Sesungguhnya ajal dan maut adalah ketentuan tuhan. Bila ajal menjemput ia tidak mengira tempat dan waktunya. Hajat seorang wanita untuk tunaikan tanggungjawab mengundi tidak kesampaian apabila, dia rebah dan terus meninggal dunia ketika beratur menunggu giliran untuk membuang undi di SMK Pulau Serai, Dungun, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi, mangsa, Rokiah Sulong, 54, dari Kampung Pelandang yang beratur di saluran dua, rebah secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan beberapa minit selepas kejadian.
Anak sulong mangsa, Nur Zita Md Nur, 36 berkata, dia dan emaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8.00 pagi untuk mengundi.Dia ketika itu beratur di saluran dua manakala ibunya itu beratur di saluran empat.
“Saya mendengar suara ada orang rebah dan tak sangka ia adalah emak sebelum seorang penduduk memaklumkan kepada saya.
“Saya bergegas ke saluran emak dan mendapati emak ketika itu sudah tidak sedarkan diri dan saya ajarnya mengucap dua kalimah syahadah,”
“Ketika keluar dari rumah emak seperti biasa dan tiada tanda-tanda sakit atau tidak sihat.Dia kelihatan gembira untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara.
” Emak memang ada penyakit darah tinggi dan sebelum keluar dia sudah makan ubat,” katanya.
Pegawai Perubatan yang tiba mengesahkan emak sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke rumah untuk urusan pengebumian.
Kata Nur Zita, dia dan keluarga masih terkejut dengan kejadian itu tetapi menerima ketentuan dengan redha.
“Sewaktu kejadian kami beratur di saluran berbeza dan sebaik dimaklumkan oleh orang ramai saya terus ke sana.
“Ketika itu emak sudah pengsan dan saya melihat dua hingga tiga kali dia menarik nafas panjang sebelum disahkan sudah tiada.
“Emak tidak sempat membuang undi tetapi saya tetap meneruskan tanggungjawab walaupun amat sedih dan terkejut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian itu.
Jenazah mangsa kemudian dihantar ke rumah di Kampung Pelandang selepas keluarga mengesahkan mangsa menghidap penyakit darah tinggi serta masih menjalani rawatan.
Mingguan Wanita ucapkan salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga arwah ditempatkan dikalangan golongan orang-orang yang beriman.
Sumber: Sinar Harian & Bharian