“Hampir 90% Rumahtangga Berakhir Penceraian, Pergaduhan Mereka Yang Mengabaikan SOLAT” . Itulah antara fakta yang diberikan oleh Mantan Perundingcara Keluarga, Ustazah Asma’ binti Harun menerusi perkongsian di akaun Facebooknya.
Solat adalah tiang agama. Jika tiada solat maka runtuhlah agama ibarat rumah yang tidak bertiang.
Pasangan suami isteri yang gagal mempertahankan keharmonian rumah tangga sehingga berlaku penceraian didapati berpunca daripada sikap keengganan menunaikan solat lima waktu.
“Hampir 90% Rumahtangga Berakhir Penceraian, Pergaduhan Mereka Yang Mengabaikan SOLAT”
Menurut Ustazah Asma’ punca perpecahan dan penceraian suami Isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’ tetapi ia bukan punca paling tinggi. Sebaliknya punca utama dan terbesar adalah kurangnya pegangan dan amalan agama – kayu ukur utama adalah Solat dan Rukun Islam yang lain.
“Saya bukan nak ambil kesempatan dengan isu ini, lagipun dah agak terlambat, sekarang dah mula sejuk, ia panas ketika saya dalam misi kemanusiaan di sempadan Syria tempoh hari. Saya membuat catatan ini dalam perjalanan daripada airport Jeddah menuju ke Madinah, dalam 1 jam lagi akan tiba.
“Berkaitan seorang pembimbing/penasihat ilmu ‘hubungan intim’ suami isteri, sudah banyak pihak bersuara, pihak berwajib telah mengeluarkan kenyataan, dan pihak berkenaan juga sudah memohon maaf secara terbuka.
“Saya sebenarnya nak mengulas isu ni sebagai seorang yang berpengalaman menjadi Perundingcara Rumahtangga sepenuh masa, daripada tahun 2008 – 2013 (4 tahun lebih), Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam (Ketua Unit Rundingcara), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM yang bertugas di NS.
BEBERAPA PERKARA ;
“Pertama, memang benar di antara punca perpecahan dan penceraian Suami Isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’. Tetapi ia bukan punca paling tinggi.
‘Kedua, punca utama dan terbesar adalah kurang pegangan dan amalan agama – kayu ukur utama adalah Solat dan Rukun Islam yang lain.
“Hampir 90% rumahtangga yang berakhir dengan penceraian atau menghadapi syiqaq (pergaduhan) berpanjangan adalah mereka yang mengabaikan SOLAT, walaupun pasangan datang mengadukan isu lain seperti orang ketiga, keewangan, hubungan intim dll. Ramai yang tidak nampak perkaitan solat dengan semua masalah yang timbul.
“Semua ni ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas.
“Ketiga, masalah ‘hubungan intim’ ada kalanya menjadi sebab utama, tapi kebanyakannya adalah kesan akibat bila syariat Islam diabaikan.
“Contoh mudah faham, seorang suami yang tidak solat, pasti cenderung abaikan juga tanggungjawab asas sebagai suami, dan mempunyai sikap yang tidak menyenangkan, paling utama hilang berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat Allah, maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai Ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah.
“Begitu juga dengan seorang isteri yang tidak solat, jika kewajipan paling utama sebagai muslim diabaikan dan tidak rasa berdosa, maka apa sangat nak rasa berdosa bila menolak ajakan suami tanpa sebab kukuh, walaupun amaran yang sangat berat.
“Keempat, sebagai perundingcara, memang saya berdepan langsung dengan ramai pasangan yang ada masalah dengan ‘hubungan intim’. Saya cuba bantu dengan dua keadaan, pertama, menjawab kepada soalan yang berkait hukum hakam hubungan intim. Kedua, saranan yang perlu mereka lakukan, saranan agama dan rawatan perubatan.
“Sebenarnya sangat banyak saranan agama, bahkan ada banyak kitab penulisan alim ulama berkait ilmu ini, termasuk yang sangat asas iaitu bacaan doa, inipun ramai yang tidak beramal, sedangkan ia adalah benteng kepada gangguan Iblis dan Syaitan yang nak rosakkan hubungan suami isteri melalui jalan ini.
Daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma , bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:
Maksudnya: “Dengan nama Allah, ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami.”
Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudharatkan oleh syaitan selamanya.” [Riwayat al-Bukhari (6388)]
– Rezeki ketika hubungan Intim suami isteri bukan sahaja anak, termasuk juga kasih sayang dan kemesraan yang terhasil daripadanya.
“Namun banyak juga punca yang turut memerlukan rawatan perubatan, dan ia sangat membantu kes klien bila dirujuk. Terutama wanita yang trauma selepas bersalin atau faktor umur yang telah mula menggangu hormon dll. Begitu juga para suami yang bermasalah.
“Apa yang saya nak nyatakan, ilmu ini memang sangat penting, ia boleh diperolehi daripada sumber fitrah semulajadi, atau dipelajari secara tidak langsung dengan capaian ilmu dari persekitaran atau boleh juga secara formal.
“Bila secara formal ni, samada melalui individu, penulisan atau rakaman video. Yang menjadi perhatian utama adalah CARA DAN ISI ILMU YANG DISAMPAIKAN, ilmu ni seolahnya tidak spesifik kepada yang ada kelayakan tertentu, sebenarnya ramai lagi selain individu yang panas dibicarakan ini aktif menyampaikan topik ini.
“Baiklah, saya tidak mahu menyelak kesilapan, tapi lebih kepada saranan kepada semua pihak yang mahu membantu pasangan suami isteri yang menghadapi masalah ini ;
1- Tidak mencampurkan antara lelaki dan wanita secara umum di dalam satu group media sosial atau bersemuka. Seeloknya lelaki diberi nasihat oleh lelaki, kecuali jika sesi itu melibatkan pasangan suami isteri berdua sahaja (sesi rundingcara/kaunseling pasangan).
2- Menggunakan ayat yang tidak menyebabkan kecenderungan untuk membayangkan secara jelas hingga boleh menaikkan syahwat.
3- Tidak mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak lagi sebumbung atau sehaluan, bahkan walaupun diberi alasan tiada siapa yang tahu dirinya siapa. Kerana boleh jadi pasangannya tahu atau ia boleh berlaku ketirisan maklumat.
Ads
4- Tidak perlu menceritakan secara teliti tentang kaedah pelaksanaan hubungan intim, kerana ia adalah sesuatu yang sedia maklum, atau berikan sahaja sumber rujukan ilmiah atau jika perlu kepada yang terlalu naif, diberikan perincian secara bertulis dan khusus / tertutup.
5- Tidak menyarankan perkara yang membawa kepada melanggar syariat Islam atau melampaui batasan norma, kerana ia akan memberi kesan buruk seperti dorongan fantasi yang berlebihan sehingga memaksa pasangan untuk melaksanakan diluar kesanggupan.
6- Konsultasi yang dilaksanakan diurus dengan penuh tatatertib kerahsiaan yang tinggi dan tatacara yang bermaruah.
7- Turut menjemput individu yang bertauliah seperti doktor, kaunselor, perundingcara rumah tangga, peguam dll yang berautoriti dalam bidang ini. Mereka yang diberi latihan khusus untuk mengendalikan serta memberi konsultasi yang berkaitan. Cara ini juga akan mengukuhkan keabsahan ilmu dan kedudukan pihak penyampai ilmu tersebut.
“Yang Baik Boleh Diteruskan, Yang Sebaliknya Boleh Dibaiki”
“Buat saudari, saya faham asal tujuan niat dihati untuk membantu, bahkan sudah banyak pasangan yang kembali harmoni. Apa yang baik boleh diteruskan, yang sebaliknya boleh dibaiki.
“Pesanan buat semua pasangan, dalam berusaha menyelesaikan apa jua masalah rumahtangga, ingatlah bahawa perunding, penasihat, kaunselor atau pegawai agama mahupun sesiapa yang dipercayai adalah perantaraan sahaja, paling utama peliharalah hubungan dengan Allah, maka Allah akan memelihara hubungan sesama kita.
“Yakin dan kembalilah kepada Allah SWT, patuhi perintah dan tinggalkan laranganNya, lalu berusaha dan berdoa kepadaNya. Dialah Allah Ya Fattah yang Maha Membuka dan memberi jalan keluar dengan tepat dan sempurna. Allahumma aamin.
