Sepanjang menjadi guru, terdapat pelbagai kenangan pahit dan manis yang dimiliki oleh Hamidah Abdul Hamid. Namun begitu, peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah apabila murid meninggal atas pangkuannya akibat penyakit asma yang dihidapi.

“ Peristiwa itu berlaku pada tahun 2000. Ceritanya begini. Pada pukul 7.15 pagi, sebaik tiba di sekolah, pelajar tersebut maklumkan dia sesak nafas. Dalam sekelip mata selepas dimaklumkan dia jatuh pengsan dan jari tangan dan kuku bertukar kebiruan.

“ Pelajar dibawa ke klinik, namun Allah lebih menyayanginya. Pelajar disahkan meninggal pada pukul 8.30 pagi. Walaupun peristiwa itu berlaku sebelum loceng sekolah berbunyi, namun iktibar yang diambil ialah sentiasa mengingatkan diri, jangan sesekali mengabaikan masa untuk masuk ke kelas. Melindungi Masa Instruksional (MMI) sangat penting sebagai seorang guru.”

Guru Ini Tidak Akan Lupa Peristiwa Murid Meninggal Dunia Di Atas Pangkuannya

Seronok Dilingkungi Kanak-Kanak

Minat telah membawa Hamidah binti Abdul Hamid memilih kerjaya sebagai seorang guru. Paling penting dengan menjadi guru dia boleh berkongsi ilmu yang dimiliki. Kini sudah hampir 22 tahun Hamidah berkhidmat mendidik anak bangsa.

“Saya seronok bekerja dilingkungi oleh kanak-kanak. Dengan memilih kerjaya sebagai guru saya harapkan ia dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menceburi kerjaya yang sama,” ujar Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Belukar, Kuantan, Pahang ini.

Hamidah telah dilantik memegang jawatan Guru Besar di SK Kampung Belukar bermula 27 Disember 2018. Sebelum berkhidmat di sekolah ini, dia pernah juga berkhidmat di beberapa sekolah lain di sekitar negeri Pahang.

Walau telah memiliki ilmu dan pengalaman yang luas sebagai guru, Hamidah masih tidak dapat melupakan saat-saat dirinya ketika pertama kali mengajar.

IKLAN

“Sangat teruja. Itulah perasaan saya sewaktu pertama kali mengajar memandangkan posting kali pertama di kawasan Felda iaitu Felda Soeharto di Hulu Selangor, Selangor.

” Sebagai anak peneroka, sudah tentulah teruja bila dapat mengajar anak peneroka semula. Ketika mengajar saya sentiasa memberikan kata-kata semangat dan dorongan untuk anak-anak Felda untuk lebih berjaya.

” Apabila saya melihat pelajar-pelajar ini seolah-olah melihat gambaran seperti saya sewaktu di bangku sekolah. Itu yang menjadikan pemangkin dan semangat kepada saya untuk mengajar mereka dengan lebih komited,” jelasnya.

Kemenjadian Murid Jadi Keutamaan

Wanita yang dibesarkan di Felda Besout, Sungkai, Perak ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) dari Universiti Sains Malaysia.  Dia turut memiliki Diploma Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan dari Institut Aminuddin Baki; serta Siji Perguruan dari Maktab Perguruan Ipoh, Perak.

IKLAN

Sepanjang kerjayanya juga Hamidah telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2005, 2014, dan 2016. Dia juga telah diberikan Perkhidmatan Cemerlang sebagai Penyelia Kanan Sains Jabatan Pendidikan Negeri Pahang pada tahun 2016 hingga 2018. Bukan itu sahaja, Hamidah juga telah dilantik sebagai Jurulatih Utama Sains.

“ Menjadi guru memberi kepuasan kepada saya terutamanya apabila pelajar yang diajar mencapai kejayaan dalam akademik dan juga aktiviti yang mereka sertai.

“ Sasaran saya pada masa sekarang ialah untuk memastikan kemenjadian murid  SK Kampung Belukar dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“ Selain itu, saya  ingin melahirkan guru –guru yang berkualiti di bawah pengurusan saya.Seterusnya dapat menjadi antara sekolah rendah terbaik dalam Pahang untuk 5 tahun akan datang.”

IKLAN

Bergelar guru tidak mudah. Jelas Hamidah, cabaran paling besar ialah untuk memastikan kemenjadian murid dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangsang seterusnya menjadikan sekolah berkualiti.

“ Guru pada masa sekarang perlu melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan yang lebih kerana pendidikan dalam era revolusi industri  4.0 dan dunia tanpa sempadan memberi cabaran untuk guru dalam memberikan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar,” ulasnya.

Tidah Pernah Ada Perbezaan

Hakikatnya Hamidah seorang guru di sekolah. Namun di rumah dia adalah seorang ibu dan isteri yang tidak pernah mengabaikan keluarga. Ibu kepada dua orang cahaya mata ini akan meluangkan masa bersama-sama keluarganya pada masa cuti tidak kiralah di dalam atau luar negara.

Guru Ini Tidak Akan Lupa Peristiwa Murid Meninggal Dunia Di Atas Pangkuannya

“ Jika ada masa lapang di hujung minggu, keluar menonton wayang bersama-sama. Ada kalanya, hujung minggu dihabiskan dengan berkongsi hobi yang sama dengan suami iaitu hobi berkebun bunga.

“ Berkaitan dengan cara mendidik anak di rumah dan anak murid di sekolah, tidak pernah ada perbezaan kerana anak murid juga dianggap seperti anak sendiri cuma bezanya anak sendiri lebih banyak masa kita luangkan bersama mereka berbanding dangan anak murid.

“ Apabila kita berjiwa pendidik dan mempunyai roh seorang pendidik, kasih yang dicurahkan akan sama. Bahagia apabila melihat anak murid berjaya apatah lagi anak sendiri,” akhirinya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI