Guru Ini Tidak Lena, Memikirkan Punca Jika Anak Didik Tidak Mencapai Prestasi Diharapkan

Share

Bergelar seorang pendidik pada hari ini bukanlah satu perkara yang mudah. Seseorang guru itu perlulah mempunyai semangat yang cukup kental dalam mendidik anak-anak bangsa. Ditambah lagi dengan perkembangan pelbagai medium sosial yang banyak mempengaruhi  minda anak-anak yang sedang membesar.

Namun bagi menabur bakti kepada masyarakat Hajjah Rohimah Baharudin, 53 yang berasal dari Johol, Negeri Sembilan memegang teguh pada prinsipnya iaitu mahu ikhlaskan hati, murnikan peribadi, yakini diri biar apapun cabaran yang mendatang ditangani dengan tenang kerana ular menyusur akar takkan hilang bisanya.

Guru yang kini mengajar di SMK Gemilang, Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang ini sudah mengajar di sekolah tersebut hampir dua tahun dan sekolah tersebut merupakan sekolah kelapan dia berkhidmat.

Telah menabur bakti selama 29 tahun, guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam ini akui banyak pengalaman pahit manis yang ditempuh sepanjang bergelar guru.

“Bercerita tentang pengalaman memang banyak. Saya pernah berkhidmat jauh daripada keluarga dan terpaksa meninggalkan anak yang masih kecil di kampung. Bukan itu saja saya juga pernah memandu seorang diri di tengah malam dari Kota Damansara untuk pulang ke Kuala Pilah kerana anak demam dan suami pula outstation. Apabila sampai di rumah terus membawa anak ke hospital dan ditahan wad,” ungkap Rohimah membuka bicara.

Wanita ini juga turut menerangkan sepanjang bertugas dia pernah dilantik sebagai Penolong Kanan HEM.

“Terlalu banyak pengalaman manis sepanjang perkhidmatan kerana minat yang tinggi dalam aktiviti kokurikulum sejak tahun pertama menjadi pendidik. Dilantik sebagai Penolong Kokurikulum pada tahun 2010 sehingga hari ini dan pernah ditawarkan Penolong Kanan HEM sejak tahun 2011 tapi saya menolak kerana minat yang tinggi dalam pengurusan kokurikulum. Saya merasa puas t kebangsaan dan antarabangsa. Saya sendiri sedia menjadi jurulatih ataumelihat anak-anak didik saya berjaya dalam setiap pertandingan yang mereka sertai sehingga ke peringka mencari jurulatih luar jika saya kurang berkemahiran dalam bidang yang ingin mereka ceburi,” sambung Rohimah.

Bersama anak-anak murid kesayangan.

Curah Bakti

Rohimah juga menerangkan dia sentiasa menghidupkan semangat dan jiwa pendidik dalam diri sebagai seorang guru apabila mendendangkan lagu Guru Malaysia.

“Timbalah ilmu seluas lautan dan curahlah bakti di semesta alam. Bekhidmatlah seikhlas hati tanpa mengharap ganjaran dunia semata-mata kerana ganjaran dari Allah swt. tiada ternilai dan kekal selamanya,” ungkap Rohimah.

Begitu menghargai pemberian anak murid, Rohimah menerangkan dia masih menyimpan hadiah pertama yang diterima dari murid pada tahun pertama menjadi guru. Malah di rumahnya juga mempunyai almari khas untuk menyimpan hadiah-hadiah yang diterima dari murid pada setiap tahun.

Kesabaran Yang Tinggi

Kesabaran yang tinggi terhadap rencah kehidupan seorang guru, yang sentiasa berurusan dengan manusia pelbagai peringkat di sepanjang tahun. Tanggungjawab seorang guru bukan semata-mata menhadapi kerenah anak-anak didik di sekolah sahaja malah cabaran-cabaran lain yang tidak kurang hebatnya menguji kesabaran seorang pendidik.

“Di tambah pula dalam era dunia tanpa sempadan atau dikenali juga dengan dunia di hujung jari ini, alam pendidikan formal di sekolah amat tercabar dengan ‘pendidikan yang tidak rasmi’ melalui aplikasi-aplikasi serta gajet-gajet yang menjadi kegilaan anak-anak remaja sekarang. Tidak kurang juga fenomena ini turut mewarnai sikap dan pemikiran masyarakat sehingga memberi impak besar dalam dunia pendidikan,” ulasnya.

Menyebut ertikata ‘beban tugas’ seorang guru, tidak dapat disangkalkan pada hari ini tugas guru sangat mencabar tapi disebabkan minat yang tinggi untuk melihat kejayaan murid-murid hasil daripada keringat melatih dan mendidik mereka, menjadikan cabaran dan beban tugas guru terasa mudah untuk direalisasikan.

“Saya akan tersenyum puas tanpa mengharapkan apa-apa pujian atau penghargaan dari mana-mana pihak setiap kali melihat kejayaan anak-anak didik saya malah ada ketikanya saya tidak dapat lena memikirkan dan mencari punca jika anak-anak didik saya tidak mencapai prestasi yang saya harapkan.

“Secara jujurnya cita-cita untuk melihat saya sebagai seorang pendidik adalah impian keluarga saya. Harapan ibu dan kakak saya yang ingin melihat saya menjadi pendidik akhirnya terlaksana apabila saya menjejak kaki ke Maktab Perguruan Islam pada tahun 1987 dan mula berkhidmat sebagai guru pada tahun 1990.

“Malah jolokan sebagai ‘ustazah’ sentiasa bermain di bibir kakak dan ibu saya sejak saya di bangku sekolah lagi. Oleh kerana ayah saya telah meninggal dunia ketika usia saya sembilan bulan, saya hanya mendengar cerita dari ibu sahaja bahawa ayah juga mengharap saya menjadi ustazah apabila saya dewasa,” akhiri Rohimah.

 

Published by
Norhayati Suboh