Guru Santuni Anak Orang Lain, Rupanya Terlepas Pandang ‘Amanah’ Di Rumah

Share

Kata Guru Kaunseling ini, Abdul Muiez Ruslee dia bukannya mahu membuka pekung di dada. Namun, inilah realiti yang dihadapinya dalam mendepani pembelajaran anak-anaknya di rumah.

Di kala dirinya memberi fokus pada pembelajaran anak-anak didiknya, tak disedari anak-anak sendiri iaitu amanah sendiri yang perlu didahulukan telah terabai.

Dan ini memberinya kesedaran bahawa dalam bab mendidik cahaya mata ini, bukanlah semata diharapkan pada orang lain. Tangan mak ayah sendiri itulah punca kemenjadiannya.

Panjang Lebar ‘Membasuh’ Si Anak Sulung

Maghrib tadi, panjang lebar kami membasuh si anak sulung.
Yalah, bila kami sudah mula bekerja, sesi pembelajaran anak-anak nampak sedikit terabai. Terutamanya di waktu pagi. Kalau sempat jenguk pun, bermula petang membawa ke malam.

Hanya kepada dia tempat kami meminta untuk jenguk-jengukkan adik-adiknya semasa kami bekerja.
Setiap hari kami memikirkan, apa yang terbaik boleh kami berikan kepada anak orang lain, tanpa kami sedar, anak sendiri sedikit ketinggalan.

Si anak kedua, tahun 3, mengaji masih ‘merangkak’. Menitik air mata isteri bila mendengar bacaan quran dia melalui voice note.
Anak ketiga, sudah masuk tahun satu, tapi masih teragak-agak dalam membaca.
Anak keempat, sudah masuk 6 tahun. ABC pun dia masih keliru.
Allahu akbar. Bukan kami mahu membuka pekung di dada. Cuma ada satu perkara yang kami perlu renungkan semula.

Santuni Anak Orang Lain Sebaiknya, Rupanya Terabai Amanah Di Rumah

Dalam menyantuni anak orang lain sebaik mungkin, rupa-rupanya wujud satu sudut yang kami terlepas pandang. Di rumah, ada amanah sendiri yang patut kami dahulukan.

Saya selalu terkenang satu ayat yang menyentuh jiwa.
Sekuat mana kita tumpahkan setia kepada organisasi, sampai satu ketika, waktu kita hilang, tetap akan ada pengganti. Sejurus selepas kita pergi.

Akhirnya, kepada keluarga juga kita akan kembali. Kepada keluarga juga kita akan menagih simpati.”
Begitulah hidup kita.

Ada dua perkara yang saya nampak. Pandemik ini, semua orang terkesan. Jadi, kita sebagai ibu bapa, jangan letakkan harapan yang tinggi kepada orang lain. Kitalah yang perlu gerakkan anak-anak kita sendiri.

Kedua, segigih mana kita tumpahkan taat setia kepada organisasi kita, satu perkara yang kita kena ingat. Di rumah ada keluarga yang menanti. Bahagialah masa sebaiknya agar tidak ada yang ketinggalan.

MW : Sungguh.. besar pengorbanan guru-guru yang sudah berkeluarga. Moga pandemik ini segera berlalu.

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee

Published by
Netty Ah Hiyer