Tip guna hair dryer keringkan parut caesar ni bukan saya memandai. Ada doktor yang ajar masa saya bersalin anak sulung dulu. Nama doktor lupa sangat, maklumlah 13 tahun lepas punya cerita.
Dahlah anak pertama, kena bedah pulak memang panic giler. Tapi saya bertuah dilayan baik oleh doktor dan jururawat yang bertugas. Bukan senang nak jaga parut bedah, kena hati-hati takut jadi jangkitan.
Saya kongsikan cara saya jaga parut Caesar, Alhamdulillah parut cantik macam garis lurus je dan tak pernah berair atau kena jangkitan. Masa adik saya bersalin bedah pun, dia amalkan tip ini. So far memang ‘menjadi’.
Baca sini
https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
Tip Jaga Parut Caesar
- Selepas mandi, pastikan lap bahagian parut dengan kain yang lembut seperti kain lampin. Lap perlahan-lahan, jangan tonyoh kasar ye. Saya guna kain lampin sebab serap air dan fabriknya lembut.
- Kemudian, anginkan bahagian parut di depan kipas angin. Tapi saya prefer guna hair dryer. Jauhkan jarak hair dryer lebih kurang sejengkal dari parut.
- Tujuan guna hair dryer ni supaya bahagian parut betul-betul kering jadi tak de lah lebihan air kat parut tu.
- Elakkan menggaru jika gatal, ia boleh menyebabkan parut terbuka dan jangkitan kuman. Jangan bagi bahagian parut berpeluh, nanti gatal. Lap selalu dengan kain lampin. Saya tekap perlahan-lahan, jangan kasar-kasar ye takut cedera nanti.
- Pastikan bahagian parut sentiasa kering, bersih dan tidak berpeluh.
- Jangan pakai bengkung biasa. Minta nasihat doktor kalau nak beli bengkuk pembedahan.
- Saya memang tak makan gamat atau ikan haruan, saya ikut nasihat doktor. Saya hanya ambil Vitamin C untuk bantu sembuhkan luka Caesar. Bimbang juga nanti parut kat kulit perut je ok tapi parut kat dalam masih tak sembuh. Jadi memang saya tak berani nak makan sebarang jamu atau makanan sampingan lain.
- Jangan angkat berat, ingat ye kita baru lepas bedah.
- Masa dalam pantang, saya makan buah oren untuk bantu lawas. Itu cara saya, tak paksa sesiapa untuk ikut. Hanya berkongsi tip yang saya amalkan dulu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dengan Duit Moratorium Ayah Belikan Setiap Anak, Isteri Seutas Gelang Emas
Bukan semua suami mampu nak bahagiakan anak-anak perempuan dan isteri dengan hadiahkan barang kemas. Jadi, bila tengok orang lain bahagiakan ahli keluarga dengan gelang emas, ada suami telan je air liur.
Dan berdoa semoga suatu hari nanti, mampulah untuk sampaikan niat mahu bahagiakan anak-anak perempuan malah isteri dengan hadiah semacam itu. Sebab, suami yang sentimental dia memang faham betapa emas itu amat bermakna untuk orang perempuan.
Bila dia ada duit lebih, dia tak lokek pun nak hadiahkan anak-anak dan isteri, gelang emas yang jadi idaman setiap wanita.
Kisah Pe Chey dan tiga orang anak daranya ini dah viral pun di media sosial. Macam mana dia berniat simpan duit moratorium sejak bulan April lagi, untuk hadiahkan setiap anak gelang tangan emas.
Hadiah isteri pun dia beri surprise gitu kat kedai emas itu juga. Tetap, usaha itu memberi bahagia buat orang rumahnya. Yang manisnya, dari perkongsian viralnya itu, ada isteri yang berkongsi cerita, suami mereka pun dah mula ikut jejak.
Hadiahkan isteri barang kemas dengan duit moratorium yang mereka ada. Saiz itu tak pentingkan.. yang penting itu, niat nak beri tu sampai.
Baca sini : Takkan susut nilai, untung suami hadiahkan isteri beli emas setiap bulan
Okay, ini perjalanan kisah Pe Chey dan anak-anak daranya yang sehingga saat ini sudahpun mencecah 16,000 perkongsian kisahnya di facebook.
