Melihat pada wajahnya pasti ramai yang tidak menyangka wanita ini sudah berusia 51 tahun. Tampak muda dan auranya cukup memikat, itulah yang dimiliki oleh insan yang selesa disapa dengan panggilan Kak Zue.
Berkogsi di Facebook peribadinya Dzuriasikim Dzulkefli ibu tunggal kepada lima orang anak ini akui mengamalkan tempoh berpantang selepas bersalin dengan baik boleh menjaga dan mengekalkan seri wajah.
“Pernah dengar tak orang tua-tua sebut, “Hilang seri dia lepas bersalin….”. Ha, gitu”
Pastinya setiap wanita tidak mahu ditegur sebegitu, disini Kak Zue mencoretkan tentang penjagaan diri serta petua yang diamalkan;
“Apa yang saya tulis ini adalah amalan rutin saya. Yang menjadi sebahagian dari hidup saya sejak remaja atau di zaman persekolahan. Sebahagian besarnya sudah jadi kebiasaan kerana memang menjadi amalan dalam keluarga juga. Jadi, bukanlah ke semua ini saya lakukan kerana terpaksa dan kerana nak dipandang cantik atau muda ya. Namun, apa sahaja ilmu yang dikongsi, jika anda rasa dapat membawa kepada kebaikan, bolehlah diambil dan diamalkan juga nanti.
“Alhamdulillah, walaupun sudah hampir 51 tahun usia saya, dengan izin Allah, saya tidak ada masalah kedut di wajah yang ketara termasuk di bahagian mata, tidak ada sebarang masalah sakit-sakit sendi, tapak kaki, lutut, mahupun badan, tiada sakit-sakit kepala, tidak ada masalah angin dalam badan, masih boleh membaca dan menulis tanpa menggunakan cermin mata, masih berambut lebat, tiada masalah kulit menggeleber.
Baru Berpantang Hari Ke-15, Yatt Hamzah Makin Berseri, Kurus, Muka “Selim”
“Saya tulis huruf besar ni. Sebab ramai wanita moden tak suka berpantang. Ambil ringan. Serta mungkin juga kerana tidak seiring dengan banyak pendapat moden. Tapi saya kongsikan di sini sebahagian dari amalan berpantang saya dari kelahiran anak pertama hingga ke 5 ya.
– MANDI AKAR KAYU setiap hari walaupun sampai ke hari terakhir berpantang.
“Biasanya ada orang yang akan bantu sediakan. Jika tiada, minta tolong suami rebuskan. Bangun awal, mandi air suam atau hangat dengan rebusan akar kayu awal pagi. Terus sapu segala ramuan di perut dan ikat perut atau berbengkunglah dari awal pagi.
– MENGAMALKAN HERBA ATAU JAMU
“Terutama ketika dalam pantang. Usah malas untuk makan atau minum air akar kayu di samping ubat dari hospital.
– BERURUT
“Sapu minyak herba satu badan. Berurut selalu.
– BERTANGAS.
– KURANG PENGAMBILAN AIR
“Jangan sampai tak cukup air, tapi jangan minum terlalu banyak. Jangan minum ais. Saya pantang 100 hari tak minum air sejuk. Malah hingga kini, saya jarang minum ais.
– BERTUNGKU.
– BERBENGKUNG
“Mesti pakai. Jangan culas. Jangan ambil mudah. Jangan malas. Jangan ganti bengkung dengan girdle moden.
– JAGA MAKAN
“Usah makan sembarangan. Waktu berpantang saya hanya minum air yang suam sahaja, tidak sejuk (walaupun pada suhu bilik). Makan pula hanya ikan, daging, ayam yang dibakar sahaja. Ikan pun bukan semua ikan yang boleh dimakan. Saya juga banyak amalkan makan nasi bersama lada hitam yang ditumbuk. Kunyit hidup dan halia muda.
– BERSTOKIN
“Usah ambil remeh.
– PASTIKAN BADAN SENTIASA PANAS.
“Jauhi aircond.
– PANTANG BERSAMA SUAMI.
“(Kalau saya 100 hari, terserahlah).
– ELAK MENGANGKAT BENDA BERAT/SENAMAN BERAT.
– PANTANG KELUAR RUMAH.
– IKAT RAMBUT TINGGI SELALU
“Ikat kemas-kemas. Orang dulu-dulu selalu simpan rambut supaya boleh diikat sebelum bersalin dan ketika dalam pantang. Ikatan rambut yang kemas dipercayai boleh mengurangkan sakit kepala dan menegangkan wajah.
“Wanita zaman moden (tidak semua) memang serba boleh. Hampir semua perkara mampu diuruskan sendiri dengan efisyen. Tak salah berpantang sendiri, cuma perlu konsisten dan disiplin. Kalau rasa malas dan culas, tapi masih lagi ingin berpantang sendiri, carilah penyedia khidmat berpantang dan urut selepas bersalin yang boleh ditempah secara online.
“Ingatlah, berpantang adalah proses pemulihan tubuh yang amat penting dan akan memberi kesan kebaikan kepada kesihatan jangka masa panjang.
“Masa muda kita tak rasa. Rasa macam ok. Jalan ok. Bersama suami ok. Duduk kaki terbuka ok. Tak pakai stokin ok. Tak ikat perut pun ok. Tunggu bila berusia…. Kata orang tua, jika tidak berpantang ni, bukan sahaja diri yang akan merasa nanti, malah pasangan (suami) pun boleh “rasa”.
“Sebab itulah kalau tengok wanita zaman nenek-nenek kita, mereka masih langsing dan cergas bertenaga walaupun telah lanjut usia dan beranak ramai. Orang zaman dulu beranak 8 ke 10 orang itu biasa bagi mereka.
“Selain pemakanan dan cara hidup, amalan berpantang yang diamalkan sedikit sebanyak dapat membantu kepada faktor tersebut. Jika dibandingkan dengan wanita zaman kini, umur baru 30 pun dah banyak penyakit yang datang.
“Untuk kesihatan ibu yang baru bersalin, pengaliran darah adalah sangat penting. Kaedahnya termasuk lah senaman yang ringan dengan kerap, dan mengurut ini lah tujuannya. Kalau tak mampu mencari orang untuk mengurut, boleh membuat senaman yang ringan untuk pengaliran darah dari kaki ke jantung.
“Sebenarnya, cantik adalah bersifat luaran dan sangat subjektif. Segala petua ini adalah lebih kepada penjagaan kesihatan diri. Kesihatan adalah sangat berharga dan tak dapat dijual beli. Masa pula tak akan dapat kita putar kembali nanti. Jadi, jagalah diri.”
Menu Berpantang Ibu Ini, Turunkan Berat 11KG Tanpa Makan Pil Jamu
Terima Kasih: Sumber/Foto: Dzuriasikim Dzulkefli