PESAN NABI SAW BERKAIT MEMBUKA AIB PASANGAN
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sungguh manusia yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat menurut Allah adalah orang lelaki (suami) yang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya kemudian menyebarkan rahsia yang terjadi di dalamnya.” (HR Muslim, hadis sahih)
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa HARAM hukum bagi seorang lelaki menyebarluaskan apa yang terjadi antara dia dan isterinya pada saat bercampur (hubungan intim), memberikan gambaran terperinci, termasuk apa yang terjadi pada seorang wanita pada saat melakukannya baik dari ucapan dan perilaku bercampuran ataupun yang lainnya”.
(Rujuk Syarah Shahih Muslim: 10/9)
Walaupun hadis tersebut menyebut tentang sikap suami, tetapi ulama’ menyebut HUKUM INI JUGA TURUT TERPAKAI BUAT ISTERI DAN JUGA MERUPAKAN PERINGATAN KERAS BUAT KEDUANYA SEKALI.
“Tidak salah ingin berkongsi tips kekeluargaan, rumah tangga bahagia, tapi bila sampai menjadi perbualan saling membuka aib pasangan, cerita pengalaman sendiri sebagai panduan atau menjelaskan kaedah yang sangat terperinci sehingga boleh dibayangkan dll ia adalah dilarang.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ، فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: “Jika engkau tidak ada lagi rasa malu, maka buatlah sesuka hatimu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Ayat “buatlah sesuka hatimu” itu bukan bererti Rasulullah SAW beri kebebasan kepada kita untuk lakukan sewenangnya, tapi ia merupakan satu sindiran yang amat pedih bagi mereka yang memiliki iman. Kita bimbang jika Allah dan Rasulullah sudah TIDAK LAGI PEDULI PADA KITA sedangkan Syurga-Nya dan syafaat Baginda yang kita tagihkan.
“Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada semua yang berlaku,” kongsinya.
Tipu isteri, mungkin bagi suami, sekadar tipu olok-olok. Sekadar untuk bergurau dengan ‘orang rumah’. Tapi bagaimana dari suka-suka itulah menjadi kebiasaan.
Kononnya, dengan tipu isteri untuk menjaga hatinya supaya tidak memikirkan perkara yang tidak elok dan mengelakkan berlaku perbalahan. Tapi sebenarnya, tanggapan ini salah, wahai suami.
Jangan sesekali tipu isteri, elak hilang kepercayaan yang diberikan selama ini. Waima, kalau ada perkara yang mungkin benar bagi suami, tapi sekali ditipu, susah untuk percaya lagi.
Malah, keadaan ini turut berkait rapat dengan rezeki keluarga. Seperti apa yang dikongsikan oleh Lebah Labibah ini.
Janganlah sesekali kamu suami menipu isteri mu. Allah akan menyulitkan urusan kamu nanti, rezeki semakin sempit kerana kamu telah sakiti seorang insan yang menyayangi mu. Allah memperluaskan rezeki mu dan kebahagiaan jikala suami dapat melaksanakan dan menjaga isterinya sebaik mungkin dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami yang baik.
Kisahnya:
Seorang suami mengadu rezekinya asyik sempit. Semua serba tak cukup. Dah usaha macam-macam. Semua cara dah buat.
Hati pun resah dan rasa nak marah jer..kenapa yer ustaz?
Abang ada ibubapa lagi ke? Mak ayah saya dah tiada. Abang ada isteri tak? Ada ustaz. Saya ada 3 orang anak…
Saya beri 2 kunci rezeki dan ketenangan datang dalam hidup kita. Sayang dan jaga isteri dengan baik. Dia diam termenung. Kemudian dia cakap betul ke rezeki kita ada kaitan dengan isteri.
Jawab saya bagaimana keberkatan nak datang dalam hidup kita jika menyedihkan dan menyakitkan orang yang setia dan berkorban tinggalkan keluarganya untuk bersama kita..sangkaan dan isi hati mereka doa yang kuat untuk kita..
Silaturrahim asbab rezeki terbesar. Allah janji rezeki dan umur berkat dengan jaga silaturrahim dan menyambungkannya..
Jika kita sakitkan kucing atau tipu kucing pun kita akan rasa hidup ini tak tenang kerana kita sedang buat salah. Inikan pula isteri kita..
Saya lihat dalam hidup ini semua orang yang bahagia dan berjaya bermula bila mereka bahagia bersama isteri mereka. Saat kita mula menipu, menyakitkan, menyusahkan pasangan, hidup jadi serba tak kena.
