Gigihnya cari rezeki bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Nak berjaya bukannya senang. Begitulah yang dilalui oleh pemilik Syarikat Amle Holding Sdn Bhd yang juga Pengasas Jenama Pyor, Muhamad Amle Rusbadrol atau lebih mesra dengan panggilan Abang Am.
Gigihnya Cari Rezeki Guna Van Uzur Ejin Jatuh Di Parkir Niaga
Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini mengakui bukanlah satu perkara mudah untuk dirinya berjaya seperti hari ini. Malah sewaktu memulakan perniagaan, dia dan isteri, Norzawati Zahari melalui kehidupan yang agak sukar. Mana tidaknya, isteri pernah meniarap di atas jalan raya kerana terpaksa menolak van yang uzur.
“Pada awal semasa memulakan perniagaan, kami membeli sebuah van yang agak uzur. Dek kerana kosnya yang murah, saya tak pasti samada ianya kenangan pahit atau manis, tapi banyak kenangan yang diingati bersama van tersebut.
“Pernah satu ketika, van tersebut tidak dapat dihidupkan, isteri pula tidak pandai memandu. Jadinya si isteri yang menolak van. Apabila van tu kembali boleh start, saya pun pandang cermin sisi nak tengok isteri, tapi isteri dah meniarap di atas jalan.
“Lepastu apabila hari hujan, kaki akan basah kena air hujan dari lantai van. Van uzur tu juga pernah gugur enjinnya apabila parking di tempat niaga,” kongsi Abang Am yang popular menjual teh ais di dalam balang.
Jalankan Perniagaan Langsaikan Hutang
Bermula dengan Syarikat Amle Holding Sdn Bhd diasaskan pada 17 Ogos 2014, sebelum itu syarikat menggunakan nama Muhamad Amle Enterprise, syarikat menjalankan perniagaan berkonsep kan Trading iaitu membekalkan bahan mentah makanan dan minuman. Syarikat Amle Holding menjalankan konsep perniagaan stokis dan agen.
Menurut Abang Am, titik tolak memulakan perniagaan adalah pada awal 2011 yang mana dia dan isteri memulakan perniagaan di pasar pagi dan malam bersama isteri dengan menjual ayam goreng.
“Menjalankan perniagaan pada ketika itu adalah jalan paling cepat untuk mendapatkan wang kerana ingin melangsaikan masalah hutang,” kongsi Abang Am yang pernah menerima pencapaian di Wyndham Acmar Klang Hotel apabila menerima sijil dan pengiktirafan oleh Lang International Corporate Titan Award (LICTA) sebagai ‘the fasters growing beverage kiosk operator’.
Perniagaan Diuji, Lori Hampir Kena Tarik Dengan Pihak Bank
Sepanjang meniti kejayaan, Abang Am menyatakan dia berasa sangat gembira apabila mendapat mesej dari ibu yang mengatakan “mama bangga dengan kamu”.
Tidak mahu dibuat dengan keindahan kejayaan yang dikecapi sahaja, kenangan yang dilalui sewaktu dalam kesusahan sentiasa menjadi pemangkin untuk dirinya berjaya. Abang Am turut berkongsi kisahnya yang pernah diuji dalam perniagaan.
“Pada 2017 perniagaan diuji dengan amat teruk. Modal dan simpanan yang ada pada waktu tu banyak digunakan untuk menyertai event-event dan ekspo di kebanyakan negeri. Semua event dan ekspo mengalami kerugian yang besar hinggakan lori kami hampir ditarik oleh pihak bank. Jadi kami terpaksa membayar lori tersebut sehingga simpanan menjadi kosong.
Ads
“Pada waktu itu juga kami terpaksa menjual dan mencairkan beberapa aset syarikat untuk terus bertahan sehingga dapat peluang pinjaman bahan mentah dari rakan pembekal ayam untuk meneruskan perniagaan, dan di situlah titik permulaan jenama Pyorr dilahirkan pada ramadhan 2017 dengan menjual teh ais di dalam balang,” sambung Abang Am yang menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai inspirasi hidup.
Kejayaan demi kejayaan yang diraih, Abang Am akui sejujurnya ada perasaan takut apabila sampai ke tahap ini kerana tanggungjawab yang lebih besar dan amanah yang perlu di pikul. Namun Abang Am tidak lokek tip dan nasihat buat mereka yang mahu berjinak dalam bidang perniagaan.
“Tetapkan matlamat, misi dan visi yang jelas. Buat sehabis baik, buat hingga jadi, buat sampai berjaya, kaya dan berjasa, jangan cepat berputus asa dan patah semangat. Setiap apa yg berlaku, ujian dan cabaran yang dilalui akan buatkan kita lebih kuat dan jadikan ianya satu pembelajaran untuk kita pada masa akan datang.
“Keduanya, jangan lupa menuntut ilmu, nak berjaya di dunia perlu ilmu dan berjaya di akhirat juga perlukan ilmu. Jangan bosan dan jemu untuk belajar. Percaya pada diri sendiri, kenali potensi dan kelebihan diri sendiri dan tetapkan matlamat.
“Apa yang ingin dicapai memerlukan kerja keras, komitmen dan sikap jangan pernah menyerah kalah,” luah Abang Am yang akui dirinya seorang yang tegas dan berani ambil risiko serta melakukan cabaran dan perkara yang baru.
Ads
Mahu Produk Pyorr Berada Di Hati Setiap Orang
Mahu empayar yang dibina terus kukuh, Abang Am juga menyimpan cita-cita yang besar.
“Cita-Cita saya agar jenama Pyor dapat berdiri sama teguh dengan jenama jenama yang besar. Saya juga berharap produk Pyorr akan sentiasa mendapat tempat di hati setiap orang walaupun apabila saya sudah tiada lagi nanti,” katanya.
Walaupun sibuk dengan perniagaan namun bapa kepada empat cahaya matai bi tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga tercinta.
“Saya sebenarnya seorang yang sangat sibuk dengan menguruskan enam syarikat di bawah jagaan saya. Selalunya sebelum tido saya akan siapkan jadual kerja saya untuk keesokan hari agar lebih mudah untuk saya uruskan masa.
“Di samping tu, saya juga gunakan buku planner sekiranya ada apa-apa appointment. Saya gunakan jadual sebagai guideline untuk saya, dan saya akan cuba fokus dengan apa yang saya lakukan. Walaupun saya adalah seorang business owner, saya selalu meletakkan diri saya sebagai pekerja, bekerja seperti pekerja yang lain.
“Selain tu, setiap apa tugasan yang saya lakukan perlu ada guideline. Selesai waktu bekerja bagi saya adalah selewatnya lewatnya jam 7 petang. Kemudian saya akan habiskan masa bersama keluarga pula,” akhirinya.
Ads
SERTAI & DAFTAR SEKARANG KURSUS KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Janna Nick atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner mengakui bahawa telah pelbagai cara dilakukan untuk hamil namun dia masih belum dikurniakan berita gembira yang sangat-sangat dinantikan. Janna kepingin membuat kejutan ‘dua garis’ buat suaminya Dini Schatzmann.
Janna Nick Sudah Buat Macam-macam, Belum Rezeki Dikurniakan Zuriat
Setiap kali hendak memeriksa keputusan ujian kehamilan, Janna mengakui hatinya sering berdebar. Sedih kerana bila hanya ada satu garisan namun Janna perlu memaksa diri menerima kenyataan yang belum ada rezeki untuk memiliki cahaya mata.
Mana-mana pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mengharapkan cahaya mata sebagai pelengkap hubungan suami isteri. Bagaimanapun tidak semua pasangan dikurniakan zuriat dalam tempoh cepat.
Soal zuriat juga dianggap perkara paling penting dalam sebuah keluarga bagi menjamin kesinambungan keturunan. Dugaan yang datang dalam menanti kehadiran cahaya mata perlu diterima dengan keterbukaan hati dan fikiran.
Gementar Setiap Kali ‘Check’ Keputusan Ujian Kehamilan
INI ANTARA USAHA YANG JANNA LAKUKAN:
*Janna juga sanggup berkorban melakukan aktiviti kegemarannya seperti yoga, senaman berat dan sauna bagi memastikan dia dapat hamil.
*Mengamalkan pelbagai jenis suplemen. Kesannya wajah naik jerawat yang besar-besar.
Janna mengakui bahawa bukan mudah melalui proses kehamilan dan berdoa agar semua wanita yang sedang berusaha untuk memiliki cahaya mata dipermudahkan urusan.
Usaha mendapatkan cahaya mata ini memerlukan kesabaran kedua-dua belah pihak, isteri dan juga suami.
Untuk info Janna Nick dan Dini Schatzmann selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Masjid Aisyah, di Langkawi pada 10 Jun 2023.
Zaman sekarang ini, baik anak lelaki mahu pun anak perempuan perlu diajar masuk ke dapur untuk membantu membuat kerja-kerja rumah. Jangan terlalu mengharapkan anak perempuan sahaja yang duduk di dapur dan anak lelaki pula dimanja dan dilayan bagai raja.
Tidak dinafikan juga, sesetengah orang cakap, untungnya dapat anak perempuan sebab nanti boleh tolong mak di dapur. Malah, bila besar nanti, mak-mak pula goyang kaki sebab anak perempuan yang akan masak dan buat kerja rumah.
Bagi mak-mak, hanya anak perempuan yang perlu diajar memasak, mengemas rumah atau menguruskan kerja rumah. Anak lelaki pula tidak perlu, ditantang minyak yang penuh dan tidak perlu tahu tentang hal-hal kerja rumah.
Kalau nak dibanding kan dulu, memang ada mak ayah yang berbezakan antara aanak lelaki dengan anak perempuan. Kononnya, anak perempuan, bila sudah berkahwin akan tetap masuk ke dapur. Manakala anak lelaki, bila dewasa tanggungjawabnya pula mencari rezeki untuk keluarga dan tidak perlu melakukan kerja-kerja rumah.
Zaman Berubah
Walau bagaimanapun, keadaan sekarang telah merubah segalanya. Baik anak lelaki atau anak perempuan perlu sama-sama membantu dalam membuat kerja rumah. Mak ayah tak perlu membezakan. Kononnya, kerja rumah untuk anak perempuan sahaja.
Malah, keadaan sekarang pun anak perempuan bukan hanya duduk di rumah, mereka sudah keluar bekerja dan pada masa sama perempuan yang berkahwin turut membantu suami dengan bekerja untuk mengurangkan bebanan suami.
Sebab itulah mak ayah tidak boleh bezakan anak lelaki dengan anak perempuan dalam membuatk kerja rumah. Sebaliknya perlu sama-sama melakukan. Dulu dan sekarang tidak sama.
Begitulah juga perkongsian daripada Dr Redza Zainol yang turut menyarankan supaya mak ayah kena sama-sama memastikan anak lelaki dan anak perempua nsama-sama terlibat dalam membuat kerja rumah. Tidak boleh membandingkan keduanya.
Mak Bukan Bibik
Makin lama saya tengok anak-anak sekarang ini, makin dia menjadi-jadi.
Buku jatuh atas lantai, dia minta mak kutip. Selipar tercabut minta mak kutip dan pakaikan balik.
Sekali anak ni minta nak minum, mak dia keluarkan botol susu dari beg.
“Dah darjah 1, minum pakai botol lagi ke?”
Maknya cuma tersengih-sengih.
“Dia tak nak pakai gelas. Kalau paksa sangat, nanti sampai bergaduh.”
Selidik punya selidik, rupanya mak ni dah serupa bibik di rumah. Semua kerja rumah, dia yang buat. Apa anak nak, dia ikutkan semuanya.
Saya pun cakap jangan manjakan sangat anak lelaki ni.
Anak bawah 2 tahun memang kita jaga macam anak raja. Tapi bila sudah masuk umur 2 tahun, kita dah boleh latih anak sama-sama buat kerja rumah (house chores).
Boleh guna teknik single step command (satu arahan): Contoh: Tolong ambilkan tuala mandi.
Atau guna teknik 2 steps command (2 arahan dalam 1 ayat): Contoh: Tolong ambil pampers ni dan buang ke dalam bakul / tong sampah.
Dua-dua teknik ni sesuai untuk kanak-kanak usia 2 tahun. Senang je kan.
Nak anak umur 2-3 tahun sama-sama buat kerja rumah, caranya bukan ala-ala tentera tau.
Mak ayah buat seronok-seronok dengan anak.
Contohnya anak bongsu saya jenis suka berlumba. Jadi saya buat “Game” lumba siapa kemas mainan paling cepat.
Saya akan kira 1,2,3 dan start lumba siapa kemas paling laju. Sambil tu buat bunyi enjin kereta.
Habis kemas terus sorak sama-sama siap High five dengan anak.
Asasnya, kita kena buat sama-sama dengan anak. Kita ialah idola di mata dia.
Kalau anak menolak, jangan marah dia. Cuba cari apa lagi keperluan asas dia yang belum dipenuhi (makan, tidur, bermain).
Esok kita ajak dia kemas lagi. Muka kena senyum, kena banyak sabar tau. Budak baru 2 tahun.
Kesannya
Bila anak TIDAK dilatih:
Dia hilang rasa bertanggungjawab.
Dia tak pandai urus masa.
Keyakinan diri jadi rendah.
Tak pandai jaga kebersihan.
Cara Betul Anak usia 2-3 tahun ni:
Kena tahu wajib kemas mainan sendiri.
Biar dia belajar lap meja dan lantai.
Letak pinggan dan cawan plastik dalam sinki lepas makan.
Biar dia biasa letak baju kotor dalam bakul.
Galakkan dia angkat barang yang ringan.
Lepas mereka buat, kita ucapkan terima kasih, bagi pelukan dan puji anak best-best tau.
Barulah anak lelaki tahu, kerja-kerja rumah ni bukan kerja orang perempuan semata.
MW: Baik anak lelaki atau anak perempuan kena ajar buat kerja rumah. Esok-esok mak ayah pun senang. Bukan untuk mak ayah tapi untuk bakal keluarganya dan belajar erti tanggung jawab.
Wanita ini diuji pemergian suami ketika anak-anak masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ayah. Kisah Azlina Mohamed pernah Mingguan Wanita paparkan tak lama dulu.
Kali ini beliau berkongsi bagaimana, berhadapan ujian Allah dengan rasa lapang, redha dan syukur. Moga anda yang sedang melaluinya dapat fahamkan 5 perkara ini, supaya kuat melangkah tempuhi ujian tuhan.
Ingat 5 Perkara Ketika Hadapi Ujian Tuhan
Sebenarnya setiap orang ada ujian masing-masing. Tak kira samada berat atau ringan. Mungkin bagi kita berat namun bagi yang menanggung terasa ianya ringan. Atau mungkin bagi kita nampak ringan tapi ianya berat dirasai oleh orang yang menanggung.
Ujian tanda Allah sayang. Tanda Dia nak kita sentiasa ingat Dia.
Sedikit dari saya,
Bila kita menghadapi ujian dalam kata lain- masalah, ingatlah beberapa perkara;
1) Berbaik Sangka Dan Dekatkan Diri Dengan Allah
Mengadu dan menangislah dengan Dia. Dia Maha Mendengar. Banyakkan membaca AlQuran dan terjemahan. Tak akan saja-saja Dia timpakan ujian untuk kita. Mesti ada hikmah dan kebaikan yang mungkin tidak kita ketahui. Dan manusia akan jadi hebat setelah diuji. Ibarat permata, jadi bernilai setelah diletakkan didalam tekanan yang kuat. Kan?
Allah nak kita jadi hebat. Jadi, berbaik sangkalah dengan Dia. Dia tak zalim. Dia Maha Penyayang. Sambil menguji, Dia akan hantarkan bantuan untuk kita. Percayalah…
2) Jangan Bersendirian; Cari Sahabat Positif
Ini sangat penting. Rata-rata yang menghantar pesanan peribadi di FB saya mengadu bahawa mereka menghadapi tekanan dan hampir melakukan perkara-perkara membahayakan diri disebabkan terlampau memendam perasaan dan tiada kawan berbual. Berkawanlah.
Carilah sahabat-sahabat yang positif. Sekali sekala mengadulah dan berceritalah kepada mereka supaya mereka dapat lontarkan kata-kata motivasi penguat buat diri kita.
Ingat, sekali sekala sahaja ya.. Bukan apa, Jika setiap hari dan setiap masa kita mengadu, kawan pun boleh jemu, boleh lari. Mereka pun ada kehidupan mereka, ada masalah mereka sendiri juga. Kita doa supaya mereka fahami kita, dan kita perlu juga fahami mereka. Sambil tu, cuba belajar untuk kawal emosi dan perasaan.
Hari-hari nak mengadu pada siapa? Mengadu pada Allah.:)
3) Banyakkan Membaca
Kadang-kadang kita perlukan motivasi dari luar tapi kita segan untuk bercerita pada orang lain tentang masalah kita kan? Bacalah buku-buku agama dan buku-buku motivasi. InsyaAllah sedikit sebanyak dapat kuatkan hati dan diri kita.
Bila saya sedih, saya akan baca artikel-artikel yang dapat motivasikan diri saya di internet. Sambil tambah ilmu, dapat saya kurangkan sedikit kesedihan saya.
4) Muhasabah Diri
Kadang-kadang Allah timpakan ujian atas kita disebabkan oleh dosa-dosa kita. Ambil sedikit masa, muhasabah diri kita. Mohonlah keampunan. Berdoalah supaya Dia ringankan bebanan yang kita hadapi. Berdoalah supaya Dia berikan kita kekuatan agar kita dapat harungi ujian yang Dia berikan.
5) Jadi Masyarakat Prihatin
Orang-orang yang menghadapi ujian berat, kebanyakkannya akan jadi sensitif dan “fragile”. Jadilah masyarakat yang peka dan prihatin. Jangan dihakimi mereka-mereka yang bersedih dan tertekan. Janganlah masalah dan perasaan mereka dibuat mainan dan bahan untuk diceritakan. Berilah kata-kata semangat dan sokongan buat mereka.
Hari ini mereka diuji, hari esok mungkin kita pula.
Saya juga mendapat sedikit kekuatan hasil sokongan keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat dan orang sekeliling.
Last but not least, bila kita diuji, ingatlah bahawa ada insan lain yang menghadapi ujian yang lebih berat dari kita. Jangan mudah mengalah dan kuatkanlah hati.
Saya hanya insan lemah. Penulisan ini selain untuk pembaca, ianya untuk diri saya juga.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.