Masalah giliran balik raya ini bukan cerita baru, tetapi setiap kali nak raya mesti ada isunya. Tak semua lah yang lalui, ini bagi sesetengah orang yang dapat pasangan yang susah nak bertoleransi.
Sudahnya sampai jadi gaduh semata-mata nak balik raya!
Tahun ini rumah suami, tahun depan rumah isteri.
Tetapi sebelum makin menjadi-jadi masalah giliran balik raya tahun ini, cuba hadam perkongsian saudara Firdaus Syakirin ini.
Kebiasaannya setiap kali nak raya, maka akan keluarlah posting-posting tentang giliran balik raya.
“Giliran balik raya ni sebenarnya adalah sesuatu yang tak wujud dan ianya atas konsep ihsan seorang suami kepada isteri…” katanya.
Betul, tepat, konsep ihsan, jadi suami tak wajib ikut kehendak isteri untuk beraya di kampung isteri. Jadi…
“Tahun ni rumah suami, tahun depan rumah suami, tahun 2021 rumah suami, tahun 2099 rumah suami.”
Mari kita tengok beberapa konsep ihsan isteri dalam rumahtangga kita.
Isteri wajib tak buat kerja-kerja rumah? Tak wajib, tapi disebabkan dia nak jadi isteri yang baik, dia faham yang suami dia letih mencari rezeki. Dia faham yang suami dia tak ada masa untuk buat, maka dia buat. Tugas isteri hanyalah melayani suami sahaja, ini kewajipan dia, bukan kerja-kerja rumah. Ini ihsan isteri ke atas seorang suami.
Isteri wajib bekerja tak? Tak wajib… tempat isteri sepatutnya di mana? Di rumah… jadi kenapa isteri bekerja? Menolong membantu meringankan beban suami dalam menguruskan rumahtangga. Meringankan beban, bukannya mengambil alih beban… ada tak isteri tolong bayar bil utiliti tiap-tiap bulan?
Ada tak isteri kongsi bayar ansuran rumah, ansuran kereta? Ada, dan bila dia buat semua tu, dia tolong bayar, itu ihsan isteri ke atas seorang suami. Kalau suami dia mampu, dia tak perlu untuk buat semua tu…dia hanya duduk dirumah tegok samarinda.
Isteri ada hak tak ke atas duit gajinya? Ada, hak sepenuhnya, hak total. Suami boleh guna duit isteri tak? Kalau isteri izinkan dan redha, boleh.
Kalau dia tak izinkan, dan tak redha, tak boleh. Ada tak isteri beli barang dapur dengan duit dia sendiri? Beli baju dengan duit dia sendiri? Beli ubat dengan duit dia sendiri?
Ada… ganti tak duit-duit yang isteri belanjakan tu? Kena ganti sebab menyediakan makan minum, pakaian dan perubatan itu tugas suami. Isteri rela dan redha guna duit dia untuk beli barang-barang dapur, pakaian, perubatan atas asbab ihsan isteri ke atas seorang suami.
Isteri wajib tak jaga orang tua suami? Tak wajib… kalau dia jaga dikira apa? Ihsan… kewajipan menjaga orang tua suami itu terletak dibahu suami dan adik beradiknya. Abang suami, kakak suami, adik suami, ini smua adalah anak dan sebagai anak mereka perlu berbakti kepada orang tua mereka. Kenapa isteri jaga orang tua kita? Sebab kita tak boleh nak jaga, kita kena keluar bekerja. Maka satu lagi konsep ihsan isteri ke atas seorang suami.
Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, berlambak-lambak ihsan seorang isteri kepada seorang suami dan seorang isteri memerlukan ihsan seorang suami hanya 2 KALI SETAHUN, iaitu pada Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha.
Itupun selang-selang, bukan setiap tahun dapat balik beraya rumah orang tuanya.
Ihsan seorang isteri tu cukup banyak kepada seorang suami, makanya, cubalah bersikap adil dengan meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. Kalau dipersetujui tahun ni rumah kita, maka hormatilah persetujuan itu dan tahun depan rumah dia pula.
Jangan tiba-tiba berdalih, bagi alasan, cuba untuk tidak balik ke rumah orang tuanya.
Suami yang sedar akan apa yang isterinya dah buat untuk dirinya, dia akan ikut giliran seperti yang dah dipersetujui bersama.. Bersikap adil dan berihsan kepada si isteri.
Dia bukan anak yatim piatu, dia pun ada mak bapak dan dia pun nak beraya dengan mak bapak dia selagi mak bapak dia masih hidup.
Itu la, dulu orang suh kawin jiran sebelah, tak mahu. Nak juga orang jauh-jauh sebab nak ada feel ‘balik kampung’ konon. Nah, padan muka!