Giliran balik raya ke kampung halaman atas ihsan suami namun jangan sesekali sengaja buat-buat tidak nampak ihsan isteri kepada suami. Tidak salah bergilir balik raya ke kampung halaman masing-masing apatahlagi jika pasangan masih ada ibu bapa yang perlu disantuni.
Dalam rumah tangga tolak ansur itu penting. Itulah resipi kebahagiaan rumah tangga yang sebenarnya. Namun bila mana ada suami yang dengan sengaja enggan pulang ke kampung isteri bila sampai giliran, baik amati perkongsiannya ini. Semoga memberi pencerahan buat para suami tentang hal ini dan dapat berlaku ihsan kepada isteri.
Menarik sungguh perkongsian daripada seorang suami ini dalam memberi kupasan tentang isu balik kampung secara bergilir-gilir ni.
“Tahun ni rumah suami, tahun depan rumah isteri…”
Artikel berkaitan: Kalau Baru Kahwin, Nak Balik Raya Rumah Suami Dulu Atau Isteri? Nah, Ini Ada Jawapan Yang Tepat!
Giliran balik raya…
Kebiasaannya setiap kali nak raya, maka akan keluarlah posting-posting tentang giliran balik raya…”Giliran balik raya ini sebenarnya adalah sesuatu yang tak wujud dan ianya atas konsep ihsan seorang suami kepada isteri.” katanya…
Betul, tepat, konsep ihsan, jadi suami tak wajib ikut kehendak isteri untuk beraya di kampung isteri…jadi,
“Tahun ini rumah suami, tahun depan rumah suami, tahun 2021 rumah suami, tahun 2099 rumah suami”
Mari kita tengok beberapa konsep ihsan isteri dalam rumah tangga kita…
Isteri wajib bekerja tak? Tak wajib…tempat isteri sepatutnya di mana? Di rumah…jadi kenapa isteri bekerja? Menolong membantu meringankan beban suami dalam menguruskan rumahtangga…meringankan beban, bukannya mengambil alih beban…ada tak isteri tolong bayar bil utiliti tiap-tiap bulan? Ada tak isteri kongsi bayar ansuran rumah, ansuran kereta? Ada, dan bila mana dia buat semua itu, dia tolong bayar, itu ihsan isteri ke atas seorang suami…kalau suami dia mampu, dia tak perlu untuk buat smua itu…dia hanya duduk di rumah.
Isteri ada hak tak ke atas duit gajinya? Ada, hak sepenuhnya, hak total…suami boleh guna duit isteri tak? Kalau isteri izinkan dan reda, boleh…kalau dia tak izinkan, dan tak reda, tak boleh…ada tak isteri beli barang dapur dengan duit dia sendiri? Beli baju dengan duit dia sendiri? Beli ubat dengan duit dia sendiri? Ada…ganti tak duit-duit yang isteri belanjakan itu? Kena ganti sebab menyediakan makan minum, pakaian dan perubatan itu tugas suami…isteri rela dan reda guna duit dia untuk beli barang-barang dapur, pakaian, perubatan atas asbab ihsan isteri ke atas seorang suami.
Isteri wajib tak jaga orang tua suami? Tak wajib…kalau dia jaga dikira apa? Ihsan…kewajipan menjaga orang tua suami itu terletak dibahu suami dan adik beradiknya…abang suami, kakak suami, adik suami, ini semua adalah anak dan sebagai anak mereka perlu berbakti kepada orang tua mereka…kenapa isteri jaga orang tua kita? Sebab kita tak boleh nak jaga, kita kena keluar bekerja…maka satu lagi konsep ihsan isteri ke atas seorang suami.
Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, berlambak-lambak ihsan seorang isteri kepada seorang suami dan seorang isteri memerlukan ihsan seorang suami hanya 2 KALI SETAHUN, iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Itupun selang-selang, bukan setiap tahun dapat balik beraya rumah orang tuanya.
Ihsan seorang isteri itu cukup banyak kepada seorang suami, makanya, cubalah bersikap adil dengan meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya…kalau dipersetujui tahun ini rumah kita, maka hormatilah persetujuan itu dan tahun depan rumah dia pula…jangan tiba-tiba berdalih, bagi alasan, cuba untuk tidak balik ke rumah orang tuanya.
Suami yang sedar akan apa yang isterinya sudah buat untuk dirinya, dia akan ikut giliran seperti yang dah dipersetujui bersama. Bersikap adil dan berihsan kepada si isteri.
Dia bukan anak yatim piatu, dia pun ada mak ayah dan dia pun nak beraya dengan mak ayah dia selagi mak bapak dia masih hidup.
Sumber: Firdaus Shakirin