Cuba abang mulakan dengan buat baik terhadap isteri. Mencintai dan menghargainya..
Tak lama dia jumpa saya. Katanya ya Allah rezeki saya bertambah. Semuanya jadi mudah dan lapang. Hati saya tenang. Bila saya betulkan silap saya. Saya jaga hatinya dan hargainya. Saya buat apa yang dia suka.
Silaturrahim membuka pintu rezeki…inikan bersama isteri kita yang tercinta.
Hargai Isteri, Rezeki Paling Besar
Dulu pernah seorang pekedai dia rasa kedainya dibuat orang. Kena sihir. Dah buat macam-macam. Tapi tetap rugi. Dia jumpa saya. Saya kata padanya abang ada buat buruk kepada isteri tak?
Jawabnya yer ustaz. Saya tipu isteri saya. Insya Allah saya betulkan. Selepas itu rezekinya mencurah-curah.
Sebenarnya bersyukur dan menghargai ibubapa, isteri dan anak-anak itulah rezeki paling besar.
Bila seorang wanita mendirikan rumahtangga, perkara utama yang dicarinya ialah kebahagiaan bersama suami dan anak-anak yang bakal dilahirkan hingga akhir hayatnya.
Dalam merealisasikan impiannya, wanita itu akan meletakan sepenuh kepervayaan kepada suaminya dengan harapan, suaminya akan setiadan berlaku jujur kepadanya.
Tapi langit tidak selalu cerah hingga ke petang. Kadangkala suami mudah terpedaya dengan godaan luar hingga membuatkannya melanggar janji setia kepada isterinya. Mula menipu dan tidak jujur dengan isterinya.
Bila semuanya terbongkar, bagi isteri yang mudah kalah dalam peperangan emosinya, perceraian adalah jalan penyelesaiannya. Tapi bagi isteri yang kental, berfikiran waras dalam mengawal emosinya, mungkin kemaafan telah tersedia untuk si suami.
Tetapi tidak KEPERCAYAAN. Sekali ia dikhianati, ia akan hilang untuk selama-lamanya. Pada masa itu, walaupun si suami berada dalam keadaan yang benar, si isteri sukar untuk mempercayainya.
Isteri akan mula ‘menyiasat’ segala gerak geri suami. Dan jika sekali lagi si suami ditangkap menipu, isteri akan berhenti ‘menyiasat’. Suami mungkin sangkakan isterinya tak marah lagi. Tapi sangkaan itu salah.
Jika berlaku situasi itu, maknanya isteri dah muak dengan tingkahlaku suami dan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku. Apa yang terlintas di fikirannya ialah menyusun strategi bagaimana untuk mengurangkan kebergantungan terhadap suami.
Dia perlu menyiapkan diri dari segi material, fizikal dan mental untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku.
Mingguan Wanita : Bila dah jadi suami isteri, tentulah sanggup berkongsi susah senang bersama.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Kalau anak kena chicken pox atau demam cacar air, mak-mak lah orang yang paling risau tambah pula kalau dia jenis bekerja. Memang wajib cutilah semata-mata nak jaga anak bagi cepat sembuh.
Tahulah pula chicken pox ini boleh merebak kepada orang lain dalam masa 2-3 hari. Pertama sekali, kalau tahu anak demam kena chicken pox, wajiblah bawa anak jumpa doktor ya.
Kemudian mak-mak bolehlah godek cara macam macam nak jaga anak yang kena chicken pox bagi cepat baik, ikut tip ini…
Tip Penjagaan Anak Chicken Pox
1. Potong kuku anak pendek
Pastikan kuku anak sentiasa pendek dan bersih. Sebab luka campak ni memang gatal dan miang. Tambah anak-anak kecil memang cepat sangat tangan tu merayap nak garu. Bila gatal biasa anak akan menggaru. Biarlah dihalang macam mana pun. Jadi boleh potong kuku pendek supaya blister tu tak kena infection bila digaru. Atau boleh pakaikan sarung tangan/mitten.
2. Jangan berkongsi minuman dan kuarantin
Virus boleh merebak melalui air liur, bersin, air dari blister tu bila pecah. Seeloknya baju kena asingkan bila basuh. Rendam baju anak dengan air mendidih dan sidai di bawah matahari untuk matikan virus.
3. Mandi 4 jam sekali
Chicken pox ni gatal dan badan anak panas, jadi kenalah banyak mandi dan tak payah guna sabun. Ini untuk mengurangkan rasa gatal.
4. Minum air yang banyak
Yang ini memang wajib minum banyak untuk elakan dehydration. Dehydration boleh melambatkan metabolisme dalam badan. Kalau boleh minum 8 gelas sehari, ini termasuk air kosong dan berperisa.
5. Pantang makan
Kalau boleh, kita kawal pemakanan anak waktu-waktu macam ni. Kurangkan makanan bergula sebab gula akan menurunkan imunisasi anak. Lebihkan sayur-sayur, makanan yang bersup dan buah-buahan yang lembut macam pisang dan tembikai.
Mungkin ada sesetengah anak akan hilang selera makan, jadi mak-mak kenalah pastikan setiap hidangan yang diambil mengandingi nutrisi yang secukupnya. Ada kenyataan bertulis menurut Dr Zubaidi, makanan sejuk membantu melegakan kesakitan. Contoh mudah makanan yogurt sejuk dan minuman sejuk, juas buah sangat membantu memberikan kelegaan pada mulut dan tekak.
Boleh ke makanan ayam, telur, ikan bilis dan kicap?
Sebenarnya semua ni tak ganggu pun proses penyembuhan anak yang mengalami chicken pox tetapi kalau ada bukti seseorang anak itu ada mengalami rasa gatal-gatal terhadap sesuatu makanan, eloklah dielakkkan untuk buang rasa kurang selesa.
6. Petua orang lama guna Daun Semambu / Neem Leaf
Kalau nak cuba boleh ambil segenggam Daun Semambu blend sampai hancur. Selepas mandi, tempek pada campak tu dan biarkan kering. Amalkan setiap hari, In shaa Allah hasilnya luka akan cepat kering.
Atau ambil daun semambu dan masukan dalam tab mandi anak, biar anak rendam dalam air suam serta daun.
Daun Semambu ni memang mujarab untuk hilangkan kegatalan dan mempercepatkan proses pengeringan luka campak.
Dan boleh ambil daun-daun semambu tu buat lapik tidur anak. Letakkan daun semambu tu dalam kain batik, dan buat tempat lapik tidur anak. Cara ni bantu anak tidur lena sepanjang malam tanpa rasa gatal-gatal.
7. Bagi air kelapa (Tak bagi pun tak apa)
Untuk anak-anak yang setahun ke atas, boleh bagi minum air kelapa sebab air kelapa ni sejuk badan. Menurut orang lama cara ini lebih cepat dia keluarkan bintik-bintik ruam campak dalam badan.
Risiko Chicken Pox
Chicken pox yang teruk boleh berlaku kalau anda pertama kali kena waktu dewasa, kalau dah berumur lagi banyak risiko.
Namun menurut doktor Dr Zubaidi, cacar air jarang menyebabkan komplikasi kecuali pesakit mengalami sistem imunasi yang lemah macam pesakit diabets, pesakit kanser atau pesakit yang ada mengambil rawatan steroid.
Ok, mak-mak kena banyak bersabar ya, kadang chicken pox ini boleh buat anak meragam dengan keadaannya yang gatal dan sakit. Nak tidur pun tak boleh awal-awal tu, jadi mintalah suami tolong sama untuk uruskan anak.
Nota: Anda masih boleh bagi anak makan ubat yang doktor bagi seperti biasa ya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam perkahwinan, setia memang sangat penting. Namun, bagaimana jika suami atau isteri itu setia 'membuta tuli' hingga akhirnya membawa keburukan pada diri sendiri di kemudian hari?
Tahun 2020, genap 22 tahun saya berkecimpung dalam kerjaya sebagai Perunding Kekeluargaan, Perkahwinan Dan Guaman Syarie. Sepanjang tahun 2019 yang baru berlalu, ada dua kes yang betul-betul mencabar rasa sabar saya – ada rasa nak goncangkan badan klien agar sedarlah diri dan sayangkanlah diri sendiri lebih daripada sayangkan suami.
