Kata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Kakak Hamil Tiga Bulan Dan Disahkan Kanser
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Demam On Off Dekat Sebulan Lamanya
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
Ads
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Besar Jumlah Wang Ringgit, Tenaga Dilaburkan Untuk Rawatan
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Ads
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Akhirnya Kakak Mengalah, Lakukan Rawatan Di Hospital
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Sentiasa Jaga Solat Walau Diuji Sakit Tenat
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Berseri-seri Kakak Tunaikan Umrah
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.
Ads
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Kakak Sudah Pergi Untuk Selamanya
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
Hati-hati ya suami, sebelum tuding jari kata isteri nusyuz, perati dulu diri sendiri. Bila suami abaikan perkara-perkara ini, salah satunya sering cakap ‘kasar’ dengan isteri pun boleh dah dianggap nusyuz kepada isterinya.
Cakap ‘kasar’ yang bagaimana? Peguam Syarie, Fahmi Ramlidari Khairul Fahmi Associates jelaskan selebihnya tanda-tanda suami nusyuz atau kata lainnya, ingkar dengan perintah Allah.
Jangan Ingat Isteri Jer, Suami Pun Boleh Nusyuz
Ramai yang tau, apabila isteri enggan taat pada perintah suami, disisi syarak ia disebut sebagai nusyuz. Jika seorang isteri disabitkan nusyuz oleh Mahkamah, maka, dia dah tak berhak untuk terima nafkah dari seorang suami.
Tapi, ramai yang tak tahu, selain isteri, suami juga boleh dikira sebagai nusyuz. Cuma perkara ini jarang kedengaran sebab isteri jarang nak mohon suami disabitkan nusyuz sebabnya, suami yang beri nafkah khasnya. Tapi, sama ke nusyuz isteri dan suami? Mari saya kongsikan.
Bila Yang Dikatakan Suami Nusyuz?
Kalau isteri isteri itu dianggap nusyuz bila dia tidak mentaati perintah suaminya, maka suami pula dikira nusyuz bila dia mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya sebagai suami.
Apa Tanda-tanda Suami Nusyuz?
Nusyuz suami melalui percakapan;
– Suami boleh dikira nusyuz disisi syarak jika dia seringkali tidak mahu bercakap dengan isterinya dan bercakap kasar. Kasar disini bermaksud sering memanggil isteri dengan perkataan yang keji dan tidak sepatutnya. Dan ada ketika memberi gelaran yang jijik pada isteri dan mencarut dalam perbualan.
– Suami juga boleh dikira nusyuz jika dia mengarahkan isterinya untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya, menyuruh isteri melacur untuk cari pendapatan. Nauzubillah.
Nusyuz suami melalui perbuatan;
– Suami dikira nusyuz bila dia langsung tidak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan lebih teruk bila dia berzina dengan wanita lain selain dari isterinya untuk puaskan nafsu.
– Paling dikira nusyuz bila suami bertindak kejam dan keras terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, menggigit dan lain-lain yang boleb datangkan kecederaan pada tubuh badan isteri. Kasihankanlah isterimu itu wahai lelaki.
– Nusyuz juga bagi suami yang tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya dari segi makan minum, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri tetapi menghabiskan duitnya kepada benda yang tidak berfaedah seperti membeli rokok. Mintak maaf, ini hakikat.
– Tidak memelihara kehormatan isteri juga boleh dikira sebagai nusyuz dimana sering membuka aib isteri tambah-tambah hal dalam kain. Dan nusyuz juga bagi suami yang berpoligami tetapi tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Nusyuz Suami Tidak Dituntut Di Sisi Undang-undang
Walaupun nusyuz suami ini tidak dituntut disisi undang-undang, tetapi dosanya amatlah besar disisi Allah kerana isteri itu adalah amanahnya yang paling besar. Saya sangat tidak bersetuju bila kaum suami asyik salahkan isterinya nusyuz sedangkan dia tidak semak kenusyuzan dia terlebih dahulu sebelum nak nusyuzkan isteri.
MW : Bolehkah sabitkan suami nusyuz di mahkamah
Fahmi : Sebenarnya tak ada peruntukan undang-undang khas yang bercerita tentang nusyuz suami. Kalau nusyuz isteri pun hanya ada pada seksyen cerita tentang nafkah sahaja jika isteri nusyuz.
Sebabnya, nusyuz ini kesannya tak boleh terima nafkah. Jadi, kalau mahkamah buat juga sabitan nusyuz pada suami. Tak ada apa-apa kesan di sisi undang-undang sebab suami yang bagi nafkah. Cuma kesan di sisi Allah sahaja kalau suami ini nusyuz iaitu langgar amanah Allah.
Jadi, tak boleh heret ke mahkamah untuk nusyuz. Lagipun, isteri takkan buat sabitan nusyuz dah pada suami, baik terus fail fasakh sahaja.
Sumber/Foto : Fahmi Ramli yang banyak berkongsi info isu syariah di fanpagenya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebelum itu mak ayah kena faham dulu bahagian private part anak-anak yang tak boleh kena pegang, sentuh apatah lagi raba. Iaitu pada mulut, dada, kemaluan, punggung mahupun paha.
Dan ajarlah anak betapa bahagian ini, tidak dibenarkan disentuh orang lain dalam keadaan yang meragukan. Terangkan sejelasnya dengan anak, kerana dalam usia yang masih kecil anak terlalu lurus dan tulus untuk memahami niat jahat orang ke atas dirinya.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh Akhi Fairuz Al-Jengkawiini. Tip yang dikongsikan ini amat mudah untuk anak faham, tapi memberi impak yang besar jika anak itu dapat praktikkan ketika diuji kesulitan (berdepan si pedo kejam sendirian)
Jenayah Pedo Ini Sememangnya Real
Saya yakin, sudah ramai yang menonton video seorang kanak-kanak dicabul oleh seorang individu di sebuah kedai serbaneka, sejak semalam.
Cuma, semua kena maklum yang facebook sangat strict membasmi jenayah pedofilia. Video yang saya kongsi dari fb seseorang semalam pun tak ada dah. Pasti fb telah buang, walau ia bersifat awareness.
Saya faham sangat dengan polisi fb yang ini. Tahun lepas, personal acc saya pernah di’terminated’ berpunca isu paedophile juga. Kena berhati-hati. Mereka tidak mahu mempromosi jenayah ini.
Tak kisahlah hal yang itu. Cuma saya nak ingatkan kepada ibu bapa di luar sana, segala isu pencabulan yang saya kongsikan sebelum ini adalah real. Bukan direka-reka. Inilah realiti dalam negara kita saat ini.
Untuk pengetahuan kau orang, Malaysia merupakan negara nombor 1 di Asia Tenggara yang paling ramai mengakses child pornography. Ia bukan main-main. Ini hal serius!
Penagih pornografi kanak-kanak dan pedofilia ini wujud di mana-mana, baik dalam rumah kita, di taman permainan, pasaraya, sekolah dan lain-lain tempat.
Tolong Mak Ayah.. Ajar Anak Hal Ini Dari Kecil Lagi
Please ajar anak dari kecil hal ini,
Jika ada seseorang individu yang dikenali atau tidak cuba memperlakukan sesuatu yang tak elok pada mereka atau menyentuh, memegang atau meraba private part (mulut, dada, kemaluan, punggung, paha), maka,
1. JERIT KUAT-KUAT 2. LARI KE TEMPAT SELAMAT 3. MENGADU PADA SESIAPA YANG BERADA DI TEMPAT KEJADIAN
Buat mak ayah, jangan sesekali biarkan anak kau ke kedai seorang diri, berdua pun jangan.
Jangan dilupa juga kes yang berlaku di sebuah tandas mall beberapa bulan lepas. Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dicabul dan diperlakukan oral seks oleh seorang lelaki Bangladesh.
Bak kata Tuan Luqman Pon,
“Anak perlu diajar berdikari, tapi dalam pantauan.”
Pedophilia : Kanak-kanak Yang Menjadi Mangsa; Sentuh.. Raba
Sedar dengan bahaya pedofilia yang semakin meruncing,
Mingguan Wanita Talkshow membawakan kupasan mengenai Pedofilia yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa mereka.
Sejauh mana mak ayah jelas akan jenayah pedofilia yang amat mudah tersebar dengan adanya media sosial. Bagaimana kesedaran kepentingan menjaga diri ini difahami dengan baik oleh anak-anak; bahagian tubuh mana yang tak boleh sentuh, dipegang malah perlu dilindungi anak.
Dan apakah langkah untuk menangani penyakit yang semakin membimbangkan di kalangan masyarakat.
Bersama tetamu jemputan Melissa Mohd Akhir, Ketua Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Cikgu Sarah Khan dan Kamal Affendi.
Di saluran Astro Prima 105 dan Prima HD 121, 24 Julai 2019 dari jam 11 pagi ke 12 tengah hari. Yang akan di host kan oleh Siti Elizad dan Sherry Al-Hadad.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hati mana yang tak luluh, melihat kondisi wanita yang mengandung dan melahirkan terbaring menanggung kesakitan. Hilang sudah bebelan dan nasihat dari bibirnya, tiada lagi senda gurau menjadi penawar. Yang ada kini hanya sekujur tubuh bonda, terbaring lemah menahan sakit akibat kanser.
Menurut Nurul Shafina yang mesra disapa Fina, tiada lagi rawatan kemoterapi ataupun radioterapi yang boleh dilakukan memandangkan sel kanser tersebut amat agresif. Doktor juga menasihatkan agar ibunya dibawa pulang dan berada di sisi keluarga. Gadis dari Penaga, Pulau Pinang ini memaklumkan lagi, kanser lidah telah mengubah personaliti ibunya secara total.
“Sebaik ibu didiagnos kanser lidah, sejujurnya bukan sahaja saya, malah empat lagi adik-beradik yang lain amat merindui ibu kami yang dahulu. Adik bongsu juga terkesan dengan keadaan kesihatan ibu dan sering bertanya kenapa ibu yang diuji dengan penyakit kanser. Ayah juga sedih melihat keadaan isterinya. Dia juga tak menyangka wanita yang berkongsi hidup hampir 30 tahun dengannya kini diuji begini.
“Ibu kami orangnya peramah, cekap memasak, gemar bercucuk tanam dan juga gemar menjahit. Sebelum ibu diserang kanser lidah, sama seperti ibu lain, pasti ada sahaja cerita, teguran dan juga nasihat daripada dia kepada kami. Kanser lidah ini membuatkan kami seolah-olah telah kehilangan ibu, walaupun hakikatnya dia masih di sisi.
“Sejak kondisi ibu semakin serius, dia juga telah hilang keupayaan untuk bercakap seperti dahulu. Hanya buku nota menjadi medium untuk dia menulis apa yang terbuku kepada kami,” kongsi Fina mengenai perubahan besar yang sedang dilalui dia dan keluarganya.
Gambar kenangan bersama ibu sewaktu Aidilfitri tahun lalu (gambar kiri), dan gambar terkini ibu Fina (gambar kanan)
Ulser Berulang Di Lidah Petanda Kanser
Semuanya berlaku begitu pantas. Seperti baru lagi dia mendengar ibunya mengadu lidahnya seolah-olah menipis, sensitif kepada makanan pedas dan kerap mengalami ulser rupanya petanda awal kanser lidah yang tidak disedari.
