Hafizah 30 Juzuk Al-Quran Bukti Raih Cemerlang Markah ACCA Kedua Tertinggi Dunia

Share

Hebat sungguh. Bukan hanya hafizah 30 juzuk Al-Quran saja, tapi mampu raih kepetusan cemerlang dalam peperiksaan ACCA, sekaligus markah tertinggi ke dua di dunia.

Bukan calang-calang orang dan tak terfikir bagaimana cara dia belajar hingga mendapat markah tertinggi di Malaysia dan paling penting kedua tertinggi di dunia.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: ‘Sentiasa Kekal Konsisten, Agar Tak Ketinggalan.’ Graduan Perakaunan UiTM Diiktiraf 10 Terbaik Dunia

“Sentiasa Tanya Pensyarah & Kongsi Ilmu Dengan Kawan” Rahsia Kejayaan Julea Qiestyna

Hafizah 30 Juzuk Dapat Markah Cemerlang ACCA

Rezeki Allah. Kun fa yakun. Inilah yang sangat dikagumi oleh seorang hafizah 30 juzuk al-Quran yang telah membuktikan tekad dan usaha bersungguh-sungguh mampu meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) biarpun mengambil cabang pengajian yang berbeza sebelum ini.

Safwa Zamri, 19 yang bergelar hafizah ketika berusia 14 tahun meraih markah tertinggi dalam kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1), sesi Mac 2023 sekali gus melayakkannya mendapat markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi dunia dalam peperiksaan itu.

Anak bongsu dari lima beradik itu menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize dengan mendapat keputusan cemerlang 98 peratus.

Minat Matematik

Safwa merupakan pelajar semester kedua (program Asasi) Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu di kampus Dungun itu berkata, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan kerana minat terhadap subjek matematik.

“Saya lebih cenderung untuk memilih jurusan perakaunan berbanding jurusan lain kerana minat saya terhadap subjek matematik.

“Adik beradik lain juga menyarankan supaya ambil bidang ini kerana dalam keluarga tiada lagi yang ambil bidang perakaunan sebab yang lain ambil perubatan dan kejuruteraan,” katanya yang tinggal di Kampung Pengkalan Kubur, Besut, Terengganu.

Ditanya mengenai rekod terbaharu yang dicapai, Safwa memberitahu, dia sendiri tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek itu kerana baru mempelajarinya dalam tempoh enam bulan.

“Saya sebenarnya rasa sukar juga ketika mula-mula belajar bidang perakaunan. Namun saya tidak mengalah dan terus membuat ulang kaji, latihan dan sering bertanya.

“Saya juga membuat rujukan dengan mereka yang telah mengambil bidang itu,” kata anak bongsu dari lima beradik itu.

Sebelum ini bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut itu mengambil Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab (SUUA) iaitu penggabungan Kurikulum Kebangsaan aliran tahfiz sains dalam Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kitab turath untuk murid tahfiz terpilih pada peringkat menengah atas.

Safwa yang mengambil jurusan sains tulen dan agama mendapat 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.

Rezeki Kurniaan Allah

Sementara itu, bapa Safwa, Zamri Mohd Amin, 56 berkata, Safwa menunjukkan semangat belajar yang tinggi sejak dibangku sekolah rendah.

“Pada saya, pencapaian yang diperoleh Safwa merupaka rezeki kurniaan ALLAH SWT dan saya bersyukur dan berdoa supaya dia terus mengekalkan kecemerlangan yang diperoleh,” katanya yang merupakan seorang guru.

Sementara itu, ibunya, Rashidah Ab Rahman, 57 berkata, Safwa memiliki semangat yang tinggi dalam mencapai sesuatu yang diinginkan.

“Bagi saya, Safwa seorang anak yang rajin dalam pelajaran. Dia sanggup berjaga malam seorang diri untuk mengulang kaji pelajaran kerana mahu memastikan dia boleh menguasai setiap subjek dengan cemerlang.

“Bagi saya seorang ibu pula, saya akan terus mendoakan kecemerlangan anak-anak dan mencapai hala tuju serta cita-cita mereka,” ujarnya.

Mingguan Wanita : Tahniah buat Safwa. Cukup membanggakan bukan saja buat keluarga tapi seluruh rakyat Malaysia. Moga terus berjaya dunia dan akhirat.

Sumber: Sinar Harian

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nora