Rindu bapa ini masih bersisa. Baru empat hari, permata hatinya, Muhammad Sher Harraz seusia empat bulan meninggalkan ayahnya, Hazmeer Hassan (pelawak Chot) dan ibunya, Siti Zafirul Azzah Moh Idris.
Dan kala kerinduan datang bertamu, doa mak ayahlah jadi peneman anak syurga ini. Bermain-main di taman syurga Ilahi.
Malah itulah yang diharapkan ibu yang ditinggalkan ini. Sebagaimana kongsi ibunya beberapa hari lalu di instagram.
“Baru lepas ziarah anak syurga. Mommy, daddy rindu Sher Harraz. Kalau nak tahu, Sher Harraz sebelah kubur dengan pakcik Mommy.”
“Bermain-mainlah sayang dengan adik mommy. Hanya doa kami kirimkan pada awak sayang.” luah ibu yang dalam kerinduan ini.
Bayi pasangan ini meninggal dunia disebabkan masalah injap terbalik.
Ketika mengimbas memori lalu inilah pelawak Chot dari kumpulan XOXO ini berkongsi satu berita sedih. Memori yang memberinya petanda awal akan pemergian anak kesayangannya.
Tentang hadiah kemenangan berupa set kelengkapan jenazah yang diterimanya beberapa bulan lalu.
“Waktu ini saya dinobatkan juara bagi pertandingan ‘PENCARIAN DJ MELAKA FM’. Kami dihadiahkan dengan set kelengkapan jenazah.”
“Waktu ini isteri saya masih sarat lagi mengandung. Sekitar 3 ke 4 bulan lagi waktu ni.”
“Kami baru sedar ada hikmahnya hadiah utama di saat itu. Rupa-rupanya PAKAIAN PERTAMA DAN TERAKHIR BUAT ANAKANDA KAMI.”
Benarlah kehadiran setiap anak itu ada rezekinya. “Terima kasih anakku sebab bagi mommy dan daddy rezeki juara dan ada di tahap ini.”
“Sesuatu yang tak mudah nak dilupakan.” Zahir Chot dalam instagram miliknya semalam.
Dan ketika ditemubual mstar, penyampai radio Melaka FM ini memaklumkan yang set kelengkapan pengurusan jenazah itu tak sempat digunakan untuk menguruskan jenazah anaknya.
Namun, Chot percaya itulah hadiah yang Allah mahunya simpan sebagai kenangan untuknya mengingati cinta hatinya mereka.
Sumber/Foto : chotxoxo, mstar