Gumpalan Kain Kasa Tertinggal Dalam Peranakan, Hanya Tahu Selepas 2 Bulan Bersalin Ketika..

Share

Ngeri sungguh, bila membayangkan gumpalan kain kasa boleh tertinggal dalam peranakan wanita sewaktu proses kelahiran.Apatah lagi ia hanya diketahui hanya selepas 2 bulan bersalin.

Terkini, Pejabat Kesihatan Wilayah Phuket memohon maaf kepada seorang wanita yang baru bergelar ibu yang mendapat tahu bahawa doktor telah meninggalkan kain kasa dalam peranakannya ketika dia melahirkan bayi pada Jun lalu.

Ketua pejabat kesihatan, Dr Jirapan Taepan memberitahu wartawan bahawa pihaknya mengakui kesalahan perubatan itu dalam kejadian di sebuah hospital daerah kerajaan di Thalang dan wanita itu akan diberi pampasan, lapor Matichon.

Semuanya bermula apabila wanita itu yang dikenal pasti sebagai Tan, 17, memberi amaran kepada wanita lain di Facebook pada Selasa mengenai kesnya, dengan mencadangkan supaya mereka memilih hospital yang baik untuk melahirkan anak.

“Doktor terlupa keluarkan kain kasa dalam rahim saya selama lebih dua bulan. Betapa saya bernasib baik kerana luka saya tidak terkena jangkitan,” dia menulis kapsyen pada gambar kain kasa yang tertinggal.

Tan berkata dia melahirkan bayi secara normal pada 18 Jun dan dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari.Walaupun luka yang pada jahitannya menyakitkan, wanita ini menganggap rasa sakit itu adalah biasa kerana ia adalah pengalaman kelahirannya yang pertama, lapor Thairath.

Dia kemudian berjumpa doktor, yang hanya memberikannya pil tahan sakit.Pada Selasa, gumpalan kain kasa dari rahimnya terkeluar melalui salur faraj semasa dia sedang makan. Dia segera ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor memberikannya antibiotik dan memberi jaminan bahawa tiada sebarang benda lagi yang tertinggal dalam rahimnya.

Taepan berkata wanita itu tidak membuat laporan polis dan hanya mahu meningkatkan kesedaran mengenai kecuaian kakitangan perubatan di hospital di tempatnya. Tan dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada 4 September.

Walaupun perkara ini dianggap kes terpencil, namun cukup membimbangkan apatah lagi ia melibatkan kesihatan diri. Pihak hospital seharusnya lebih berhati-hati dan elakkan kecuaian perkara ini daripada berlaku.

Sumber: post today & mstar

Published by
Suhaidah Abd Wahab