Ketika sesi fotografi muka hadapan ini diadakan, Serina Prof. Datuk Haji Redzuawan Ismail, atau mesra dipanggil Serina Redzuawan, sedang dalam proses mendapatkan hak jagaan anak-anak. Daripada percakapan dan tingkah lakunya, dapat diertikan bahawa dia seorang wanita tabah yang tidak mudah terbuai oleh masalah yang dihadapinya. Sesi fotografi bersama dua buah hatinya yang comel, Tristan Tareef, 6, dan Isabella Saffiya, 5, berlangsung lancar. Mereka berdualah penyejuk dan penguat semangat artis yang pernah bergelar isteri kepada Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.
Wajahnya yang ceria tidak langsung menggambarkan kesedihan yang sedang bersarang di hatinya. Siapa menduga, di sebalik senyuman dan tawanya, wanita cantik itu sedang diuji dengan kisah rumah tangga yang musnah di tengah jalan.
Semua itu adalah rencah kehidupan bagi ibu muda yang sedang ligat membina empayar perniagaan makanan dan beberapa cabang perniagaan lain. Bagi Serina, dia tidak mahu hidup terus menerus dalam kesedihan. ‘Life must move on’. Dia tidak mahu perceraian itu titik noktah dalam kehidupan dirinya.
Ternyata, perkahwinan yang dibina pada 1 Januari 2010 tidak dapat diselamatkan lagi, dan akhirnya mereka membawa haluan masing-masing. Mereka bercerai secara baik dan bagi Serina, dia mahu masyarakat faham penceraian itu berlaku kerana perkahwinan mereka tidak ada persefahaman lagi.
“Takdir Allah SWT tidak boleh dibaca. Ia mungkin menjadi satu titik permulaan untuk sesuatu yang lebih baik kelak. Saya yakin apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya harus kuat demi anak-anak, saya tidak mahu tunjuk kesedihan. Saya akan lakukan sesuatu untuk lupakan kesedihan. Saya banyak mendapatkan nasihat daripada papa kerana nasihat papa memberikan kebaikan buat diri saya. Saya kehilangan suami tapi sekurang-kurangnya saya masih ada papa dan anak-anak sebagai sumber kekuatan.” Ujar Serina dengan tenang, memulakan bicara.
Menurut Serina lagi, bukan mudah ketika dia hendak berterus terang dengan papa tersayang.
“Semasa mula-mula hendak sampaikan kepada papa yang saya hendak bercerai, sebenarnya detik itu bukan mudah. Ini kerana saya tidak pernah berkongsi kisah rumah tangga kepadanya lebih-lebih lagi untuk tunjuk yang saya sedang ada masalah. Maklumlah, tiada siapa yang hendak mahligai yang dibina atas dasar cinta roboh. Begitu juga saya yang sudah mencuba untuk menyelamatkan rumah tangga namun menemui jalan buntu. Akhirnya saya terpaksa merujuk kepada papa untuk mendapatkan nasihat yang terbaik untuk diri saya.
“Ekspresi pertama papa, semestinya dia marah sebab saya tidak pernah memberitahunya perihal masalah yang saya hadapi selama ini. Tapi cukuplah saya katakan bahawa, perceraian saya dan bekas suami kerana tiada persefahaman lagi. Bukan kerana orang ketiga dan sebagainya. Ketika itu, papa kata, dia tak mahu masuk campur dan tak mahu hukum siapa salah, siapa betul. Ini masa depan saya dan paling penting kebahagiaan saya. Papa hendak lihat saya bahagia. Kalau tidak bahagia, tiada gunanya bertahan. Paling penting tanggungjawab terhadap anak-anak jangan diabaikan. Alhamdulillah saya kuat dan perlu segera move on.
“Apa pun sebagai anak, saya sangat terharu dan bangga dengan papa kerana berani mempertahankan maruah anaknya. Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku kerana yakin Allah SWT akan memberikan yang lebih baik buat saya,” ungkap Serina yang bergilir-gilir menjaga anaknya bersama bekas suami. Serina tidak mahu anak-anak menjadi mangsa hanya kerana dia dan bekas suami sudah bercerai. Dalam hal ini, Serina sangat tegas dalam ada pendapatnya yang tersendiri.
Keputusan sudah diambil dann dipersetujui oleh kedua pihak dan masing-masing tidak mahu perpisahan mereka mengganggu emosi anak-anak. Mereka sepakat mencari jalan damai dan bersama-sama membesarkan anak-anak sebagai memenuhi tanggungjawab dan amanah Allah SWT.