“Gugurnya air mata ayah kenangkan nasib anak.” Di mana Jude Angel, baby hilang di Beaufort, Sabah hingga kini masih belum ditemui.
Berat mata memandang, lagi berat bahu memikul. Sama sekali tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan mak dan ayahnya saban waktu menanti anak yang hilang ditemui semula.
Mengalir air mata ayahnya kenangkan bagaimana keadaan Jude Angel buat masa ini, namun jauh di sudut hati seorang bapa merasakan anaknya masih hidup.
Di mana Jude Angel Jeremy, bayi berusia 18 bulan yang hilang di Beaufort , Sabah? Keberadaannya menimbulkan tanda tanya, malah sehingga kini si kecil itu belum ditemui.
Bayi perempuan itu dikhuatiri hilang selepas dipercayai keluar dari rumah dalam kejadian di Kampung Batu 66, Beaufort pada 9 Julai lalu.
Kehilangan Jude Angel disedari neneknya kira-kira jam 8.30 pagi setelah mendapati pintu rumah terbuka dan mangsa tidak ditemui di sekitar kawasan rumah.
Kenangkan Nasib Anak
Memasuki hari keenam (semalam) operasi mencari dan menyelamat (SAR), Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Mohamad Hasbullah Nenggok menerusi penstriman langsung di laman sosial Facebook Kupikupi FM 96.3 menyatakan pihaknya meneruskan usaha mengesan Jude Angel.
“Bomba menumpukan pencarian di kawasan sekitar rumahnya, kira-kira 2 hingga 3 kilometer (km) radius dari pusat kawalan Bomba.
“Kami menggunakan bantuan orang kampung dan tujuh buah bot seperti hari-hari sebelum ini, menyusuri anak sungai dan Sungai Padas sehingga ke Batu 60, dalam radius 4 hingga 5 km.
“Setakat ini kami belum menemui sebarang petanda atau petunjuk lokasi adik jude angel. Kami masih mencari secara rambang dan logik. Malah, kami juga mengalu-alukan bantuan daripada (pakar) menerusi spiritual, yang boleh berkomunikasi dengan alam lain. Kami tidak menolak,” kata Mohamad Hasbullah.
Di Mana Jude Angel
Pihaknya mengakui masih belum menemui sebarang petunjuk bahawa Angel hilang, disembunyikan (alam ghaib) atau melibatkan jenayah penculikan.
Ads
Katanya, keadaan hujan, angin kuat dan air sungai deras antara cabaran ditempuhi para petugas dan orang kampung yang terlibat dalam operasi SAR.
“Kemungkinan esok kami akan meneruskan lagi (SAR). Namun jika esok masih belum menemui sebarang petunjuk, ia mungkin akan ditangguhkan sehingga mendapat pentunjuk daripada keluarga atau penduduk kampung,” ujarnya.
Operasi SAR melibatkan kekuatan 60 orang daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Baby Hilang Di Sabah
Menerusi sebuah video yang tular di laman sosial TikTok, bapa Jude Angel, Jeremy Sundang, 39, tidak dapat menahan sebak, air mata seorang bapa berlinangan menceritakan detik akhir bersama anak tersayang.
“Sebelum saya dan isteri keluar menghantar barangan jualan ke pasar Tamu, Jude Angel menangis.
“Sempat menidurkan Jude Angel sebelum ke pasar,” katanya sebak hingga menitiskan air mata. Petani itu berkata tangisan si kecil pada pagi itu seolah-olah memberi petanda.
Selepas meninggalkan rumah pada jam 6.00 pagi, kira-kira pukul 8.00 pagi dia menerima panggilan. Katanya si isteri kelihatan kelam kabut dan memberitahu Jude hilang.
Kepada Deasoka.com, Jeremy meluahkan harapan menemui semula Jude Angel.
“Meskipun tahu operasi mencari (pihak penyelamat) akan berakhir pada esok, tetapi kami sekeluarga tetap meletak harapan tinggi.
“Jauh di sudut hati saya sebagai seorang bapa, dia (Jude Angel) masih hidup dan firasat kami dia masih ada lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Jeremy menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus terlibat dalam usaha pencarian terbabit.
Ads
Ketika ditanya sama ada terdapat petanda atau petunjuk setakat ini, beliau mendedahkan tiada perkara pelik berlaku.
