Kalau sudah jodoh tak ke mana. Guru ini tak sangka akan bertemu jodoh dengan murid sendiri, suami 10 tahun lebih muda daripadanya. Kuasa Allah menentukan segalanya.
Perkenalan bermula dengan hubungan guru dan murid tanpa disangka berakhir di jinjang pelamin. Namun pelajar yang kini sah bergelar suami kepada guru tersebut mengakui sejak awal lagi sudah jatuh cinta pada isterinya.
Guru Tak Sangka Bertemu Jodoh Dengan Murid Sendiri
Seorang guru wanita di Jakarta, Indonesia tidak menyangka dia bertemu jodoh dengan bekas pelajarnya sendiri yang muda 10 tahun daripadanya.
Muhrianti, 29, dari Kalimantan timur, Indonesia selamat bernikah dengan Abdul Kodir, 19, pada 10 Jun lalu, lapor Tribunnews.
“Orang sering bertanya bila saya mahu berkahwin apabila usia mencecah 28 tahun.
“Saya tidak sangka jodoh saya ialah anak murid sendiri,” tulisnya di laman TikTok yang kemudian menjadi tular.
Awalnya Hubungan Hanya Sekadar Guru & Pelajar
Dia berkenalan dengan suaminya ketika bertugas di Sekolah Menengah Atas (SMA), namun hubungan itu hanya sekadar sebagai guru dan pelajar.
“Kami rapat apabila mengendalikan satu karnival di sekolah, dia murid saya di sekolah tetapi tidak begitu akrab.
“Bagaimanapun, ketika berada di akhir persekolahan, kami mulai mendekat,” katanya.
Ads
Katanya, dia diberi tanggungjawab mengendalikan karnival itu manakala suaminya diminta seorang guru kaunseling untuk membantunya.
“Guru kaunseling memberikan nombor telefon saya dan sejak itu, kami mula berbual dan berkenalan.
“Perhubungan antara kami berterusan walaupun selepas karnival tamat namun masih terbatas kerana dia masih belajar,” katanya.
Katanya, selepas Abdul tamat sekolah menengah dan bekerja, barulah suaminya meluahkan perasaan lalu melamar Muhrianti menjadi isteri.
“Awalnya biasa saja, belum timbul perasaan lagi, kami berbual dan berbalas mesej pun seperti biasa, bagaimanapun semakin hampir dengan peperiksaan SMA, kami jadi semakin dekat.
“Tapi kami tidak bercinta kerana masih menjaga hubungan sebagai seorang guru dan pelajar,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul mengakui menyukai gurunya itu dan mahu melamarnya sebaik memperoleh pekerjaan.
Ads
“Selepas tamat pengajian di SMA, dia mula mencari kerja.
“Lulus, cari kerja tahun depan aku lamar ibu (Muhrianti) ya, ini antara ayatnya yang masih saya ingati,” katanya.
Ambil Keputusan Terima Lamaran
Katanya, apabila Abdul melamar dia membuat keputusan untuk menerima suaminya itu.
“Saya sedar, saya juga suka sama dia,” katanya.
Sementara itu, melalui Detiknews, Muhrianti mengakui membuat video itu untuk diberi kepada saudaranya.
“Terkejut saya video itu menjadi tular, mahu diberi kepada saudara, saya kemudian muatnaik di TikTok,” katanya yang juga seorang guru di Samboja.
Setelah berkahwin, keduanya kini tinggal bersama di Samboja, Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur.
MW: Tahniah diucapkan kepada pengantin baru, ternyata usia bukanlah penghalang untuk pasangan disatukan. Paling penting keikhlasan dan perasaan cinta antara satu sama lain. Semoga pasangan ini bahagia hingga ke syurga. Amin.
Sekarang musim cuti sekolah. Ini bermakna setiap minggu pasti kita ada banyak undangan majlis perkahwinan yang perlu dihadiri. Sudah tentu kehadiran kita sebagai tetamu sangat menceriakan pengantin.