Duit Moratorium, Niat Belikan Anak-anak ‘Gelang Getah’
Duit moratorium, aku dah niat, nak belikan “gelang getah” untuk anak-anak dara aku. Dari bulan April hari tu lagi aku dah bagitahu orang rumah,
“Yang, abang teringin nak belikan budak-budak ni “gelang getahlah”. Kesian, diaorang tak pernah merasa pakai “gelang getah” lagi.
Sebagai ayah, bila aku tengok diaorang togel je kat tangan, aku rasa bersalah. Kurangnya adalah seurat besar gelang getah pun jadiklah.
Konon Jalan-jalan, Sekali Melencong Ke Kedai Emas
Jadinya, tadi, aku ajaklah orang rumah dengan budak-budak jalan-jalan. Konon. Padahal aku hala ke kedai jual “gelang getah’. Bila sampai, orang rumah pun dah besarkan mata.
Aku sengih kambing.
Bila masuk kedai, budak-budak bersorak,
“Ayah nak belikan kami gelang ke yah. Uiyooo seronoknya yah.”
Kita nak yang tu yah, kata Qaisara. Ecya nak ni. Keena je senang, dia tunggu je. Ragam, 3 anak dara aku yang makin membesar.
Bila, gelang dah terlekat di tangan, ketiga- ketiganya peluk aku, siap cium. Pekerja di kedai dan pelanggan yang lain menyaksikan adegan penuh sentimental itu.
“Ayah tak banyak duit. Ayah dapat belikan yang kecik ni je ye. Kalau ayah ada banyak duit, ayah belikan yang besar sikit. Korang suka tak?”
“Suka yah. Terima kasih.”
Serentak suara ketiga anak dara aku menjawab. Aku sebak di dada bila mereka nampak ketara gembiranya siap terus pakai. Tangan masing-masing dah rupa tangan patah. Kekok bila ada “gelang getah” di tangan.
Silap Aku, Sebagai Suami Tak Faham Psikologi Wanita
Kesiannya anak-anak dara aku. Salah aku sebab tak belikan untuk mereka dahulu lagi.
Orang rumah senyum tengok anak-anaknya.
Aku tanya,
“Ayang nak tak? Carilah satu yang lebih kurang macam bebudak punya. Abang takdelah banyak bajek, tapi kalau kena harga, abang belikan. Nak tak?”
Terus bercahaya matanya. Orang rumah pun jarang aku belikan. Silap aku, sebagai seorang suami yang tak memahami psikologi wanita.
“Abang biar betul. Cukup ke duit? Tak payahlah. Belikan je untuk budak cukup. Orang takde tak apa.”.
Orang rumah aku, memang tak menyusahkan. Aku nak belikan, dia tetap begitulah soalannya.
“Dik, kau carikan untuk akak ni satu, yang designnya sama dengan budak-budak, yang harganya sama macam budak-budak punya.”
“Baik bang“.
Gelang Emas Jadi Kenangan Abadi
Laju budak tu buat kerja, tau-tau di tangan orang rumah, terpasang seutas gelang getah baru. Aku suka tengoknya. Suka tengok dia senyum. Senyum bahagia sebab tak sangka kot aku belikan seutas untuk dia.
Inilah kisah seorang ayah dan suami yang berwajah bengis. Petang ini dia kalah dengan anak dara dan isterinya. Jauh di hatinya,
“Kalau aku mati, taklah aku ralat sebab tak belikan untuk diaorang seutas gelang getah yang mungkin jadi kenangan abadi sepanjang usia mereka di dunia ini. ”
Sebak dada aku bila tengok kebahagiaan yang terpancar di wajah mereka berempat petang ini. Semoga rezekiku melimpah ruah.
#NfI
#gelanggetah
Ecya tanya,
“Ayah, bole tey titey patai gelang ni masey tido nanti? Keney butak tey ayah?”.
“Pakailah Cya, Ecya sukey tan pakai tu?”
Kami pun berpelukan. Bahagia.
Kata Pe Chey, tak rugi sebenarnya dia bahagiakan anak-anak dan orang rumahnya. Rupanya selepas kisahnya viral rezekinya semakin mencurah. Malah, ramai terkesan secara positif dengan kisahnya itu.
