Biasanya kalau virus demam menyerang anak, mak kena terus bawa mereka ke klinik. Selepas pemeriksaan doktor, mak ke kaunter ubat dan diterangkan tentang preskripsi setiap ubat ikut sukatan.
Setiap ubat bukan saja ada label nama pesakit, tapi disertakan tarikh dan bilakah waktu sesuai mahu diambil. Selang dua hari, anak kedua yang berumur 6 tahun pula diserang demam.
Memandangkan mak tersangatlah sibuk dengan kerja, tak sempat nak bawa anak kedua ke klinik. Mak ambil ubat Along dan berikan pada Angah. Cara itu sebenarnya SALAH!
Sebenarnya ada banyak perkara perlu diperiksa dengan teliti sebelum ubat diberikan kepada anak. Ibu bapa fahami maklumat ini. Kemudian, kongsikan dengan penjaga anak-anak jika mereka diasuh oleh orang lain.
Nah, jemput baca perkongsian Puan Norazizah Hj Ruslan, Penceramah Bebas Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat, Platinum Holistic Wellness Centre, Shah Alam.
Sebelum diberi ubat, pastikan ianya untuk si manja. Pastikan nama anak ditulis dengan jelas. Jika di tempat asuhan mungkin ada beberapa nama yang sama atau hampir sama. Elakkan terjadi ubat untuk Mohd Amin diberikan kepada Mohamed Amin sebagai contohnya. Jadi penjaga harus lebih berhati-hati ketika memberi ubat untuk memastikan penerima yang betul.
Pastikan sebelum membawa pulang ubat dari klinik, ubat ditulis nama dan untuk apa. Ini memastikan ibu bapa tahu apa yang diberikan kepada anak. Jika tidak pasti, tanya perawat untuk menjelaskan kekeliruan. Ini juga memudahkan kita mengenal pasti ubat mana yang sesuai, memberi alahan dan sebagainya untuk rujukkan akan datang.
Sila ikut arahan yang ditetapkan untuk mendapat kesan yang dikehendaki atau mengelakkan keracunan jika terlebih dos. Jangan menambah atau mengurangkan dos sesuka hati. Gunakan penyukat yang disediakan atau picagari untuk penyukat ubat cecair.
Bukan semua ubat perlu dimakan! Ada ubat yang ditampal “RACUN” atau “POISON” di mana ianya untuk kegunaan luar sahaja. Terdapat juga ubat untuk dititiskan ke mata, telinga dan hidung. Ada juga untuk dimasukkan melalui dubur. Asingkan ubat yang dimakan dan yang di label racun. Jika ada anak yang perlu disuntik insulin, pastikan lokasi otot ditukar-tukar.
Perhatikan arahan masa pengambilan ubat. Ada yang perlu diambil dengan perut kosong atau selepas makan. Ada yang khas untuk diambil pada waktu malam. Periksa kekerapan pengambilan mengikut selang masa yang titetapkan terutamanya antibiotik.
Ada ubat yang diarahkan ambil bila perlu dan dihadkan pengambilannya mengikut keperluan. Contohnya ambil bila demam atau sakit sahaja. Terdapat inhaler yang perlu diambil hanya ketika lelah menyerang sahaja dan perlu dibawa kemana-mana.
Jangan berkongsi ubat dengan orang lain walaupun penyakit yang sama; kerana kesesuaian belum tentu sama. Ada ubat yang diberikan secukupnya untuk keperluan seorang pesakit, jika dikongsi ianya boleh menyebabkan kekurangan dos dari yang sepatutnya.
Sentiasa ambil tahu nama setiap ubat dan direkodkan supaya boleh dijadikan rujukan untuk masa akan datang.
Habiskan antibiotik walaupun demam telah hilang, ianya untuk memastikan bakteria penyebab penyakit tersebut dapat dihapuskan.
Krim yang mengandungi steroid perlu disapu senipisnya dan di kawasan yang terlibat sahaja.
Sekiranya berjumpa dengan lebih dari seorang doktor pada masa yang sama, pastikan diberitahu ubat yang sedang diambil untuk memudahkan doktor memberi rawatan.
Adalah penting untuk ibu bapa tahu apa yang diberikan kepada si manja serta tahu apa kebarangkalian yang akan timbul. Perhatikan sebarang tanda-tanda alahan. Hentikan pengambilan ubat serta merta dan bawa ke klinik atau hospital dengan segera.
Simpan ubat dan peralatan ditempat yang selamat dan jauh dari kanak-kanak. Simpan mengikut arahan seperti di tempat gelap, didalam peti sejuk mengikut suhu yang sesuai. Buang ubat yang lama dengan cara yang betul. Picagari yang telah digunakan untuk suntikan perlu dibuang di dalam tong sampah khas.
Biasanya, selepas kita ambil ubat demam (cecair) daripada klinik ataupun farmasi. Bila balik rumah, kita terus simpan ubat demam dalam peti sejuk dengan anggapan pasti ia tahan lebih lama bila disimpan dalam peti sejuk seperti makanan lain.
Kemudian, selepas demam anak kita sembuh. Ubat demam tersebut masih belum habis lagi, masih ada sedikit baki. Kita pun simpan semula baki ubat demam ni di dalam peti sejuk, mana tahu nanti boleh pakai lagi jika anak demam. Kalau terus buang, rasa macam membazir pula kan?
Berapa lama kita boleh simpan demam ini selepas dibuka? Adakah boleh disimpan hingga sampai tarikh luputnya?
Sebenarnya ubat-ubat demam dalam bentuk cecair di Malaysia telah dibotolkan atau dipack sesuai untuk sekali penggunaan untuk seorang pesakit. Sebotol ubat demam biasanya mengandungi 60ml – 100ml ubat sahaja.
Contohnya ubat demam yang mengandungi 60ml, jika diambil 5ml untuk 4 kali sehari. Ubat ini sepatutnya habis dalam masa 3 hari, dan biasanya demam juga akan sembuh dalam masa 3 hari.
Jadi ubat demam ini tidak perlu disimpan.
Jika masih ada ubat demam berbaki selepas digunakan, ubat ini masih boleh disimpan selepas dibuka untuk tempoh 1 – 2 bulan mengikut jenis ubat.
Tetapi, jika kita mahu menyimpan ubat demam untuk kegunaan masa akan datang. Sebaik-sebaiknya kita dapatkan ubat demam yang baru dan belum dibuka daripada farmasi dan simpan di tempat kering tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk.
Apabila anak kita demam, gunakan ubat yang baru, jangan ambil baki ubat demam yang lama yang kita tidak pasti bila tarikh pertama kita buka atau gunakannya.