Diuji suami tempat kita gantungkan hidup dan mati secara tiba-tiba jatuh sakit bukanlah sesuatu yang mudah. Ketika suami sakit, bukan hanya wang ringgit yang penting, emosi isteri juga perlu dikawal sepenuhnya untuk mengharungi dugaan maha hebat ini.
Isteri yang selama ini hidup berdikari sekalipun akan terduduk bila mana suami yang berkongsi hidup hilang upaya dan hanya mengharapkan kudrat seorang isteri menguruskan segalanya.
Hakikatnya apabila suami sakit, ujian akan datang bertimpa. Bukan sahaja bagi ujian buat suami dan isteri, malahan orang sekeliling untuk mainkan peranan masing-masing. Duit bukanlah jaminan seratus-peratus kepada penyelesaian masalah.
Kalau hati tengah marah, elakkan media sosial. Tapi aku bukan tengah marah, cuma nak kongsi hakikat sebenarnya bila jadi isteri dan suami jatuh sakit. Kita mana tahu apa akan jadi dekat kita esok, entah hidup entah mati. Sekarang senang belum tentu lagi 5 tahun macam mana kan?
Ada takaful nilai enam juta sekalipun percayalah tak akan senang mana juga. Mana hendak mengadap kerenah segala ragam hal duit tu, nama pun duit kan kalau tak tak akanlah manusia sanggup berbunuh-bunuh. Apatah lagi kalau tak ada takaful? Tak ada simpanan, tak ada jaminan.
Ini aku cerita pengalaman aku sendiri, tidak ada kena mengena dengan orang lain sama ada hidup ataupun mati. Bila jadi suami aku kena strok, dalam bulan yang sama dia hilang kerja. Tak payah tanya details, rujuk pejabat buruh pun tak akan menang sebab tak ada surat lantikan jawatan. Jadi 100 peratus hilang pendapatan sejurus selepas terlantar di hospital.
Mujur ramai yang sudi bantu, kawan-kawan aku dan kawan-kawan suami masa itu buat kutipan yang nilainya lebih daripada 2 bulan gaji suami. Memang yang laju tolong adalah orang luar, family masih terkejut. Dengan duit itulah aku beli segala keperluan hatta berbungkus-bungkus lampin pun.
Dapat Bantuan Kawan & Keluarga
Bayangkan suami di Hospital Pulau Pinang dan kami berasal dari Kedah. Jaraknya sejam lebih perjalanan, tak mungkin hendak berulang-alik saat suami masih kritikal. Betapa banyak biaya perlu untuk aku menyewa di Penang, dengan doktor minta belikan keperluan suami itu, ini.
Dalam bingung-bingung itu bantuan datang daripada kawan-kawan dan family terdekat. Kad bank suami aku tak tahu pin number. Macam orang gila sudah aku masa itu.
Ads
Masa tengah susah hati separuh gila tu la ujian bertimpa-timpa. Itulah momen terburuk dalam hidup aku.
Benda sudah lepas, alhamdulillah ujian ini Allah bagi dan Dialah juga yang beri petunjuk dan jalan keluar. Tak ada apa yang nak dibanggakan sebab aku bukan kuat pun, I was at my lowest point at that time.
Tapi aku sumpah tidak akan lupa siapa yang tolong aku dan siapa yang ‘tekan kepala’ aku jatuh. Tiba-tiba speaking, kalau hangin automatik jadi pandai sikit. Hehe.
Kalau lah aku hanya duduk dan tunggu saja, redha dan tak melawan tak tau apa yang jadi sekarang. Orang boleh tolong sehingga tahap tertentu, lepas tu mahu atau tak mahu kita kena usaha sendiri. Dah tak boleh mengemis belas ehsan orang.
Betul, aku antara yang bernasib baik sebab aku ada pendapatan sendiri. Hampa bayangkan macam mana hendak survive dengan hutang rumah? ansuran kereta? Walaupun masa tu gaji aku berbaki 20% saja lepas tolak hutang.
Maklumlah, penjawat awam senang buat loan kan. Kami pula baru beli rumah, deposit buat loan, renovation pun loan jugak dan lepas itu potong lagi loan rumah. Padan mukalah, siapa suruh berhutang, iya lah manalah tahu suami nak sakit.
Kalau tahu senang lah. Dan kalau nak disebut “kalau’, kenapa tak buat macam tu, macam ni memang senang. Cuba kena dekat batang hidung sendiri baru tahu langit tinggi rendah.