“Bagaimanapun sebelum kejadian, saya ke tamu dia (angel) kelihatan agak manja dengan menangis yang mana secara kebetulan dia kurang sihat sebab gigi baru tumbuh.
“Dia juga ada meminta didukung dan naik ke atas badan saya, saya kemudiannya mendodoinya sehingga tertidur,” katanya.
Warga maya rata-rata mendoakan Jude Angel ditemui segera dan memberi kata-kata semangat buat keluarga bayi itu.
– “Semoga dipermudahkan pencarian anak ini.”
– “Semoga dipermudahkan pencarian Baby Jude.”
– “Hanya mampu mengirim doa setiap detik, aamin.”
– “Moga ditemui segera adik Jude Angel.”
Keprihatinan masyarakat Malaysia akan nasib Jude Angel menjadikan hashtag #prayforbabyjudeangel #prayforjudeangel tular di laman sosial Facebook.
Mingguan Wanita : Semoga ada keajaiban dan Baby Jude Angel dapat ditemui dan selamat hendaknya.
Sumber : Sinar Plus, Facebook Kupi Kupi FM 96.3, Deasoka.com
Kehidupan berpoligami boleh menjadi harmoni ada kejujuran dan persefahaman yang tinggi daripada semua pihak. Ini kerana ia bukan sahaja berkongsi kasih malah turut berkongsi tanggungjawab pada pasangan.
“Mereka berdualah hidup dan mati saya,” kata Maaroof Noordin, 58, mengenai isteri pertamanya, Noraini Ishak, 42, dan isteri kedua, Effa Rizam Abd Ghafar, 42.
Berkongsi Kasih & Setia Jaga Suami
Noraini dan Effa Rizam bukan sahaja mampu berkongsi kasih, malah setia menjaga suami yang sakit dalam keadaan kehidupan keluarga dihimpit kesusahan selepas Maaroof kehilangan kaki kiri akibat penyakit kencing manis, kira-kira tiga bulan lalu.
“Hidup kami berubah selepas kaki kiri saya terpaksa dipotong Oktober lalu, sekali gus tak mampu lagi teruskan kerja sebagai tukang rumah. Kini isteri kedua terpaksa bekerja sebagai tukang kebun di sebuah kilang di Gebeng, dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
“Isteri pertama pula menguruskan rumah, termasuk menjaga keperluan saya,” kata Maaroof ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherating Lama, di sini, hari ini.
Dia berkahwin dengan Noraini pada 2007 dan sudah hampir lima tahun berpoligami selepas mengahwini Effa Rizam pada 2018, namun tidak dikurniakan anak bersama kedua-dua isterinya itu.
Bahagikan Tanggungjawab
Sementara itu, Effa Rizam berkata, dia dan madunya sudah membahagikan tanggungjawab masing-masing selepas suami mereka kehilangan kaki kiri yang terpaksa dipotong.
“Namun dengan pendapatan sekarang memang tak cukup, sewa rumah dan bil api air juga sudah dua bulan tertunggak. Untuk kos rawatan suami termasuk barang keperluan dan belanja ulang alik ke hospital sahaja sudah cecah RM600 sebulan,” katanya.
Terdahulu, nasib keluarga terbabit mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team yang memberikan sumbangan berupa katil, kerusi roda serta barangan keperluan harian termasuk makanan.
Hidap Kencing Manis Tahap 4
Mengenai penyakitnya, Maaroof berkata, dia disahkan menghidap kencing manis pada 2021 dengan petanda awal apabila bahagian kaki sebelah kiri membengkak digigit semut, tetapi pulih tidak lama kemudian.
“Selepas itu, bahagian sama digigit nyamuk dan pemeriksaan lanjut mendapati saya menghidap penyakit kencing manis peringkat empat. Kemuncaknya pada Oktober lalu apabila doktor menasihatkan saya memotong kaki bagi mengelak masalah ke bahagian lain,” katanya.
Bagi membantu meringankan beban keluarga itu, Pemudah Cara Amal Team yang turut berperanan dalam Briged Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jamilah Salleh, berkata pihaknya sudah memanjangkan kes berkenaan kepada MUIP untuk bantuan selanjutnya.
“Daripada siasatan yang kami lakukan, keluarga ini tergolong dalam kategori asnaf dan layak menerima bantuan berkaitan. Sekarang kami sedang mengusahakan bantuan ‘one-off’ untuk keluarga ini bagi menyelesaikan tunggakan sewa dan bil. Bantuan bulanan daripada MUIP masih dalam proses,” katanya.
Apabila mak ayah semakin meningkat usia dan mulai jatuh sakit, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk memberi tumpuan dan menjaga segala keperluan mereka. Memang bukan mudah, apatah lagi terpaksa mengenepikan kerjaya seketika, namun demi berbakti kepada mereka, ia perlu menjadi keutamaan.
Menjaga mak sakit bukan pengorbanan tapi satu tanggungjawab itulah pendirian buat pelakon lelaki versatil, Azhan Rani,47 yang berkongsi pengalaman menjaga ibunya yang sedang sakit di hospital baru-baru ini.
Beri Perhatian Jaga Ibu Sakit
Biarpun sibuk dengan urusan kerjaya dan jadual padat saban hari, pelakon Azhan Rani mengakui terpaksa mengetepikan beberapa tawaran yang datang kerana perlu memberi perhatian kepada ibunya yang sedang sakit.
Menurut Azhan, sejak lebih dua minggu lalu, ibunya, Salmah Budin, 77, dimasukkan ke hospital dan memerlukan pemantauan rapi selepas beberapa kali tidak sedarkan diri di rumah.
Mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibu bersama adik-beradiknya, pelakon yang popular dengan drama Nur itu lega apabila keadaan wanita itu beransur baik dan kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta pemulihan.
“Sudah hampir sebulan saya tidak terikat dengan urusan kerja kerana mahu memberikan tumpuan menjaga ibu yang sedang terlantar di hospital. Dia kini hanya terbaring, tidak mampu untuk duduk dan berdiri.
“Ibu juga memakai pampers 24 jam, jadi anak-anak perlu menjaga dan menguruskan segala keperluannya. Buat masa ini saya bergilir-gilir dengan adik.
“Apa-apa pun saya bersyukur melihat ibu menunjukkan perkembangan positif. Mungkin sukar sembuh sepenuhnya kerana faktor usia, tetapi sekurang-kurangnya ibu dalam keadaan yang baik,” katanya.
Jaga Mak Ayah Sakit Satu Tanggungjawab
Dalam pada itu, Azhan mengingatkan anak-anak di luar sana agar tidak berasa susah atau terbeban menjaga ibu bapa yang sedang sakit kerana itu adalah tanggungjawab mereka.
“Saya akui menguruskan orang tua yang sakit sememangnya tidak mudah. Apatah lagi jika anak lelaki yang kena menjaga dan menguruskan ibu. Bagaimanapun kita kena buang perasaan malu, kotor atau geli nak bersihkan najis dan sebagainya.
“Saya harap bila orang tua kita sakit, anak-anak janganlah datang untuk melawat sahaja. Mereka tak perlukan pelawat tapi penjaga.
“Saya tidak melihat menjaga ibu bapa ini sebagai satu pengorbanan, tetapi tanggungjawab seorang anak,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu Astro yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.
Jadual Kerja Kembali Sibuk Bulan September
Berkongsi perkembangan terkini, Azhan berkata, jadual kerjanya kembali sibuk bermula September ini apabila terlibat dengan penggambaran drama dan telefilem yang sudah dipersetujui.
“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan memulakan penggambaran drama dan telefilem bulan depan termasuk menjalani penggambaran di Makkah. Kalau ada rezeki juga saya juga akan mengerjakan ibadah umrah pada Oktober ini.
“Selain itu, saya juga dalam persiapan untuk misi pendakian terbaharu di Nepal yang dijangka bermula tahun hadapan. Jadi pada Ogos ini, saya perlu mengikuti beberapa sesi latihan pendakian di Gunung Kinabalu.
“Bagaimanapun saya kena tengok juga perkembangan terkini kesihatan ibu dan mungkin perancangan akan berubah berdasarkan keadaannya,” katanya.
Ramai Mendoakan Kesembuhan
Ramai yang turut mendoakan kesembuhan bagi ibu Azhan Rani ini.
Azhan juga mengucapkan terima kasih di atas doa-doa semua pihak.Tidak lupa juga penghargaan buat seluruh team doktor, jururawat dan staf hospital KKB dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar padanya.