MW : SWEET! Sungguh kisah famili ini. Tiba-tiba rasa macam nak hadiahkan juga ‘gelang getah’ dekat anak dara sendiri.
Baca sini : Simpan RM3 sehari, lepas 6 bulan suami boleh belanja isteri cincin emas.
Sumber/Foto : Pe Chey *Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lepas Beli Gelang Emas, Ayah Tak Berkira Hadiahkan Anak Lelaki Jam
Bersyukur bila ada suami dan ayah yang tak berkira, apatah lagi kedekut dengan isteri mahupun anak-anak. Bahagia seisi rumah kerana ayah tahu dengan membahagiakan hati mereka, bermakna tenanglah nanti jiwa ayah.
Sememangnya itu pun formula hidup bahagia. Selalu bahagiakan hati isteri dan anak-anak, Allah tambahkan rezeki suami dan tenangkan hidupnya. Sebab itulah, ayah ini Pe Chey tak berkira dengan anak-anaknya.
Sebelum ini pernah viral kisahnya yang belikan anak perempuan gelang emas yang dipanggilnya ‘gelang getah’ dengan lebihan duit moratorium. Kali ini, anak-anak lelaki ayah hadiahkan jam pula. Bukan sebarang jam, tapi jam yang ada nilai masa depan.
- Dengan duit moratorium ayah belikan anak, isteri seutas gelang emas.
- Tip penting mak-mak kena hadam, sebelum beli gelang emas Pandora.
Adik Dapat ‘Gelang Getah’, Kami Pun Nak Juga
“Ayah, adik- adik dapat “gelang getah”, tak kan kami tak dapat apa. Nak jugak yah, kotlah ayah nak bagi kami juga.” Kata si anak lelaki.
Bila ada anak 5 orang ni, aku kena berlaku adil. Tambah lagi yang besarnya anak lelaki, yang kecilnya anak-anak perempuan.
“Ayah bagi GShock boleh? Baru ngam korang pakai. Kat tangan juga macam adik lain, takkan nak pakai gelang pulakkan bang?
Aku cuba fahamkan anak-anak.
Bukanlah aku ni jenis memanjakan sangat, bukan juga seorang yang terlalu kedekut berkira dengan anak dan isteri. Cumanya, sesekali, memang aku akan berikan apa yang aku rasa patut diberi. Aku suka gitu.
Hadiahkan Anak Lelaki Jam Ada Nilai Masa Depan
Bukan selalu pun duit moratarium ni dapat. Aku rasa pun sekali ni je rasanya. Itu pun dek sebab pandemik Covid19 punya penangan. Jika tak, takdenya kita semua merasa kemudahan ini.
Aku nasihatkan anak-anak lelaki,
“Jam ni, ada harga. Lagi lama kita simpan, inshaAllah satu hari nanti, harganya akan melambung tinggi. Jadi, simpan baik-baik. Ayah tak tahu ayah boleh bagi harta lain kat korang, cuma inilah sedikit yang ada. Jadi, jangan dijual tak semena, simpan sebab sentimental.”
Kalau nak diperkisahkan, akan apa yang aku lalui dulu seusia anak, aku langsung tak merasa apa yang mereka rasa. Iyalah, dengan kemiskinan, dengan adik beradik yang ramai, mana mungkinlah aku merasa kemewahan.
“Terima kasih ayah. Kami syukur, ayah baik hati nak bagi kami “gelang getah” juga. Jam Gshock vintage ini pun pada kami dah mahal, betapa ayah sayangkan kami. Terima kasih.”
Anak-anak lelaki aku berterima kasih.
Ayah Tak Nak Berkira Dengan Anak-anak
Bukan mudah sebagai ayah beranak 5 nak layankan selera anaknya seorang demi seorang. Jadinya, bila ada kemudahan, aku berikan mereka dulu merasa yang jarang mereka dapat rasa. Bila lagikan?
Inilah masanya. Aku tak nak berkira sangat.
Biarlah orang nak kata apa, aku saja yang tahu macam mana aku kena uruskan kewangan keluarga. Orang sedap je berkata sedangkan mereka tak pernah nak tanya pun sebenarnya,
“Beras kat rumah kau Pechey ada lagi tak?”
