Gigih Cari Rezeki, Suami Nasihat Ayu Damit Cukup Rehat

Share

Penyanyi yang berasal dari Sabah, Ayu Damit merupakan seorang yang sangat rajin, Selain menyanyi, Ayu yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu merupakan seorang yang aktif berniaga.

Terbaru Ayu membuka sebuah kedai makan yang diberi nama Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang.

Isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin ini merupakan seorang wanita yang tidak boleh duduk diam.

Anggap Tiada Rezeki Dalam Bidang Seni, Penyanyi Shima Kini Berniaga Warung Jual Nasi Campur!

Bermula Dengan Cari Duit Untuk Bernikah, Kini Jadi Perniagaan Membanggakan

“Saya buka restoran ini dengan rakan kongsi. Ini bisnes keempat yang saya ceburi selepas menjual cili, kuih bahulu dan sate.

“Saya pilih nama Tok Mak sebagai simbolik masakan turun-temurun daripada nenek ke cucu. Pelbagai menu disediakan termasuk hidangan Barat dan Jawa termasuk dari Sabah,” katanya.

Ayu berharap karier seni dan perniagaan yang diusahakan mencapai kejayaan diharapkan.

“Saya juga mahu menjadi isteri yang baik kepada suami dan ibu penyayang untuk anak-anak,” katanya.

Teruja Jadi Peserta GV7

Sejak mula program Gegar Vaganza (GV) diperkenalkan, penyanyi Ayu Damit tidak pernah ketinggalan untuk menyertai sesi ujibakat dengan harapan terpilih menjadi salah seorang peserta.

Bagaimanapun selama enam musim lalu, rezeki belum menyebelahinya sehinggalah dipanggil untuk beraksi dalam GV7 yang bakal membuka pentas persaingan bermula 11 Oktober depan bersama 13 lagi peserta lain.

Ayu sendiri mengakui tidak menyangka namanya tersenarai pada musim ini.

“Banyak kali saya hadir sesi uji bakat dan hampir setiap tahun mengharap agar terpilih menyertai program ini. Alhamdulillah rezeki saya tiba pada musim ketujuh dan ia cukup bermakna buat saya kerana penantian saya selama ini berbaloi.

“Terus-terang saya cakap, walaupun beberapa kali gagal tersenarai sebelum ini, saya tidak pernah berputus asa, malah sentiasa ada keinginan untuk cuba lagi dan lagi sehingga saya dapat,” ujar Ayu tanpa berselindung.

Menurut Ayu, dia tekad untuk mencuba nasib di pentas GV kerana percaya ia merupakan satu platform yang mampu memberikan impak positif dalam kerjaya seninya selepas ini.

“Bagi saya, GV satu-satunya pentas yang memberi peluang kepada seseorang penyanyi untuk menunjukkan kebolehan mereka menyanyi pelbagai genre lagu dan dinilai.

“Itu antara sebab kenapa saya nak sangat masuk GV dan beraksi di pentas itu kerana saya mahu mencari apa sebenarnya yang saya ada.

“Biarpun saya masih aktif menyanyi di sana sini, namun permilihan lagu dalam persembahan tersebut hanya berlegar sekitar genre lagu yang saya biasa bawa, tiada cabaran kecuali bila sesekali ada permintaan berbeza daripada penganjur.

“Jadi hanya pentas GV dapat bagi peluang kepada saya untuk buat kelainan dan berikan sesuatu yang berbeza,” ujar Ayu.

Sokongan Padu Dari Suami

Bagaimanapun, Ayu juga menerangkan dia perlu membahagikan masa dengan sebaiknya untuk melakukan persiapan tanpa menjejaskan komitmennya pada keluarga dan bidang perniagaan yang diceburi.

“Alhamdulillah saya mendapat sokongan padu daripada suami dan dia akan banyak membantu menguruskan hal-hal berkaitan perniagaan yang kami usahakan sebelum ini.

“Kalau ikutkan saya rasa boleh saja buat semuanya macam biasa, tetapi suami mahu saya cukup rehat dan hanya memberi fokus untuk buat persediaan melakukan persembahan di GV7. Saya juga berharap peluang yang ada ini dapat saya gunakan dengan sebaiknya untuk menarik kembali kepercayaan orang terhadap bakat saya,”
sambungnya.

Sumber Foto: Azrul Rafie (Astro) & Instagram Ayu Damit
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Published by
Norhayati Binti Suboh