Usaha Sendiri Tanpa Harapkan Ehsan Orang
Dari mengharapkan belas ehsan orang untuk urus, papah, angkat suami aku dan bawa berubat yang akan menyusahkan ramai orang. Terpaksa bayar terapis, jururawat lelaki datang setiap hari siang dan malam nanti lama-lama jadi fitnah dan orang mula mengata.
Usaha dan usaha dengan doa buat sendiri, heret, tariklah suami dengan segala kudrat yang ada asalkan tak kacau orang. Buatlah sendiri sebab simpati orang hanya sementara, selebihnya kita tanggung sendiri.
Perempuan yang tinggal suami sakit kejam kan? Perempuan jahat, suami sakit dia lari. Habis kalau dia tak mampu? Jahat ke dia? Baik dia lari dan mengalah awal lagi. Mengalah tak bererti kalah, dia pun kena mula dari bawah untuk hidup semula.
Bukan mudah, jadi jangan hukum orang perempuan. Bukan tanggungjawab dia untuk sara keluarga, bukan terletak pada bahu seorang perempuan.
Ads
‘Ar-Rijal Qawwamun A’ ala Nisa’ – lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan bahagian mereka atas bahagian wanita. An-Nisa ayat 34. Ada benda perempuan tak boleh buat sendiri melebihi kudrat dia. Aku bukan ustazah, mengaji dekat maahad dulu pun setakat form 5 saja. Lepas itu u-turn tak ambil bidang agama, tapi aku ingat lagi belajar subjek fekah.
Hukum fekah bab munakahat dan faraid memang lekat dalam kepala berbanding bab lain, kalau tanya subjek nahu sorof memang aku surrender. Perempuan ni emosi dia banyak, melebihi lojik faktor hormon lagi.
Oleh sebab itu Islam ini adil, bagi lelaki jadi pemimpin masalahnya hampa adil atau tidak kepada perempuan-perempuan yang wajib anda tunaikan tanggungjawab? Tertunai ke tidak hak dia.
Siapa Yang Pikul Tanggungjawab?
Bila suami kita sakit, hilang upaya, hilang kewarasan sapa yang WAJIB ambil-alih tanggungjawab? Nak jawab pun terlalu banyak, bapa kandung abai nafkah anak sendiri lepas cerai. Inikan pula nak tanya bab ni, mahu melenting-melenting telinga keluar asap.
Sebagai rumusan isteri yang bertungkus lumus jaga suami sakit, jaga anak, cari duit tunggang-langgang itu bukan sebab dia kuat dan mampu. Dia TERPAKSA, tak ada pilihan. Orang dah susah, buat apa nak disusahkan lagi?
Aku akhiri dengan kata pujangga bunga bahasa,
“Kalau tak mampu menjadi garam yang mengawetkan, janganlah menjadi lalat langau kepala hijau buat berenga yang membusukkan daging”
MW: Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada isteri yang sedang diuji suaminya sakit. Isteri yang meninggalkan suami yang sakit bukanlah satu kesalahan kerana tidak menjadi tanggungjawabnya seorang menguruskan suami yang hilang upaya. Jangan menuding jari kepada orang lain kerana kita tidak ketahui apa yang dilaluinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ucapan ‘terima kasih’, dua perkataan yang mudah tapi ramai yang berat mulut nak ucapkannya. Sebagai mak ayah seharusnya didik anak semenjak kecil agar selalu mengucapkan perkataan ini. Ini kerana ia dapat memupuk rasa hormat dan menghargai pada orang lain.
Berikut merupakan perkongsian menarik yang dikongsikan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect sebagai rujukan;
Pentingnya Ucapan Terima Kasih
“Saya terdengar seorang ibu di kaunter pembayaran meminta anak kecilnya mengucapkan terima kasih kepada cashier yang menyerahkan bungkusan coklat kepada anak kecil itu.
Saya terdengar seorang ayah menyuruh anaknya mengucapkan terima kasih kepada pekerja yang menyapu sampah kerana mengutip mainan anaknya yang terjatuh.
Saya terdengar seorang ibu meminta anak-anaknya mengucapkan terima kasih kepada pelayan sebuah restoren apabila dia membawa makanan yang mereka pesan.
Saya terdengar seorang ibu bertanya anaknya “Cakap thank you tak pada teacher?”. Tanpa sempat menjawab anak itu terus berlari ke arah seorang wanita dan berkata sesuatu kepada wanita tersebut. “Thank you” saya rasa.
