Hajat Hati Nak Anak 7 Orang, Sama Macam Nabi, Itulah Yang Allah Tunaikan

Share

Hakikatnya sama ada anak sedikit atau ramai, masing-masing mempunyai rezeki yang telah Allah tetapkan. Setiap pasangan juga punya pilihan sendiri sama ada mahu anak sedikit atau ramai.

Namun, di hujungnya tetap Allah jua yang makbulkan keinginan dan hasrat itu.

Inilah yang terjadi pada, Bonda Nor yang pernah berimpian mahu miliki 7 orang anak, sama seperti jumlah anak junjungan besar rasulullah S.A.W

Ya Allah, Aku Nak Ada Anak 7 Orang

Awal kahwin lagi saya dah beritahu suami, saya mahu anak ramai. Syukur, suami punya hasrat yang sama.

Dapat saja anak pertama, terus sediakan 10 nama.

Anak dah ke tadika, dengar dia nyanyi lagu Anak Nabi Ada 7 Orang, terus jadi ilham untuk saya stick pada satu hajat yang lebih jelas.

Ya Allah, aku nak ada anak 7 orang. Macam Nabi.”

Bersalinkan anak ke 6, teruji dengan komplikasi. Nyawa kritikal level nazak. Perlu stop having baby. Sedih sangat. Tapi takpelah, pujuk hati redha.

Takdir Allah mengatasi tadbir manusia. Ketika sudah redha, berdepan pula dengan satu lagi ujian Allah. Mengandung pula anak ke 7! Allahu Rabbi. Masa ni, bergelut emosi. Bergelut dengan situasi. Bergelut antara hidup dengan mati!

Alhamdulillah, pendek cerita, setelah parah dan pasrah harungi pelbagai ujian demi ujian, semuanya berakhir dengan baik.

Begitulah. Hajat hati nak 7 orang cahaya mata macam Nabi. Itu yang pernah menjadi harapan dan itulah yang Allah tunaikan.

Maka alhamdulillah. Bersyukurlah saya menjadi ibu kepada anak-anak sejumlah warna pelangi dan bilangan ayat dalam Al-Fatihah.

Namun ternyata syukur saja tidak memadai!

Bila Anak Sejumlah Warna Pelangi, Kena Usaha Lebih Cari Rezeki

Rupa-rupanya menggalas amanah tak semudah menadah tangan berdoa meminta-minta daripada Allah.

Ujian hadir silih berganti. Masa anak kecil, tak tidur malam bila anak demam. Bila anak besar, tak tidur malam melayankan resah gelisah bila anak tiada di rumah.

Rupa-rupanya amanah yang digalas menuntut kerja keras. Kerja keras cari rezeki lebih. Kerja keras dalam mendidik dan melatih. Kerja keras dalam mengawal emosi dan menundukkan ego sendiri. Kerja keras untuk terus mencari ilmu agar lebih memahami. Kerja keras!

Lebih kerja keras untuk memastikan anak-anak faham soal dosa pahala. Soal syurga neraka. Kerja keras bantu anak-anak perbaiki diri sedangkan dalam masa yang sama, ibunya ini pun sedang bergelut dengan kelemahan sendiri.

Kerja keras untuk usahakan dapat berkumpul semula dalam syurga. Semuanya, tanpa tertinggal seorang pun. Dan sungguh, itu bukan kerja mudah! Debarannya berterusan!

Betul Allah sebut dalam Al-Quran tentang rezeki. Ada anak, rezeki. Tak ada anak pun sebenarnya adalah rezeki.

Lalu pada akhirnya, walau apa pun takdir yang Allah rezekikan untuk kita, sebenarnya terkandung infiniti tafsiran kasih sayang-Nya.

Ada Sedikit Atau Ramai Anak, Tetap Sama Saja

Ada anak atau tak ada anak, tetap sama saja. Pada sesuatu yang buat kita gembira, ada pahala syukur jika kita pandai bersyukur.

Ada sedikit anak atau ada ramai anak, tetap sama saja. Pada sesuatu yang kita tak suka dan buat kita berduka, ada pahala sabar jika kita mampu bersabar dan terus berikhtiar.

Allahu Akbar. Betapa baiknya Allah dalam mengatur segenap ruang dan peluang untuk menghantar kita ke syurga. Sentiasa ada lorong dan terowong pahala pada setiap zarah pilihan takdir-Nya.

Sungguh, pada persoalan zuriat pun tersirat seribu satu takdir penuh makna…

….. jika kita mahu memikirkannya.

Wahai Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai. Berilah kebaikan kepadaku yang mengalir pada zuriatku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”
(Surah Al-Ahqaf: 15)

Sumber/Foto : Nor

Published by
Netty Ah Hiyer