Isteri Tanggung Semua
Kenapa? Dalam kedua-dua kes tersebut, satu kes dengan usia perkahwinan 23 tahun dan satu kes lagi, usia perkahwinan 35 tahun, dah ada menantu dan cucu pun.
Persamaan kedua kes ialah kedua-dua suami dalam kes tersebut tidak bekerja sejak daripada awal perkahwinan dan segala pembiayaan keperluan rumah tangga, isteri dan anak-anak termasuklah keperluan si suami, ditanggung oleh si isteri yang berusaha menjalankan perniagaan bermula dengan kecil-kecilan hingga mampu mengumpul pelbagai harta – rumah, kereta dan tanah.
Ironiknya pula dalam kedua-dua kes tersebut juga, semua harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan tersebut adalah atas nama suami. Alasan diberikan oleh kedua-dua isteri – "saya ikhlas sayangkan suami…"
Membabi Buta
Saya tak pasti luahan rasa anda para pembaca, tapi yang jadikan saya beremosi – bukan sedih tapi marah dan geram – ialah kerana kesetiaan si isteri yang membuta tuli!
Betullah! Isteri perlu taat kepada suami. Secara mudah maksud taat ialah setia kepada si suami. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya." – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim.
Hadis ini menjadi satu bukti betapa isteri perlu taat dan setia kepada si suami. Namun, ada pengecualiannya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidak boleh mentaati mahluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT." – hadis riwayat Ahmad.
Tapi dalam kes tadi, tak ada pula suami menderhaka kepada Allah SWT. Mungkin itu antara yang difikirkan oleh pembaca, betul tak? Siapa kata tak ada?
Abai Tanggungjawab
Merujuk semula kes tadi, si suami telah mengabaikan tanggungjawab yang perlu dan wajar dilaksanakannya buat isteri dan anak-anak antaranya menyediakan keperluan makan minum yang sempurna dan menyediakan tempat tinggal yang sempurna. Bermaksud si suami telah menderhaka kepada Allah kerana sengaja cuai dan gagal melaksanakan hak isteri dan anak-anak. Dalam keadaan ini, si isteri tidak perlu lagi taat. Tak perlu lagi setia malah wajib berjuang bagi mendapatkan haknya dan anak-anak.
Mungkin pembaca terfikir, kalau dah ikhlas, kenapa pula kedua-dua isteri tersebut bertemu dengan saya? Sebab kedua-dua suami yang ditatang bagai minyak yang penuh itu telah berkahwin lagi di sempadan dan sedang berseronok menghabiskan harta diusahakan oleh si isteri yang kononnya setia tadi.
"Tahu tak kenapa Allah izinkan suami akak kawin lagi? Akak fikirlah…kalau lah suami akak tak kawin lagi, akak takkan rasa pun suami akak tu tak bertanggungjawab…akak rasa suami akak baik je…akak pun tak de rasa dia tu sebenarnya sedang aniaya akak…". Jawapan sama buat kedua-dua wanita yang hanya mampu tersenyum kelat.
Islam tentukan suami bertanggungjawab berusaha bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak termasuk membiayai segala keperluan isteri dan anak-anak. Tatkala tanggungjawab tersebut dibiarkan sepi dan isteri pula dengan gagah berusaha mengambil alih tanggungjawab tersebut atas alasan sayang dan setia, suami tidak lagi merasakan susah dengan perkahwinan malah rasa seronok dan teruja sebab hidupnya lebih senang. Sebab tu juga si suami berusaha menambah cawangan, kalau-kalau boleh tambahkan lagi kesenangan.
Janji Pada Allah
Pesan saya buat para isteri; kalau betul sayangkan suami, pastikan suami melaksanakan tanggungjawabnya yang perlu sebab suami bukan saja memegang janji dengan anda sebaliknya berjanji dengan Allah menerusi akad ijab dan qabul tika nikah dulu.
Jika suami gagal taati Allah dan Rasul-Nya, apa jaminan dia akan menjadi suami anda yang baik? Usahakan agar suami laksana tanggungjawab seperti saranan syariat, insya-Allah, biar hidup cukup-cukup makan tetapi bahagia anda akan berpanjangan dan kekal dalam keharmonian.
Usah jadi lilin yang membakar diri menerangi orang lain. Relevankan setia anda seperti lampu kalimantang yang hanya akan berfungsi menerangi ruang anda jika anda setia membayar bil TNB anda!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.