Tahukah anda di UK dan di Jepun (dan mungkin beberapa negara lagi) pemandu mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pemandu di belakang yang memberi laluan, dengan mengelipkan ‘hazard light’ sebanyak dua/tiga kali?
Begitu sekali keinginan mereka mengucapkan terima kasih walaupun dalam keadaan tidak boleh berkata-kata.
Kerana sudah terbiasa di UK, saya selalu mengamalkannya di Malaysia sekarang dan beberapa kali juga menerima ‘ucapan’ tersebut dari kenderaan di hadapan.
Seronok rasanya.
Pupuk Rasa Hormat
Kita banyak mendengar tentang krisis hormat dalam masyarakat kita.
Asas memupuk rasa hormat dalam diri anak-anak adalah dengan mendidik anak untuk mengucapkan ‘Terima kasih’ kepada sesiapa saja yang memberikan bantuan, perkhidmatan ataupun sesuatu seperti contoh ibubapa mithali di atas.
Simple.
Perkataan ‘terima kasih’ dalam apa bahasa sekalipun sepatutnya menjadi antara perkataan pertama yang diajar kepada anak sebaik sahaja anak boleh berkata-kata supaya menjadi satu tabiat dan lama kelamaan menjadi nilai yang diamalkan tanpa disuruh.
Usah dijadikan “Anak saya malu” sebagai satu alasan untuk membiarkan anak tidak mengucapkan terima kasih.
Jika ibubapa sendiri sombong dan kedekut untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang dirasakan lebih ‘rendah’, lebih miskin, lebih hina walaupun mereka memberi bantuan dan perkhidmatan, kita hanya akan melahirkan generasi yang bodoh sombong.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Para suami jangan terlepas pandang soal emosi isteri. Ramai isteri jadi burnout, penat, breakdown ini disebabkan emosi dan mental. Lagi-lagi pula kalau suami tidak faham keadaan isteri.
Suami Selalulah Perhatikan Emosi Isteri
Ia tak dizahirkan, perlu digali dan diperhati dengan penuh fokus dan berhati-hati. Golongan isteri sangat pandai memendam rasa. Nak diluahkan takut buat suami serabut dan menyusahkan. Maka disimpannya kemas-kemas. Dia menangis dan mengalirkan air mata di balik sebuah senyuman buat suami.
Itulah hikmahnya Allah anugerahkan pada lelaki jumlah akal yang banyak, supaya lihat dari pelbagai sudut dan menyelesaikan misteri nusantara paling besar di dunia iaitu hati wanita.
Tanda-tanda isteri sedang burnout ialah cepat marah atau meninggikan suara pada anak-anak. Walaupun hal yang berlaku adalah kesalahan kecil.
Anak sepahkan rumah. Anak lupa nak siapkan kerja sekolah. Anak diam je tak menyahut bila dipanggil. Isteri terus hilang sabar.
Biasanya Dia Tak Akan Luah Sedang ‘Burnout’
Apabila dia sudah mula tinggi suara tu, ketahuilah bukan anak yang bersalah tetapi mental dan emosinya yang tak dapat menampung kesabaran dalam melayan anak-anak.
Ditambah pula dengan moodnya yang hilang untuk bergurau. Kurang bercakap seperti biasa, mula jauhkan diri serta mengasingkan diri semasa di dapur atau bilik tidur, dan ada juga masa kita nampak dia menangis tanpa sebab.
Waktu itu, kita cepat-cepatlah kesat air matanya. Dan terus ambil alih peranan dan tanggungjawabnya. Biarkan dia berehat.
Kata, “awak rehatlah dulu. Pergi mandi, bersihkan diri dan baring ya. Biar abang masak dan jaga anak-anak.”
Masa itu, yakinlah walau penat macamana pun dia, tetap dia akan rasa lebih lega dan tenang seketika kerana dia ada suami yang bertanggungjawab, prihatin dan penyayang.
Para suami, jangan biarkan isteri kepenatan dan kalian perlu yakin satu perkara ini, bila isteri hilang penat, dia akan gembira, dan bila kamu lihat dia gembira, penat kamu juga turut hilang.
Kena selalu buat begini. Kena selalu hadir untuk isteri.
Suami tengah kerisauan sekarang bila isteri masing-masing mula menunjukkan pelbagai design barang emas terbaru di pasaran. Memang boleh buat silau mata! Hati pula tak keruan, alahai. Isteri nak mintak ‘top up’ barang kemas lagi la tuh! Lebih-lebih lagi tak lama dah nak raya Aidiladha kan?
