Kasih sayang suami, Fairol Haziri, 41, terhadap isteri yang sedang terlantar koma terbukti tiada galang gantinya. Lebih menyayatkan hati apabila perlu menjaga bayi yang diberi nama Farah Hanis Fairol Haziri yang baru dilahirkan isteri ketika dalam koma.
Bayi ini begitu kuat dan dianggap ajaib. Kerana pernah dimaklumkan ketika dalam kandungan isterinya si comel itu mungkin tidak dapat diselamatkan.
Dek kerana Kamareeah Arwae, 36, disahkan menghidap ketumbuhan di kepala perlu menjalani beberapa siri rawatan yang cukup hebat.
Ternyata keajaiban itu milik Allah. Bayi yang kini berusia hampir tiga bulan itu tetap kuat bernafas di bumi Allah, Tuhan Pencipta Alam.
Saat wanita lain bergembira dikhabarkan berita bahawa diri berbadan dua. Berbeza dengan Kamareeah yang ketika itu disahkan mengidap ketumbuhan dalam kepala sejak Disember yang lalu.
Menurut Fairol, memang sejak awal dia mengetahui isterinya Kamareeah sedang hamil. Malah doktor turut memaklumkan bahawa janin yang dikandung mungkin tidak dapat bertahan lama.
“Isteri saya terpaksa melalui banyak proses imbasan dan doktor ada menerangkan risiko proses itu terhadap janin
.“Ketika hamil juga isteri saya terpaksa jalani pembedahan membuang tumor sebesar bola ping pong. Waktu itu usia kandungannya baru memasuki empat bulan atau pada trimester kedua,” ceritanya.
Tambahnya lagi, doktor memaklumkan bahawa bayi yang dikandung itu berkemungkinan akan meninggal dunia dalam kandungan atau gugur sendiri. Ini berikutan keadaannya sangat lemah.
Mengenangkan keadaan isteri yang tidak bermaya, Faizol reda dengan sebarang kemungkinan. Dia juga tidak mahu membahayakan nyawa isteri tercinta.
“Selepas menjalani dua pembedahan, termasuk membuang tempurung kepala, isteri dibenarkan pulang. Dalam tempoh itu, kandungannya masih kuat dan tidak menunjukkan tanda-tanda negatif.
“Sepanjang kehamilan, isteri saya hanya bergantung kepada susu sahaja. Syukur bayi kami membesar dengan sihat. Doktor pun kata bayi kami bayi ajaib.
“Apabila kandungan berusia 33 minggu dan semakin membesar dengan normal. Masa itu pun pembentukan sifat janin dah sempurna, pegawai perubatan mengambil keputusan anak kami dilahirkan melalui pembedahan,” katanya lagi.
Farah Hanis dilahirkan pramatang dengan menghadapi sedikit komplikasi. Dia ditahan di wad selama kira-kira tiga minggu sebelum dibenarkan pulang.
“Anak saya itu walaupun dilahirkan secara pramatang, tapi Alhamdullilah dia sihat. Sama seperti kanak-kanak normal lain,” katanya penuh syukur.
Fairol Haziri berkata, selepas dilahirkan bayinya sempat diberikan susu ibu oleh seorang ibu susuan selama dua minggu. Kini bergantung pada susu formula khas untuk bayi pramatang.
Selain Farah Hanis, pasangan ini turut memiliki seorang lagi anak, Farras Hazim, setahun tujuh bulan. Anak sulungnya itu juga masih diberikan susu ibunya sebelum isterinya itu koma.
“Selepas isteri koma, Farras terus terputus susu ibu. Dia juga enggan minum susu formula kerana sebelum ini dia memang menyusu badan sepenuhnya
.“Mungkin ini semua berlaku secara mengejut menyebabkan dia tidak mahu minum susu formula,” ceritanya perihal anak kedua.
Menurut Fairol lagi walaupun kurang kemampuan, dia tidak akan serahkan bayi istimewanya itu kepada orang lain. Sejak hari pertama bayi itu dilahirkan, dia menerima puluhan panggilan telefon. Termasuk ada yang datang berjumpa dengannya untuk meminta menjaga anaknya itu.
Sehingga kini bayinya itu dijaga oleh sepupu yang sangat rapat dengannya. Sepupunya itu tinggal berjiran dengannya di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.
“Saya faham yang mereka ingin membantu, tapi kami tidak sanggup berpisah. Farah Hanis adalah satu anugerah malah kelahirannya adalah satu keajaiban dan bukti kebesaran Allah SWT. Walaupun memang diakui saya tidak mampu menjaganya,” katanya penuh sebak.
Dengan keadaan isteri yang masih lagi koma. Ditambah pula dengan anak-anak yang sedang membesar, pastinya memerlukan sejumlah wang yang agak besar setiap bulan.
Sebelum ini Fairol pernah menguruskan sebuah kedai makan, tetapi premis tersebut terpaksa ditutup. Ekoran keadaan isteri yang memerlukan penjagaan sepenuhnya.
Dia kini tidak bekerja dan terpaksa mengharapkan ihsan orang ramai serta bantuan beberapa pihak lain. Bagi menampung kos susu khas dan lampin pakai buang untuk isterinya.
Bukan tiada bantuan yang diterima. Selain sumbangan ahli keluarga dan sanak saudara, bapa kepada dua orang anak ini turut mendapat bantuan kewangan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Dantuan bulanan sebanyak RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bantuan-bantuan inilah digunakan sepenuhnya untuk keperluan isteri yang sedang terlantar koma.
Ia ternyata tidak memadai memandangkan dia perlu membeli susu khas untuk isterinya. Harga susu pun mencecah RM92 setiap tin. Itu pun cuma bertahan untuk tiga hari sahaja.
Belum lagi soal perbelanjaan lampin pakai buang, peralatan sedut kahak dan keperluan-keperluan perubatan yang lain.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Menurut Fairol lagi walaupun sedih melihatkan keadaan isterinya yang hanya terlantar di katil, tiada apa yang diharapkan lagi.
Harapannya mahu melihat isterinya kembali pulih dan menjalani kehidupan normal seperti sedia kala di samping dirinya dan anak mereka.
“Saya reda atas apa yang berlaku, memang sedih tengok keadaan dia. Setiap kali berdoa selepas solat saya akan menangis. Saya nak dia sedar semula,” katanya dengan nada sedih.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga Fairol Haziri, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Fairol Haziri bernombor 0300141000081183.
FOTO: SINAR HARIAN