Tak ada. Tak pernah.
#NfI
#gelanggetahanaklelaki
Aku suka lagi bagikan anak lelaki, jam Gshock vintage. Biar pun harganya agak keras, nilai sentimentelnya sangat tinggi. Sungguh.
MW : Semoga jadi kisah bermanfaat untuk para suami sekalian.
Sumber/Foto : Pe Chey
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Saya Ingat Sudah Mati, Tapi Syukur Allah Beri Peluang Kedua,”-Intan Noor Balqis
Nama Intan Noor Balqis binti Mohd Fauzi tidak semena-mena menjadi bualan ramai apabila kemalangan yang menimpanya ketika mahu pergi ke tempat kerja tersebar di laman web dan media sosial pada 29 Disember 2019.
Taip sahaja carian, Gadis koma setelah ‘melayang’ dari fly over di Bangsar. Sudah pasti kisah ngeri yang berlaku pada pukul 3.30 petang Ahad itu boleh dibaca. Melihatkan gambar-gambar kemalangan yang tersebar di internet itu juga sudah pasti ramai yang akan sangka Intan Noor Balqis sudah tidak ada di dunia ini.
Namun nyawanya panjang. Setelah koma selama 5 hari, gadis berusia 21 tahun telah membuka mata. Kini setelah hampir tiga bulan kejadian berlaku, Intan Noor Balqis sudi berkongsi cerita mengenai tragedi ngeri yang menimpanya.
Ketika ditemuramah, Intan Noor Balqis baru dua minggu keluar dari hospital. Kini dia berada di Kelantan. Dia terpaksa meninggalkan ibukota Kuala Lumpur kerana ibunya berada di Kelantan. Sepanjang proses pemulihannya ini Intan Noor Balqis banyak bergantung kepada ibunya.
Trauma
Mengingat kembali kejadian yang berlaku pada hari tersebut, Intan Noor Balqis atau lebih mesra dengan sapaan Intan ini jadi trauma.
“Sekarang ini saya ada rasa sedikit trauma. Mula-mula dulu tidak ada rasa trauma macam sekarang. Sekarang ini juga jika mak saya hendak naik motor pun saya sudah menggigil takut di rumah. Saya takut apa-apa terjadi pada mak.”
Intan mengatakan kemalangan yang berlaku itu bukan disebabkan salah dirinya. Salah orang lain.
“Masa kejadian saya sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Berhati-hati saya menunggang motor. Sampai sahaja berhampiran fly over, tiba-tiba ada sebuah kereta Myvi masuk lorong jalan yang saya lalu dengan secara mengejut dan hampir melanggar saya. Saya brek motor secara mengejut sebab mahu mengelak kereta tersebut.
“Akibatnya motor saya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan. Keadaan tersebut membuatkan saya terpelanting dan terus terjatuh ke bawah. Semasa terpelanting itu saya hanya fikir mati. Tidak sangka Allah beri peluang kedua untuk saya teruskan kehidupan.”
Terpelanting dan kemudiannya terjatuh ke bawah. Betapa ngerinya apabila mengingatkan kejadian tersebut. Kesakitan yang dialami sudah pasti tidak terkata. Akui Intan, semasa dia terbaring di atas jalan itu dia boleh katakan rasa sakit yang dialami seperti dirinya ditindih oleh 10 orang.
“Saya tidak boleh bernafas. Hanya ingat mati sahaja. Sakit sangat.”
Dari atas jambatan Intan tercampak jatuh ke jalan di bahagian bawah jambatan di hadapan lampu trafik menghala ke Kg Abdullah Hukum. Anggaran ketinggian jambatan itu adalah antara 40 hingga 45 kaki.
Koma Selama 5 Hari
Ternyata Allah memelihara Intan sewaktu kemalangan tersebut. Siapa sangka ketika kejadian berlaku, kebetulan ada kawannya yang berada di jalan yang sama. Apabila kawannya melihat Intan terus dia meluru untuk membantu.
Intan bersyukur kerana ada kawannya kerana sebelum tidak sedarkan diri, Intan sempat berbisik pada kawannya itu.
