Guna air mendidih bukan air panas dari penapis air, inilah rahsia kerangupan cucur billis.

Bagi anda yang buntu nak masak apa untuk sarapan pagi mahupun menu petang, saya kongsikan resipi cucur bilis yang rangup di luar lembut di dalam. Bukan guna telur ye, ada ramuan rahsia lain.

Cucur bilis rangup ini adalah resipi nenek saya, Rokiah Bahari. Rahsia kerangupan cucur bilis adalah AIR MENDIDIH. Bukan air panas dari penapis air tapi anda perlu masak air sehingga mendidih.

Terus Goreng Lepas Bancuh

Jika guna air panas biasa, cucur tidak akan rangup malah cucur mungkin liat atau keras. Selepas memasukkan semua bahan-bahan dalam mangkuk, masukkan air mendidih sedikit demi sedikit bagi mengelakkan tepung berketul.

Gaul sehingga sebati. Jangan bancuh tepung terlalu cair, nanti ‘makan minyak’. Selepas itu, terus goreng cucur jangan tunggu sehingga bancuhan sejuk.

Cucur Lembut Sampai Ke Petang

Begitu juga dengan teknik menggoreng, pastikan minyak betul-betul panas. Buat acuan cucur kecil-kecil, boleh gunakan sudu atau tangan.

Cucur yang bersaiz kecil lebih rangup, cantik dan tidak muak untuk dimakan. Goreng cucur dengan api sederhana. Angkat bila cucur kekuningan dan sedikit perang.

Bagi anda yang gemar cucur udang, boleh gunakan resipi yang sama. Cuma gantikan bilis dengan udang dan tambah daun kucai. Cucur ini enak dimakan begitu sahaja atau boleh juga dimakan bersama sos cili.

Paling istimewa, cucur akan lembut sampai ke petang. Tak percaya cubalah, anda pasti gembira dengan hasilnya. Cucur ini sangat mudah disediakan, bahan-bahan pun sedikit sahaja. Selamat mencuba!

IKLAN

Resipi Cucur Bilis

Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum

20 gram ikan bilis

Cili merah} dihiris nipis

IKLAN

1 biji bawang besar} dihiris nipis

Garam secukup rasa

Sedikit serbuk kunyit

Minyak untuk menggoreng

IKLAN

Air mendidih secukupnya

 

Cara membuat

1-Masukkan tepung diikuti bawang besar, cili merah dan ikan bilis, gaul sebati.

2-Kemudian, masukkan garam dan serbuk kunyit

3-Gaul sebati, kemudian masukkan air mendidih sedikit demi sedikit. Gaul sehingga sebati.

4-Panaskan minyak, goreng sehingga masak dengan api sederhana.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI