Hamil Di Usia 40-an, Pakar Ini Terangkan Apa Risiko Yang Bakal Ibu Tempuhi

Share

Trend hamil pada lewat usia kian menunjukkan angka peningkatan setiap tahun di negara-negara maju terutamanya di negara-negara di Eropah Barat, Australia, New Zealand, Kanada dan di Amerika Syarikat. Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan sebanyak 165% dari tahun 2000 hingga tahun 2013 bagi kelahiran dari para ibu yang berusia 50 hingga 54 tahun! Malaysia juga tidak ketinggalan walaupun jumlah wanita hamil pada lewat usia adalah sangat kurang berbanding negara-negara tersebut. Ikuti penulisan Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, UPM, juga merupakan Pakar Kesuburan mengenai hamil lewat usia.

Kenapa wanita menunda kehamilan?

Sebab-sebab wanita menunda kehamilan adalah pelbagai dan kompleks. Faktor paling biasa didengar adalah wanita ingin berada dalam hubungan yang stabil dengan rakan kongsi (pasangan) yang saling menyokong dan ini menyebabkan mereka berkahwin agak lewat. Namun, faktor utama wanita menunda kehamilan adalah kerana wanita kini lebih cenderung  untuk mencapai tahap pendidikan yang tertinggi dan seterusnya membina kerjaya yang lebih stabil bagi mencapai kemerdekaan kewangan.

Jadi mereka memilih untuk menundakan perkahwinan atau bagi yang telah berkahwin, menundakan kehamilan sehingga impian tersebut tercapai. Di samping itu ketersediaan kontraseptif yang selamat dan berkesan juga menjadi penyumbang penundaan kehamilan bagi segelintir wanita.

Perubahan biologi wanita dengan peningkatan usia

Wanita mempunyai hak untuk menentukan hala tuju potensi reproduktif mereka. Walaupun, keputusan sama ada untuk mempunyai anak atau tidak, dan bila merancang untuk melahirkan anak adalah hak autonomi mereka, wanita juga perlu tahu bagaimana kesuburan dan hasil kehamilan berubah dengan peningkatan usia. Secara biologi, tempoh optimum untuk melahirkan anak adalah antara 20-35 tahun. Dalam tempoh setahun, 75% wanita berusia 30 tahun dan 66% wanita berusia 35 tahun akan hamil secara semula jadi. Selepas umur 35 tahun, wanita akan semakin sukar untuk hamil, dan kemungkinan untuk mendapat komplikasi keguguran juga meningkat. Statistik menunjukkan bahawa kadar kelahiran hidup untuk wanita yang berusia kurang dari 35 yang menjalani IVF adalah 31%. Kadar kejayaan ini jatuh di bawah 5% untuk wanita berusia di atas 42 tahun.

Apa yang perlu pasangan tahu sekiranya memilih kaedah bayi tabung uji (IVF) sebagai solusi  untuk hamil pada lewat usia?

  • Risiko kehamilan pada usia lebih daripada 40 tahun (risiko kepada ibu dan bayi)
  • Risiko permasalahan ketika dalam pantang
  • Risiko prosedur IVF
  • Peratusan kejayaan IVF menurun dengan pertambahan umur wanita (>40 tahun, hanya lebih kurang 10-20% akan berjaya hamil, dan separuh dari wanita ini akan mengalami komplikasi ketika hamil)
  • IVF memberi peluang kepada pasangan untuk menjalani ujian saringan genetik preimplant (preimplantation genetic screening) dengan menggunakan sel atau tisu embrio sebelum embrio dipindahkan ke dalam rahim

Risiko Semasa Hamil

Bakal ibu harus sedar bahawa kehamilan di usia lebih 40 tahun dikategorikan sebagai Kehamilan Berisiko Tinggi (High Risk Pregnancy).  Antara komplikasi yang boleh dihadapi oleh ibu hamil di usia 40-an dan ke atas adalah:

Trimester pertama

  • risikokeguguran
  • risiko kecacatan bayi, terutama Sindrom Down

Trimester kedua dan ketiga

  • masalah kencing manis semasa hamil (10 % berbanding dengan 2.5% bagi wanita kurang dari 35 tahun)
  • keletihan melampau pada ibu
  • darah tinggi semasa hamil
  • masalah pra-eklampsia (2 kali ganda lebih risiko)
  • plasenta previa (uri rendah)
  • abruption plasenta (uri terpisah dari dinding rahim)
  • kelahiran bayi pramatang
  • pembesaran bayi terbantut di dalam kandungan
  • kematian bayi di dalam kandungan di akhir kehamilan
  • kekurangan darah merah (anemia)
  • risiko kematian ibu semasa mengandung dan ketika melahirkan anak

Semasa melahirkan

  • kelahiran secara pembedahan, vakum atau forsep
  • lebih cenderung untuk mengalami tumpah darah yang teruk selepas melahirkan (postpartum haemorrhage)

Dalam pantang

  • lebih cenderung untuk mengalami komplikasi darah beku (6 minggu selepas kelahiran

Adakah Saya Berisiko Mendapat Anak Sindrom Down?

Antara risiko yang paling membimbangkan hamil di usia lewat adalah kelahiran anak dengan Sindrom Down. Statistik menunjukkan kebarangkalian untuk mendapat Sindrom Down bagi setiap peningkatan umur adalah seperti berikut:

  • 1 dalam 1200 pada usia 25 tahun
  • 1 dalam 952 pada usia 30 tahun
  • 1 dalam 250 pada usia 35 tahun
  • 1 dalam 100 pada usia 40 tahun
  • 1 dalam 20 pada usia 45 tahun

Risiko kecacatan struktural juga lebih tinggi berbanding wanita yang lebih muda.

10 Perkara Yang ibu Perlu Lakukan Sekiranya Akan Hamil Di lewat Usia

  1. Amalan cara hidup sihat dan pemakanan seimbang sebelum, ketika kehamilan dan selepas melahirkan
  2. Mencapai berat badan ideal sebelum kehamilan
  3. Menghadiri Klinik Pra-kehamilan untuk menganalisis risiko dan mengoptimum masalah perubatan ibu
  4. Mengambil folik asid 5mg sehari 3 bulan sebelum hamil; Ibu jangan culas demi anak!
  5. Melakukan pemeriksaan antenatal seawal usia kandungan
  6. Menjalani ujian saringan untuk mengesan masalah bayi sindromik (imbasan Nuchal Translucency; ujian darah hCG, PAPP-A, Tripple test; detail scan, NIPT)
  7. Menjalani pemeriksaan antenatal di hospital atau klinik pakar perbidanan secara berkala dan pemantauan ketat
  8. Melakukan ujian minum air gula (MGTT) untuk mengesan kencing manis ketika hamil
  9. Berbincang dengan doktor pakar mengenai perancangan masa dan kaedah kelahiran bayi
  10. Pilih hospital yang lengkap dengan fasiliti dewan bersalin, dewan bedah, tabung darah dan penjagaan neonatal untuk memastikan keberhasilan kandungan yang optimum untuk ibu dan bayi.

 

Published by
Shahrina Azlin