Kalau dah rezeki tidak ke mana.Rezeki tidak pernah tersalah alamat.Bertuah penyanyi dari seberang ini, meraikan kegembiraan berganda pada bulan kelahirannya baru-baru ini.
Penyanyi Indonesia, Rosa Roslaina Handiyani, 40, atau Rossa yang menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) menyifatkan penganugerahan itu sebagai hadiah terindah sempena ulang tahun kelahirannya pada 9 Oktober lalu.
Penyanyi itu antara 19 penerima darjah SSAP yang membawa gelaran Dato Sri dalam Istiadat Majlis Pengurniaan Pingat dan dan Darjah Kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, semalam.
Beliau berkata, penganugerahan pingat itu akan menjadi pemangkin dalam karier seninya di industri muzik serantau.
“Mungkin 2018 adalah tahun bertuah saya, bulan lalu saya menerima Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik (APM2018) dan pingat ini adalah hadiah hari lahir terbaik serta satu penghargaan yang tidak terhingga sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam industri seni.
“Penganugerahan ini juga memberi saya tanggungjawab yang lebih besar dalam memartabatkan lagi arena muzik serantau kerana industri muzik Malaysia dan Indonesia saling mendukung antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini beliau masih mempromosikan albumnya ‘A New Chapter’ dan lagu duet terbaru bersama D’Masiv, Bukan Maksudku.
Rossa berasal dari Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan menempa nama di negara ini dengan lagu-lagu seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Hati Yang Kau Sakiti’ dan ‘Aku Bukanlah Untukmu’.
Pada istiadat itu, seramai 76 individu menerima pingat dan darjah kebesaran dalam majlis yang berlangsung di Istana Abu Bakar.Daripada jumlah itu, seramai 19 individu dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Dato Seri.Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, didalam Instagram penyanyi ini, Rossa berkongsi rasa bangga sebagai orang Indonesia yang dianugerahkan dengan darjah kebesaran Dato Seri tersebut, serta mengharapkan agar persaudaraan antara dua negara (Malaysia dan Indonesia) selalu kukuh dan erat.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Dato Sri Rossa atas penganugerahan yang diterima.Semoga kerjasama industri muzik Malaysia dan Indonesia yang terjalin semakin erat dan berjaya.