Namun ada sesuatu yang sudah berubah tetapi barangkali kita tidak sedar. Majlis ijab kabul sudah berlalu lebih seminggu tetapi gambar-gambar masa majlis itu masih terpapar di laman-laman media sosial peribadi. Tidak cukup begitu, rasa bahagia, rasa kasih dan rasa sayang isteri kepada suami dikongsi secara terbuka.
Perasaan Suami
Baguslah begitu tetapi izinkan saya bertanya satu soalan panas di sini. Adakah perasaan suami terhadap paparan kebahagian di laman sosial sama dengan isteri? Tahukah anda sebenarnya ramai lelaki yang baru dua tiga bulan bergelar suami mula rasa tidak selesa apabila isteri terlalu kerap menayang kebahagiaan di laman sosial?
Mereka tertanya-tanya jika nanti datang cabaran besar dalam rumah tangga, adakah isteri akan berkongsi masalah itu di laman sosial? Saya tidak tahu apa jawapannya tetapi kita sendiri lihat semakin ramai yang menjadikan laman sosial tempat melepaskan perasaan terhadap pasangan masing-masing.
Nak Tegur Boleh…
Anda mahu tahu lagi beberapa keadaan yang membuat suami rasa tidak selesa kepada isteri? Mohon anda yang baru bergelar isteri tidak marahkan saya jika saya beritahu; jangan jadi seperti nyamuk di telinga suami. Maksudnya elakkan daripada terlalu meleret-leret memberi ulasan hal-hal kecil pada suami. Betul hal itu besar bagi anda tetapi itulah lelaki.
Hal-hal tuala disidai tidak lurus, terlupa buang sampah, terlajak masa bila bertemu rakan di kedai mamak memang sangat menduga kesabaran isteri. Bukan anda tidak boleh menegur suami tentang ini semua tetapi ianya perlukan seni komunikasi yang sangat istimewa. Saya tidak boleh terangkan caranya di sini tetapi memberi ucapan meleret-leret tentang hal-hal kecil begitu boleh menyebabkan suami anda kemurungan nanti.
Buktikan Pandai Jaga Diri
Semua orang tahu suami itu tempat berlindung isteri. Namun di hujung yang satu lagi isteri juga perlu ada kemampuan untuk menjaga diri sendiri. Garis pemisah antara isteri yang terlalu bersifat berdikari dan isteri yang segala mengharapkan suami itu nipisnya umpama kulit bawang. Isteri yang terlalu berdikari boleh membuatkan suami rasa tidak dihargai. Isteri yang terlalu bergantung padanya pula boleh membuat suami rimas.
Cara paling selamat ialah dalam situasi yang sesuai tunjukkan anda boleh menjaga diri sendiri. Contoh kereta anda rosak pada ketika suami berada di luar kawasan. Buktikan anda tahu nombor telefon mekanik yang dia biasa dan bertindak sewajarnya. Isyarat yang akan dia faham ialah anda hanya bergantung kepada dia kerana dia adalah suami dan bukan kerana anda tidak boleh melakukannya sendiri.
Tak Suka Berteka-Teki
Satu lagi perkara yang selalu menjadi rungutan suami ialah menunjukkan sikap sukar untuk difahami. Anda mungkin sekadar bergurai tetapi cuba hayati dialog ini;
“Malam ni Ina tak payah masak. Kita makan kat luar. Ina nak makan di mana?” “Ikut abanglah. Ina tak kisah!” “Ok..kita pergi makan sate ya?” “Tak naklah. Ada kuah kacang. Nanti jerawat!” “Ok..kita cari kedai Tomyam. Nak?” “Laaa…minggu lepas dah Tomyam! Takkan minggu ni Tomyam lagi?” “Kalau macam tu kita pergi KepChi. Boleh?” “Taknaklah…kalau siang bolehlah. Ini makan malam pun nak KepChi?” “&%$&(#$…dahlah! Susah sangat…Cancel!”
Tak Sabar!