“Saya beritahu kawan saya untuk tolong telefon kakak saya. Tolong beritahu kakak saya yang saya mengalami kemalangan. Saya rasa 2 atau 3 minit selepas saya minta kawan sampaikan pesanan saya itu saya terus pengsan. Saya hanya sedar sekejap apabila ada orang kejutkan saya.
“Ketika itu saya berada di zon merah di hospital PPUM. Sedar sekejap. Kakak kata saya agak trauma, lemah tapi masih lagi sedar dan mampu berbicara. Jantung saya bengkak dan ini membuatkan saya semakin lemah.
“Tekanan darah yang semakin rendah juga mengakibatkan saya tidak dapat menjalani pembedahan kaki dan tangan pada hari kejadian. Sebaliknya saya terus dimasukkan ke wad ICU.”
Selama 5 hari Intan berada dalam keadaan koma. Dia betul-betul koma selama 3 hari dan 2 hari doktor telah mengambil keputusan membiarkan dirinya dalam keadaan koma kerana ketika itu jantungnya masih bengkak.
Cerita Intan lagi, sewaktu koma juga jururawat yang menjaganya memberitahu yang tangannya terpaksa diikat. Ini kerana kadang-kadang tanpa diduga, Intan akan bergerak-gerak tanpa kawalan di atas katil. Dia seperti mengamuk. Bagi memastikan dirinya tidak mencederakan diri dengan lebih teruk, tangannya itu terpaksa diikat.
Intan memberitahu dia sebenarnya tidak tahu dirinya koma. Dia rasa dirinya seperti sedang tidur. Dan kemudian dia terjaga sebab dia rasa haus dan mahu minum air.
“Sebaik sedar dari koma saya rasa bersyukur sebab Allah dah makbulkan doa saya dan bagi saya peluang kedua untuk hidup.”
Selama 15 hari Intan ditahan di hospital. Dia ditahan di ICU selama 9 hari dan ditahan di wad biasa selama 6 hari.
Kecederaan yang dialaminya agak teruk sebab itu dia berada lama di hospital. Intan mengalami kecederaan tulang belakang T12, 2 jari kiri tangan patah, pergelangan tangan patah dan lengannya juga patah. Kaki kanannya turut patah. Manakala kecederaan di bahagian punggung pula memerlukan 10 jahitan.
Tarikh 13 Januari 2020 barulah Intan dibenarkan keluar dari hospital.
“Terima Kasih Kepada Semua Yang Mendoakan Saya.”
Perkembangan terkini Intan agak memberangsangkan. Dia sudah boleh duduk sendiri. Dia sudah mampu mengangkat tangan yang patah. Jari juga boleh digerakkan. Begitu juga dengan kakinya sudah boleh digerakkan sahaja tetapi tidak boleh berpijak.
Namun begitu dia masih tidak mampu menguruskan diri sendiri. Dia hanya boleh terbaring di atas katil. Jika dia bergerak pun hanya menggunakan kerusi roda. Malah untuk membuang air besar dan air kecil juga turut menggunakan lampin pakai buang.
Perancangan Intan adalah untuk meneruskan rawatan fisio sehingga sekurang-kurangnya menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain. Intan turut mengikut semua jadual rawatan yang diarahkan oleh doktor di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan.
“Keluarga banyak memberi semangat kepada saya supaya tidak berputus asa dalam tempoh pemulihan. Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur sebab Allah dah bagi peluang untuk saya berubah dan bagi saya peluang untuk saya berjasa kepada mak saya serta adik beradik saya.
“Terima kasih kepada keluarga. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan agar saya sembuh. Sebab doa mereka itu juga saya kuat dan saya sihat. Saya juga terima kasih kepada mereka yang telah menderma kepada saya untuk meringankan beban dan kos rawatan.”
Intan sangat berharap diberi kesihatan baik dan kembali pulih seperti sediakala. Dia berharap sangat dirinya boleh kembali bekerja seperti biasa di San Francisco Coffee.
Ringankan Beban
Jika ada yang ingin membantu Intan Noor Balqis bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 514123682947 Nor Fairiyuslina bt Mohd Fauzi (Kakak kepada Intan Noor Balqis)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI