“Hampir 90% Rumahtangga Berakhir Penceraian, Pergaduhan Mereka Yang Mengabaikan SOLAT” . Itulah antara fakta yang diberikan oleh Mantan Perundingcara Keluarga, Ustazah Asma’ binti Harun menerusi perkongsian di akaun Facebooknya.
Solat adalah tiang agama. Jika tiada solat maka runtuhlah agama ibarat rumah yang tidak bertiang.
Pasangan suami isteri yang gagal mempertahankan keharmonian rumah tangga sehingga berlaku penceraian didapati berpunca daripada sikap keengganan menunaikan solat lima waktu.
Menurut Ustazah Asma’ punca perpecahan dan penceraian suami Isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’ tetapi ia bukan punca paling tinggi. Sebaliknya punca utama dan terbesar adalah kurangnya pegangan dan amalan agama – kayu ukur utama adalah Solat dan Rukun Islam yang lain.
“Saya bukan nak ambil kesempatan dengan isu ini, lagipun dah agak terlambat, sekarang dah mula sejuk, ia panas ketika saya dalam misi kemanusiaan di sempadan Syria tempoh hari. Saya membuat catatan ini dalam perjalanan daripada airport Jeddah menuju ke Madinah, dalam 1 jam lagi akan tiba.
“Berkaitan seorang pembimbing/penasihat ilmu ‘hubungan intim’ suami isteri, sudah banyak pihak bersuara, pihak berwajib telah mengeluarkan kenyataan, dan pihak berkenaan juga sudah memohon maaf secara terbuka.
“Saya sebenarnya nak mengulas isu ni sebagai seorang yang berpengalaman menjadi Perundingcara Rumahtangga sepenuh masa, daripada tahun 2008 – 2013 (4 tahun lebih), Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam (Ketua Unit Rundingcara), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM yang bertugas di NS.
“Pertama, memang benar di antara punca perpecahan dan penceraian Suami Isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’. Tetapi ia bukan punca paling tinggi.
‘Kedua, punca utama dan terbesar adalah kurang pegangan dan amalan agama – kayu ukur utama adalah Solat dan Rukun Islam yang lain.
“Hampir 90% rumahtangga yang berakhir dengan penceraian atau menghadapi syiqaq (pergaduhan) berpanjangan adalah mereka yang mengabaikan SOLAT, walaupun pasangan datang mengadukan isu lain seperti orang ketiga, keewangan, hubungan intim dll. Ramai yang tidak nampak perkaitan solat dengan semua masalah yang timbul.
“Semua ni ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas.
“Ketiga, masalah ‘hubungan intim’ ada kalanya menjadi sebab utama, tapi kebanyakannya adalah kesan akibat bila syariat Islam diabaikan.
“Contoh mudah faham, seorang suami yang tidak solat, pasti cenderung abaikan juga tanggungjawab asas sebagai suami, dan mempunyai sikap yang tidak menyenangkan, paling utama hilang berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat Allah, maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai Ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah.
“Begitu juga dengan seorang isteri yang tidak solat, jika kewajipan paling utama sebagai muslim diabaikan dan tidak rasa berdosa, maka apa sangat nak rasa berdosa bila menolak ajakan suami tanpa sebab kukuh, walaupun amaran yang sangat berat.
“Keempat, sebagai perundingcara, memang saya berdepan langsung dengan ramai pasangan yang ada masalah dengan ‘hubungan intim’. Saya cuba bantu dengan dua keadaan, pertama, menjawab kepada soalan yang berkait hukum hakam hubungan intim. Kedua, saranan yang perlu mereka lakukan, saranan agama dan rawatan perubatan.
“Sebenarnya sangat banyak saranan agama, bahkan ada banyak kitab penulisan alim ulama berkait ilmu ini, termasuk yang sangat asas iaitu bacaan doa, inipun ramai yang tidak beramal, sedangkan ia adalah benteng kepada gangguan Iblis dan Syaitan yang nak rosakkan hubungan suami isteri melalui jalan ini.
Daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma , bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:
بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
Maksudnya: “Dengan nama Allah, ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami.”
Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudharatkan oleh syaitan selamanya.” [Riwayat al-Bukhari (6388)]
– Rezeki ketika hubungan Intim suami isteri bukan sahaja anak, termasuk juga kasih sayang dan kemesraan yang terhasil daripadanya.
“Namun banyak juga punca yang turut memerlukan rawatan perubatan, dan ia sangat membantu kes klien bila dirujuk. Terutama wanita yang trauma selepas bersalin atau faktor umur yang telah mula menggangu hormon dll. Begitu juga para suami yang bermasalah.
“Apa yang saya nak nyatakan, ilmu ini memang sangat penting, ia boleh diperolehi daripada sumber fitrah semulajadi, atau dipelajari secara tidak langsung dengan capaian ilmu dari persekitaran atau boleh juga secara formal.
“Bila secara formal ni, samada melalui individu, penulisan atau rakaman video. Yang menjadi perhatian utama adalah CARA DAN ISI ILMU YANG DISAMPAIKAN, ilmu ni seolahnya tidak spesifik kepada yang ada kelayakan tertentu, sebenarnya ramai lagi selain individu yang panas dibicarakan ini aktif menyampaikan topik ini.
“Baiklah, saya tidak mahu menyelak kesilapan, tapi lebih kepada saranan kepada semua pihak yang mahu membantu pasangan suami isteri yang menghadapi masalah ini ;
1- Tidak mencampurkan antara lelaki dan wanita secara umum di dalam satu group media sosial atau bersemuka. Seeloknya lelaki diberi nasihat oleh lelaki, kecuali jika sesi itu melibatkan pasangan suami isteri berdua sahaja (sesi rundingcara/kaunseling pasangan).
2- Menggunakan ayat yang tidak menyebabkan kecenderungan untuk membayangkan secara jelas hingga boleh menaikkan syahwat.
3- Tidak mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak lagi sebumbung atau sehaluan, bahkan walaupun diberi alasan tiada siapa yang tahu dirinya siapa. Kerana boleh jadi pasangannya tahu atau ia boleh berlaku ketirisan maklumat.
4- Tidak perlu menceritakan secara teliti tentang kaedah pelaksanaan hubungan intim, kerana ia adalah sesuatu yang sedia maklum, atau berikan sahaja sumber rujukan ilmiah atau jika perlu kepada yang terlalu naif, diberikan perincian secara bertulis dan khusus / tertutup.
5- Tidak menyarankan perkara yang membawa kepada melanggar syariat Islam atau melampaui batasan norma, kerana ia akan memberi kesan buruk seperti dorongan fantasi yang berlebihan sehingga memaksa pasangan untuk melaksanakan diluar kesanggupan.
6- Konsultasi yang dilaksanakan diurus dengan penuh tatatertib kerahsiaan yang tinggi dan tatacara yang bermaruah.
7- Turut menjemput individu yang bertauliah seperti doktor, kaunselor, perundingcara rumah tangga, peguam dll yang berautoriti dalam bidang ini. Mereka yang diberi latihan khusus untuk mengendalikan serta memberi konsultasi yang berkaitan. Cara ini juga akan mengukuhkan keabsahan ilmu dan kedudukan pihak penyampai ilmu tersebut.
“Buat saudari, saya faham asal tujuan niat dihati untuk membantu, bahkan sudah banyak pasangan yang kembali harmoni. Apa yang baik boleh diteruskan, yang sebaliknya boleh dibaiki.
“Pesanan buat semua pasangan, dalam berusaha menyelesaikan apa jua masalah rumahtangga, ingatlah bahawa perunding, penasihat, kaunselor atau pegawai agama mahupun sesiapa yang dipercayai adalah perantaraan sahaja, paling utama peliharalah hubungan dengan Allah, maka Allah akan memelihara hubungan sesama kita.
“Yakin dan kembalilah kepada Allah SWT, patuhi perintah dan tinggalkan laranganNya, lalu berusaha dan berdoa kepadaNya. Dialah Allah Ya Fattah yang Maha Membuka dan memberi jalan keluar dengan tepat dan sempurna. Allahumma aamin.
PESAN NABI SAW BERKAIT MEMBUKA AIB PASANGAN
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا
Maksudnya: “Sungguh manusia yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat menurut Allah adalah orang lelaki (suami) yang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya kemudian menyebarkan rahsia yang terjadi di dalamnya.” (HR Muslim, hadis sahih)
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa HARAM hukum bagi seorang lelaki menyebarluaskan apa yang terjadi antara dia dan isterinya pada saat bercampur (hubungan intim), memberikan gambaran terperinci, termasuk apa yang terjadi pada seorang wanita pada saat melakukannya baik dari ucapan dan perilaku bercampuran ataupun yang lainnya”.
(Rujuk Syarah Shahih Muslim: 10/9)
Walaupun hadis tersebut menyebut tentang sikap suami, tetapi ulama’ menyebut HUKUM INI JUGA TURUT TERPAKAI BUAT ISTERI DAN JUGA MERUPAKAN PERINGATAN KERAS BUAT KEDUANYA SEKALI.
“Tidak salah ingin berkongsi tips kekeluargaan, rumah tangga bahagia, tapi bila sampai menjadi perbualan saling membuka aib pasangan, cerita pengalaman sendiri sebagai panduan atau menjelaskan kaedah yang sangat terperinci sehingga boleh dibayangkan dll ia adalah dilarang.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ، فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: “Jika engkau tidak ada lagi rasa malu, maka buatlah sesuka hatimu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Ayat “buatlah sesuka hatimu” itu bukan bererti Rasulullah SAW beri kebebasan kepada kita untuk lakukan sewenangnya, tapi ia merupakan satu sindiran yang amat pedih bagi mereka yang memiliki iman. Kita bimbang jika Allah dan Rasulullah sudah TIDAK LAGI PEDULI PADA KITA sedangkan Syurga-Nya dan syafaat Baginda yang kita tagihkan.
“Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada semua yang berlaku,” kongsinya.
Baca Disini : “Tasbih Sentiasa Di Tangan”, Ustazah Asma’ Kongsi Pramugari Emirates Di Sebalik Penampilan Tidak Bertudung
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian daripada Ustazah Asma’ menjadi ingatan buat kita semua.
Sumber : Facebook Ustazah Asma’ Harun
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.