Wanita memang misteri. Anda mungkin saja menduga untuk mendapat perhatian tetapi suami anda itu lelaki. Dia tidak begitu sabar untuk menduga dalam kegelapan mencari apa yang anda mahukan. Oleh itu jangan terlalu menyusahkan fikiran suami meneka-neka begitu. Jika anda mahu apa-apa layanan istimewa, beritahu saja. Jangan sekadar berkias-kias atau memberi isyarat-isyarat kabur. Memang suami tidak akan faham. Ngerti?
** Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, yang juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ini kisah benar yang terjadi pada seorang ibu kepada 9 orang cahaya mata, almarhumah Hajah Zaleha binti Zakaria yang begitu bersungguh membuat pecutan ibadah, 6 bulan sebelum dijemput Ilahi pulang ke kampung akhirat.
Perkongsian indah ini disampaikan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi untuk pembaca MW semua renungi, hayati dan ambil pengajaran.
Semoga kita yang membaca, Allah kurniakan waktu dan peluang untuk beribadah seperti wanita ini.
Pecutan Ibadah Ibu Anak 9 Itu Begitu Laju..
Dia bagaikan tahu saat kematiannya. Pecutan ibadah hablumminallah dan hablumminannasnya begitu laju sejak enam bulan sebelum tarikh kematiannya.
Ibu kepada sembilan orang anak itu begitu komited dengan majlis ilmu, qiamullail, membaca Al Quran dan berinfaq di jalan Allah.
Dia akan menangis apabila membaca Al Quran dan bertadabbur akan maknanya. Tabung bantuan untuk Palestin sentiasa dibawanya ke mana-mana.
Singgah dari masjid ke masjid untuk menimba ilmu. Dan kiranya dia dapati ada ibu-ibu yang tidak lancar membaca Al Quran, dia akan meluangkan masa untuk mengajarkannya.
“Wang yang saya berikan untuk keperluannya begitu cepat disedekahkan. Begitu laju dia menghabiskannya untuk fisabilillah,” kata suaminya. Sebelum suaminya bermusafir ke luar negara, sudah dibayangkannya bahawa dia akan pergi untuk selamanya.
Ketika suaminya bertanya, apakah ada barang yang mahu dipesankan sebagai ole-oleh dari luar negara? Sebaliknya dia berpesan agar suaminya menjaga syariat dan mempamerkan akhlak yang baik agar Islam dipandang tinggi di bumi Barat.
Di Ruang Inilah Masa Dihabiskan Untuk Solat, Zikir Dan Bermunajat
Di sudut itulah di dalam rumahnya (gambar atas) dia menghabiskan masa untuk solat, zikir dan bermunajat. Sungguh, dia seorang mujahidah yang istiqamah dengan kebaikan sejak zaman mudanya.
Kematian dalam kemalangan jalanraya tiga hari yang lalu itu pun semasa dia menumpangkan seorang pelajar yang ditemuinya di tepi jalan.
Dalam perjalanan menuju rumah pelajar itulah dia mengalami kemalangan dan meninggal dunia di situ juga.
Semoga Allah mengampuni dan mengasihani almarhumah Hajah Zaleha binti Zakaria isteri kepada Prof Dr Jamel Othman yang telah pulang ke rahmatullah. Perginya meninggalkan kita satu pengajaran untuk istiqamah melakukan kebaikan.
Ya, cara hidup seseorang akan menentukan cara matinya. Dan cara mati seseorang akan menentukan bagaimana dia dibangkitkan kembali satu hari nanti.
MW : Moga kisah ini jadi ikhtibar kita mak-mak, untuk melengkapi hati berniat mahu berbuat kebaikan di dunia dan akhirat, ikhlas untuk Yang Esa.
Selalu orang sebut, untungnya adik beradik ramai, boleh bantu kongsi sedikit sebanyak untuk tolong mak ayah. Tapi ini, tak bermakna yang ada ahli keluarga sedikit tidak membantu.
