Gurauan Kerap Londehkan Seluar Kawan PUNCA Hukuman Murid ‘Dipenjara’ Guru Kelas

Share

Gurauan kerap melondehkan seluar kawan rupanya menjadi punca murid darjah satu diasingkan dan diberi hukuman ‘penjara’ oleh pihak sekolah baru-baru ini.

“Anak saya masih tidak mahu ke sekolah kerana takut dimasukkan lagi dalam tempat (kurungan) itu.

Demikian penjelasan bapa murid Tahun Satu yang dikurung dalam jeriji besi di sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan.

Mohon Maaf, Enggan Panjangkan Isu

Bapa murid terbabit yang enggan namanya didedahkan memberitahu, pihaknya sudah memohon maaf kepada ibu bapa seorang murid di sekolah sama susulan tindakan anaknya bergurau keterlaluan dengan melondehkan seluar murid terbabit.

“Saya juga sudah mohon maaf kepada ibu bapa murid itu terhadap tindakan anak saya. Mereka enggan memanjangkan isu itu berikutan anak kami memang berkawan baik di luar sekolah. Malah anak saya memang kuat bergurau.

“Semua pihak sudah saling bermaaf-maafan ketika perjumpaan semalam (kelmarin). Saya dan isteri tidak simpan dalam hati, bagaimanapun saya sudah serahkan segalanya kepada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) untuk siasat,” katanya.

Bergurau Tarik Seluar Kawan

Menjelaskan perkara itu, lelaki itu juga tampil memberi penjelasan di Facebook mengatakan perbincangan dibuat antara pihaknya, sekolah, polis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada 10.30 pagi di sekolah itu kelmarin.

“Saya dimaklumkan guru kelas, anak saya bergurau dengan menarik seluar kawannya. Bukan anak saya seorang yang melakukannya. Malah ia turut membabitkan tiga atau empat murid lain.

“Anak saya tidak mahu hadir ke sekolah akibat trauma dimasukkan ke dalam ‘penjara’ itu,” katanya.

Menurutnya, tiada guru yang menunggu anaknya ketika diletakkan bersendirian dalam kurungan itu.

“Perkara itu diakui sendiri guru terbabit ketika dalam perbincangan. Bagaimanapun, cukup setakat ini saja, saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini.

“Semua anak-anak ada di media sosial, mereka membaca dan sedih. Sekarang saya nak perbaiki dulu mental dan emosi anak-anak saya. Lagipun kami sudah bermaafan dan anggap perkara ini sudah selesai,” katanya.

Kurung Dalam ‘Penjara’

Sejak Selasa, media sosial kecoh berhubung kisah seorang murid Tahun Satu dikurung dalam sebuah bilik berpagar besi yang kelihatan seperti penjara.

Tindakan salah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan itu mengundang rasa tidak puas hati ibu bapa murid terbabit berikutan anaknya dikurung.

Hasil siasatan PPD mendapati, hukuman pengasingan itu diambil pihak sekolah selepas murid berkenaan mengulangi kesalahan mengganggu rakannya dengan suka melondehkan seluar walaupun sudah diberikan peringatan.

Sumber: Hmetro

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab