentiasa berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk Arsyad lawan kesakitan yang ditanggungnya dan permudahkan urusan pemulihannya,” ujar Wanie yang tidak membeli sebarang persiapan baju raya kerana dia dan Arsyad sebelum itu telah merancang untuk memakai baju nikah mereka.

IKLAN
“Hati isteri Mana Yang Tak Sayu Bila Suami Disayangi Tiba-Tiba Ditimpa Musibah. Kepalanya Tinggal Kulit Dengan Otak.” Wanie Hanya Sempat Bergelar Isteri 10 Bulan
Wanie akan membelek album perkahwinan mereka tatkala rindu menyelubungi dirinya.

Allah Lebih Sayangkan Arsyad

Ketika keadaan Arsyad kritikal doktor telah memberitahu Wanie, dengan tenang wanita ini menghadapinya dengan cukup tabah.
“Selepas tiga bulan menjaga suami, doktor beritahu keadaan Arsyad tidak stabil. Kemudian saya terus menggigil dan terus tunaikan sembahyang Maghrib. Selepas solat saya lihat langsir di sekeliling katilnya ditutup. Jururawat meminta maaf dan beritahu jantung Arsyad berhenti sekejap. Bila lihat keadaan dia lemah, saya cakap dengan kalau awak nak pergi tak apalah pergilah, dia tak sedar ketika itu tetapi saya tahu dia dengar apa yang saya katakan. Dan saya beritahu saya sudah maafkan dia dan halalkan makan minum dia, air mata dia terus meleleh,” ungkap Wanie sambil menahan air matanya daripada mengalir.

Wanie juga menjelaskan dia reda dengan pemergiaan arwah walaupun tidak sempat meraikan ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama namun dia sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana. Ungkap Wanie buat arwah Arsyad;

“Melepaskanmu walau bukan mudah bagiku untuk lalui semua ini, buat Arsyad 26/9/17 tarikh yang sayang takkan pernah lupa. 26/11/16 hingga 26/11/17 genap 10 bulan pernikahan kita. Cantik sangat aturan Allah tu. Baba tunggu sayang di pintu syurga ya. Kita sambung bercinta sampai jannah. Sayang reda atas semua ini. Sayang bangga dengan baba. Baba dah fight habis baik. You always be my superhero sayang. Kebetulan juga plat no motosikal 9392 nombor kesukaan baba. Amat bermakna buat sayang. Kebetulan nombor itu tahun lahir kita brdua. Terima kasih baba dah jadi suami yang terbaik, sanggup korban ape saja untuk sayang. Semuanya akan jadi kenangan untuk sayang. Baba rehat di sana. Senyuman baba tu akan sayang ingat, sayang akan cuba jadi macam baba. Senyuman yang tak lekang dekat di bibir.”

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI