Hampir Setahun Telah Berlalu, Nadia & Anak-anak Belum Terima Sepenuhnya Ketiadaan Suami

Share

Sesungguhnya bukan mudah menghadapi perpisahan, apatah lagi perpisahan yang terjadi bukanlah dipinta. Suami yang selama ini menjadi tempat bergantung harap serta tempat mengadu kasih akhirnya pergi sekelip mata mengadap panggilan Ilahi.

Ternyata ujian ini bukan sesuatu yang mudah buat  Noor Nadia Kamaludin, 30 tahun. Tetapi demi anak-anaknya dia perlu bangkit untuk meneruskan hidup.

Biar pun hampir setahun Mohd Fatah Hashim, 35 tahun, iaitu salah seorang dariapada enam anggota bomba yang maut dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong berhampiran Taman Putra perdana, Puchong, Selangor meninggalkan isteri dan anak-anaknya, tetapi ingatan mereka padanya tetap utuh.

“Saya memang akui, terpaksa melalui perpisahan dengan suami tercinta secara tiba-tiba memang perit dan payah. Apatah lagi anak-anak yang arwah tinggalkan masih kecil dan perlu kasih sayang seorang abah.

“Arwah suami terlalu rapat dengan anak-anak, sejujurnya sehingga saat ini saya masih belum mampu terima sepenuhnya. Tetapi demi anak-anak, sebagai  ibu, saya cuba kuatkan diri kerana bukan mudah untuk hadapi segalanya seorang dir

i.

“Lebih-lebih lagi, kami hanya tinggal bertiga dan bayangan dia selalu ada.  Anak-anak juga tak pernah lekang dari mulut bercerita tentang abah. Biasalah saya juga manusia biasa, kadang kala kuat dan kadang kala jatuh lemah, tetapi demi anak-anak saya tetap tersenyum walaupun di dalam hati, hanya allah yang mengerti,” ungkapnya yang percaya setiap apa yang berlaku sudah tentu ada asbab yang Allah inginkan.

Mencuba Nasib Mencari Kerja

Jelas Noor Nadia, sejak allahyarham suaminya masih ada, dirinya tidak bekerja disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya iaitu penyakit hyper tiroid yang dialaminya.

Namun keadaan sekarang memaksa dirinya untuk mencari pekerjaan yang sesuai bagi menampung keluarga terutamanya anak-anaknya iaitu Nur Medina Aisya Mohd Fatah, 4, dan Muhammad Meqa Al Asyraf, 3, yang kian membesar.

Kini keluarga kecil ini tinggal di Projek Perumahan Rakyat Bandar Uda Utama, Johor Bahru kini hanya bergantung harap pada wang pencen arwah suaminya dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anaknya yang bernilai RM 200. Kelak anak-anaknya akan bersekolah, perkara ini mula merunsingkan fikirannya.

Biar pun ibu muda ini diuji hebat, dirinya bersyukur tatkala keluarganya banyak memberi kata-kata semangat untuk meneruskan hidup. Isteri-isteri bomba yang turut sama terkorban ketika kejadian lemas suaminya juga  sentiasa berhubung dan memberi semangat antara satu sama lain.

“Alhamdulillah saat saya diuji, orang lain turut diuji sama. Kami mempunyai nasib yang sama, jadi kami sering berkongsi perasaan antara isteri-isteri bomba yang terlibat dalam kejadian lemas itu. Paling utama anak-anak penyebab saya kuat sehinggga hari ini.

“Bergelar ibu tunggal memberi banyak cabaran paling saya antaranya saya masih lagi belajar membesarkan anak seorang diri disebabkan saya mempunyai penyakit. Ada ketikanya saya di pandang serong dan di fitnah hanya kerana status ibu tunggal muda. Apa yang saya nyatakan, semua yang berlaku ada sebabnya dan beri saya pengajaran pada saya serta belajar untuk menjadi lebih kuat,” katanya lagi.

Anak-anak tak pernah lekang menyebut nama ayah mereka seolah-olah arwah masih ada bersama.

Anak-anak Tidak Pernah Lupakan Abah

Setiap hari sehingga ke saat ini, anak-anak masih tidak pernah lekang menyebut tentang abah mereka. Lebih menikam hatinya, pabila anak keduanya tidak sihat akan memanggil nama abahnya.

Sebagai ibu, sudah tentu hatinya diruntun pilu setiap kali melihat anak-anak sedih meratap kehilangan abah mereka. Apatah lagi mereka masih kecil dan sangat perlukan perhatian seorang “abah”.

“Jika yang bongsu sering memanggil abahnya, kakak pula sering sebut apa sahaja berkaitan dengan abahnya. Macam apa abah selalu beli, macam abah selalu buat dan kakak sayang abah.

“Tetapi Allah Maha Adil walaupun dia ambil suami saya, Allah berikan anak-anak yang penyayang dan sangat memahami kepada saya. Saya juga selalu minta anak-anak doakan abah mereka dan beritahu abah mereka ada dimana.

“Alhamdulillah anak-anak bila di tanya akan beritahu abah tidur di syurga. Biarlah satu masa nanti mereka akan tahu siapa abah mereka, baru mereka akan mengerti apa yang telah berlaku,” ujarnya yang bersyukur dikurniakan suami yang hebat seperti suaminya.

Harapan Noor Nadia hanya satu,  semoga Allah mengurniakan kekuatan kepadanya dan anak-anak tanpa suami disisi. Dirinya tidak menafikan terlalu perlu dia pelajari untuk menerima hakikat hidup.

Sesekali untuk menguatkan hati, wanita ini memandang orang yang lebih susah agar dirinya terasa kuat untuk teruskan hidup yang serba mencabar.

 

Published by
Syazwani Mehat