“Pada mulanya ibu ada mengadu kepada kami perubahan lidahnya yang cukup sensitif dengan makanan pedas. Dia juga sering memaklumkan lidahnya seakan menipis dan juga mengalami ulser yang berulang di lidah.
“Ulser itu tidak sembuh walaupun disapu ubat. Tanpa kami tahu ulser yang tidak sembuh dan berulang itu adalah antara simptom awal kanser lidah.
“Pada April tahun lalu, ibu kemudian dirujuk ke Hospital Seberang Prai dan doktor melakukan ujian biopsi. Biopsi adalah prosedur di mana sedikit sampel pada bahagian mulut yang disyaki sebagai kanser diambil untuk di buat ujian ke atasnya. Hasil daripada biopsi itu doktor memaklumkan ibu sebenarnya mengalami kanser lidah.
“Ketika itu status kanser ibu di tahap satu nak ke tahap dua. Di bulan yang sama, doktor kemudian menjalankan pembedahan dan membuang separuh daripada lidah ibu.
“Selepas pembedahan itu, ibu nampaknya boleh menyesuaikan diri dan masih boleh bertutur dengan baik, tanpa pelat walaupun lidahnya separuh telah pun dibuang,” jelas Fina mengenai perkembangan kanser lidah ibunya sebelum ini.
Setelah melalui dua kitaran kemoterapi dan radioterapi doktor memaklumkan sel kanser ibu Fina begitu agresif. Doktor juga memaklumkan kanser yang dialaminya kini sudah pun berada di peringkat empat.
“Sepatutnya ibu perlu melalui satu lagi sesi rawatan kemoterapi dan radioterapi, tetapi ibu sendiri menolak kerana tidak mampu lagi melalui rawatan tersebut.
“Doktor juga menghormati permintaan ibu dan memanggil kami sekeluarga untuk dimaklumkan status kesihatan terkini ibu. Menurut doktor lagi, jika itu permintaan ibu, pihaknya menghormati. Walau bagaimana pun doktor minta kami bawa pulang ibu dan biarkan dia berada di samping keluarga.
“Ibu kini lebih banyak terbaring dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Tahun lalu selepas melalui pembedahan, ibu masih lagi bertenaga dan mampu menguruskan rumah tangga.
“Ketika majlis pertunangan saya, ibu masih lagi mampu memasak beberapa juadah untuk meraikan tetamu. Tetapi kini ibu sudah tidak berdaya lagi. Status terkini, sel kanser ibu telah mula merebak ke bahagian leher,” ujar Fina kepada Mingguan Wanita.
Hanya Doa Jadi Harapan
Melihat sendiri keadaan ibunya dan seperti yang dimaklumkan doktor, tiada lagi rawatan khusus yang boleh dilakukan ke atas ibunya. Fina akui keluarganya kini pasrah dan menyerahkan segalanya pada Yang Maha Esa. Kanser lidah juga membuatkan ramai yang terkejut dengan transformasi yang berlaku ke atas wajah ibunya.
“Ramai yang cakap lainnya muka ibu sekarang. Ya betul, muka ibu jadi membengkak sehingga mata dan juga bibirnya membengkak. Ibu kini sudah tidak boleh makan seperti normal dan bergantung pada susu sebagai pemberi tenaga. Melihat ibu yang menanggung kesakitan, meluluhkan hati kami sekeluarga.
“Impak daripada ujian ini, kami sekeluarga sentiasa mendahulukan keperluan ibu dan saling bergilir menjaganya. Kami juga sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya ibu kuat mengharungi keadaan ini.
“Hanya doa daripada orang ramai diharapkan sedikit sebanyak dapat meredakan kesakitan yang sedang dilaluinya. Kami juga telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, sebagai anak saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ibu,” cerita Fina menutup bicara.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Fina bagi meringankan dan membeli keperluan ibunya. Anda boleh sumbangkan ke akaun Maybank milik Nurul Shafina Mazani di nombor 161284049814.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...