Suami jeling pada isteri. Hmm..Rasa dah cukup semua; dah dibelikan rantai, gelang dan cincin. Tak cukup lagi?
Sekarang ni umpama trend wanita-wanita tengah ‘galak’ beli emas. Ikutkan wanita suka beli emas menjelang hari perayaan. Tapi tahun ini, pandemik Covid-19 membuatkan suasana berbeza.
Selepas kedai emas mula dibenarkan beroperasi semula, barulah demam membeli barang kemas kembali menggebu. Tapi sekarang ni nak beli emas pun senang je. Tak payah pergi kedai emas pun dah boleh beli emas. Asal ADA BAJET!
Banyak kedai dan orang persendirian yang membuat jualan secara online. Beli emas di Fb je. Tapi hati-hati ye. Jangan sampai ada yang tertipu!
Suami Mula Risau…
Bila bercakap barang kemas, ada wanita yang sukakan barang perhiasan daripada emas kuning, ada juga daripada emas putih. Tapi emas kuning lebih diminati kerana ia boleh digadai semula. Berbeza dengan perhiasan emas putih yang hanya sesuai untuk simpanan sahaja kerana susut nilai yang tinggi. Perumpamaannya, ‘tak laku’ kalau nak gadai. Hanya orang yang benar-benar berduit akan beli emas putih sebagai koleksi peribadi.
Yang ruginya, kalaulah dalam keadaan ‘sesak’ dan tersepit, emas putih tak boleh digadai untuk dapatkan duit. Lain lah emas kuning. Boleh digadai untuk dapatkan duit tunai.
Apa pun terpulang pada cita rasa wanita itu. Ada yang beranggapan perhiasan emas putih tampak elegan dan classy. Manakala emas kuning nampak mewah. Masing-masing ada pendapat tersendiri
Suami Kena Tanam Dalam Hati, Ini Pelaburan
Siapa yang cakap beli emas membazir? Tak ada membazirnya. Harga emas sentiasa akan naik. Kalau nak tunggu harga emas turun, bila tu?
Tapi ada hari harga emas akan turun sedikit. Jadi, seeloknya bila dah ada target nak beli emas, survey harga pasaran emas pada hari tersebut. Itu juga dapat membantu anda berjimat dan membeli emas dengan harga yang lebih menguntungkan.
Sebab tu orang kata, kena ada ilmu juga bila hendak beli emas untuk menggelakkan tertipu atau terbeli dengan harga yang tak sepatutnya. Kena tengok apakah berbaloi jika ‘trade in’dan sebagainya.
Wanita Nak Berhias Sambil Melabur
Memang banyak pilihan lain dalam pelaburan emas seperti beli coin emas dan sebagainya. Tapi, ramai wanita yang lebih tertarik untuk membeli emas dalam bentuk perhiasan diri seperti rantai, gelang dan cincin. Bukan apa, bolehlah dipakai dan digayakan. Kalau beli syiling emas, memang kena simpan je lah. Tak bolehlah nak pakai dan melawa kan?
Tapi itu normal, barang kemas boleh menambah seri penampilan seseorang wanita. Tapi jangan ‘over’ sampai macam ‘kedai emas bergerak’. Bahaya tu!
Isteri Pula Kenalah Timbang Rasa Ye…
Tak boleh dinafikan lagi, wanita dan emas memang tak dapat dipisahkan. Kalau yang boleh memisahkan adalah ‘duit’. Sebab itu ramai yang sanggup bermain ‘kutu’ untuk membeli barang kemas atau membayar ansuran dengan kedai emas. Jadi tak terasa sangat bila tak bayar sekali gus.
Apapun di pihak isteri pula, janganlah kedekut dan tak nak bertimbang rasa. Barang kemas banyak dalam simpanan, tapi bila suami dalam kesempitan dan minta tolong , sampai hati pula dia tak nak benarkan digadai seurat dua.
Dalam rumah tangga kenalah ada tolak ansur. Bila senang, suami belikan barang kemas. Bila susah, tolonglah suami tu pula. Ada wanita jang kata, tak elok beli emas dengan niat nak digadaikan kelak. BUKAN GITU! Tapi, kita tak tahu bila hidup kita akan diuji. Tak selamanya kita senang. Daripada nak meminjam sana sini, lebih elok gadaikan emas yang ada. Bila dah okay, tebus balik. Malah siapa tahu, bila rezeki dah ada semula, suami akan tambah koleksi barang kemas anda itu. Siapa yang untung? Isteri juga kan?