“Terima kasih atas doa semua. Mak self rehab di rumah setelah 18 hari warded. jutaan penghargaan buat seluruh team doktor, nurse dan staf hospital kkb dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar.”
“Semoga Allah bukakan seluas-luasnya pintu rahmat, rezeki dan kesihatan yang baik buat anda semua. terima kasih juga yang memahami dan memberi ruang privacy buat kami. in shaallah doa yang baik-baik sentiasa buat kalian juga,” ujarnya.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, tahniah buat Azhan Rani menunaikan tanggungjawab sebagai anak, berbakti menjaga ibu yang sakit. Semoga diberi kesembuhan buat ibu tersayang.
Keluarga besar. Memang seronok bila adik beradik berkumpul. Tak perlu orang lain dah, cukup dengan mereka saja. Macam-macam karenah pun ada.
Tak dinafikan, mak ayah dulu-dulu ramai anak tapi sekarang ini susah nak lihat keluarga besar. Kalau anak 5 orang pun dah kira paling ramai sebab biasanya hanya 2-3 anak saja.
Anak ramai ni memang seronok tapi dari segi perbelanjaannya pun boleh tahan juga. Apa pun, rezeki anak pasti anak. Inilah salah satu keluarga besar di Britian yang mempunyai 13 anak. Hebat sungguh.
Alexis dan Davie adalah pasangan yang mempunyai keluarga terbesar di Britian. Mereka bakal mempunyai anak ke-13. Ini adalah anak terakhir buat pasangan ini kerana mereka bersetuju untuk ‘tutup kilang’ memandangkan jumlah perbelanjaan yang besar utuk keluarga mereka.
Pasangan ini mempunyai anak bernama Campbell, 20 tahun, Harrison, 19 tahun, Corey, 17 tahun, Lachlan, 14 tahun, Brodie, 12 tahun, Brahn, 11 tahun, Hunter, 9 tahun, Mack, 8 tahun,, Blake, 6 tahun, Rothagaidh, 5 tahun Cameron, 4 tahun, Orran , setahun, dan Scarlet, 5 bulan.
Keluarga itu boleh membelanjakan £120 (RM570) sehari dengan membeli makanan di Tesco. Antara yang diperlukan untuk keluarga ini adalah menggunakan 7 liter susu, tiga keping roti, satu kotak bijirin gergasi dan dua pek kerepek setiap hari.
“Kami terpaksa membeli katil tiga tingkat supaya semua orang mempunyai tempat untuk tidur dan membeli dua sofa sudut besar supaya kami semua boleh duduk serentak.”
Boleh dikatakan bil perbelanjaan keluarga ini melebihi £5000 (RM23775) sebulan. Ini tidak termasuk bil eletrik yang dibayar sebanyak £750 (RM3566) sebulan. Selain itu, bil makanan pun mencecah lebih £3000 (RM14265) sebulan.
Walaupun berada dalam keluarga yang besar, segala perbelanjaan mereka adalah hasil daripada pendapatan Davie sebagai pemandu kereta api dan Alexis pula bekerja sambilan bagi membantu suaminya. Mereka tidak menuntut dan menerima mana-mana bantuan aripada kerajaan.
Tambah Alexis lagi, dengan keadaan sekarang ini kos sara hisup semakin meningkat. Jadi pasangan ini perlu berjimat cermat dan mengira setiap sen yang keluar masuk.
“Kami jarang makan di luar dan saya lebih suka masak sendiri di rumah dengan hidangan yang banyak untuk diberi makan setiap anak, “ katanya.
Kehidupan Seperti Keluarga Lain
Mungkin ada yang beranggapan dengan jumlah seramai 13 anak ini, tentu keadaan bising dan ‘huru-hara’.
.
“Sebenarnya, rutin harian kami seperti orang lain juga. Membuat kerja rumah, anak ke sekolah dan mereka berehat dan baring menonton televisyen.
“Malah, waktu tidur kami juga seperti biasa, tidak terganggu dan nyenyak sepanjang malam. Kami bahagia dengan kehidupan yang kami miliki,” katanya.
Mingguan Wanita : Seronok bila ada ahli keluarga ramai. Masa kecil memanglah agak kelam-kabut tapi bila masing-masing dah besar dan ada kehidupan sendiri, terus sunyi rumah.