‘Tinggal Attar seorang, semua dah tak ada.”
Kata-kata meruntun jiwa itu disuarakan Attar Azim Syukran Jamil, 9, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas mengorbankan empat ahli keluarganya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu – Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan pada Sabtu lalu.
Menurut Ibu saudara kanak-kanak tersebut, Umi Salwa Ab Hamid, 40, berkata, perasaan sebak itu diluahkan murid Tahun Tiga tersebut sebaik dimaklumkan mengenai pemergian ibu bapa dan dua adiknya.
Menurutnya, pada mulanya Attar Azim yang cedera dalam kejadian itu dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra tidak percaya dan hanya menganggap kematian ahli keluarganya sebagai gurauan.
“Sehinggalah pagi tadi, pak longnya beritahu sekali lagi. Kenyataan itu membuatnya terdiam, dia hanya memandang ke atas seolah sedang menahan sebak.
“Apabila dia menyebut ‘semua dah tak ada’, itu membuatkan kami bertambah pilu dan sedih,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Trolak Utara dekat Sungkai di sini pada Ahad, memetik sumber Sinar Harian.
Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, Syukran Jamil Ab Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun bersama bayi mereka, Lufya Adeena berusia setahun maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi anak pasangan itu, Ahya Rafiqi, 6, pula disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan di hospital.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.
Umi Salwa berkata, keadaan kesihatan Attar Azim menunjukkan perkembangan positif dan telah dibenarkan keluar dari hospital.
Katanya, keadaan itu memberi kesempatan kepada anak yatim piatu itu mengiringi jenazah ahli keluarganya untuk dikebumikan di sini hari ini.
“Proses mandi dan kafan jenazah diselesaikan di hospital. Insya-ALLAH kesemua jenazah akan tiba di sini (Sungkai) lewat petang ini untuk pengebumian,” katanya.
Dalam pada itu, Umi Salwa berkata, pemergian Syukran Jamil amat dirasai ahli keluarga terutama ibu bapa mereka apatah lagi anak kelapan daripada sembilan beradik itu seorang yang ceria dan suka bergurau.
Katanya, Allahyarham yang berkhidmat sebagai guru Kafa Ar Raudhah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam juga mempunyai hubungan rapat dengan anak saudara dan menjadi antara orang kuat dalam penganjuran hari keluarga.
“Kami adik-beradik memang rapat, setiap tahun ada sahaja acara supaya kami dapat berkumpul dan selalunya memang arwahlah paling teruja.
“Kali terakhir kami berjumpa pada Januari lepas sewaktu hari pertunangan anak saudara kami. Arwah dan keluarga nampak biasa sahaja dan ceria seperti selalu.
“Arwah ada sediakan hadiah kelahiran anak kepada adik bongsu kami lebih awal, seolah-olah macam tahu dia akan pergi,” katanya.
Jenazah empat beranak akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara di sini.