Untungnya adik beradik yang ramai atau sedikit bergantung kepada kesepakatan anak beranak. Mungkin ada keluarga ramai tapi susah bab-bab membantu keluarga lain.
Malah, untungnya adik beradik sedikit sebab hanya mereka saja yang ada, sebolehnya inilah harapan mak ayah pada anak-anak yang ada.
Tak kiralah untungnya adik beradik yang ramai atau hanya beberapa orang saja. Semuanya bergantung kepada bersepakatan dan bersatu dalam menghulurkan bantuan terutamnanya dari segi kewangan untuk mak ayah.
Mak ayah tak minta tapi tanggungjawab anak-anak tentulah ingin memberikan yang terbaik untuk mak ayah mereka.
Menariknya perkongsian daripada Abe Nazz Zain ini boleh dijadikan panduan untuk semua. Untungnya adik beradik ramai kerana mampu bersepakat kumpul duit sama-sama demi membantu mendapatkan rawatan untuk ayahnya.
Untungnya adik beradik kerana masing-masing mempunyai pendapatan dan kerjaya yang hebat. Namun, bagi yang mungkin tidak membantu dari segi kewangan, ada cara lain yang boleh diberikan.
Tak semestinya duit untuk membalas jasa mak ayah tapi hakikatnya kadang-kadang duit itu penting untuk hari-hari mendatang.
KEKADANG DUIT ITU PENTING JUGA
°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°°
Baru-baru ni Abah Abe masuk hospital. Baru je keluar. Alhamdulillah.
Tapi kos rawatan hampir 7 ribu ringgit!
Mujurlah Abah dan Che ada 12 anak. Dan mujurlah kami jenis adik beradik suka kumpul duit sama-sama.
Abang Abe cadangkan kami kumpul duit setiap bulan untuk rawatan kos perubatan Abah dan Che.
Yes Abah dan Che pesara kerajaan. Ada pencen. Ada bantuan klinik kerajaan.
Tetapi kadang-kala kita perlukan rawatan Dr. Hospital swasta.
Abah dah tua dan takde medical card takaful. Yelah masa muda dulu kewangan dia digunakan untuk hantar anak belajar. 12 orang tu.
Tapi masa nilah bagusnya bila ada banyak anak-anak yang gagah dari segi kewangan. Lebih-lebih lagi yang minda sama boleh berpakat.
Sebab duit kita boleh cari. Tapi Abah dan Che tak boleh ditukar ganti.
Teringat Abe keluarga moyang isteri Abe. Anak-anak dia (semua usia atas 65 tahun) hampir semua power-power belaka.
Dato. Datin. Multi millionaires. Abe inspired tengok anak beranak moyang isteri Abe.
Maybe suatu hari dalam kalangan adik beradik Abe akan ada Dato Datin Tan Sri juga.
Millionaires dah ada banyak dah. Dato dan Datin je belum ada.
Dato Ahmad Nazhrat Mohd Zain. Macam best pulak nama tu kan?
Okay tu jelah Abe nak share.
Pentingnya Duit
Moral of the story is, yes ketaqwaan pada Ilahi paling penting. Tapi kadang-kadang duit tu penting juga.
Kedua, belilah medical card untuk ibu bapa anda yang boleh cover sampai hari tua. Kalau tak, bersatulah adik dan beradik demi ibu dan bapa anda.
Akhir kalam, tingkatkanlah kebolehan anda untuk menjana pendapatan tinggi demi insan yang anda cintai. You never know when you need the money
Mingguan Wanita : Tak kisah adik beradik ramai atau sedikit, yang penting masing-masing bersatu bukannya dengki. Air dicincang tak akan putus.
Sumber: Abe Nazz Zain
Kerja macam kerbau pun demi Abah dan Che juga
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Pemilik Ordinary Baker perjelas sebab saman adik beradik RM1.5 Juta, "orang nampak saman tak nampak pengorbanan. Sejak semalam kecoh di media sosial tentang kisah...