Siapa sangka, gerak hati ibu kepada arwah Dayana Damsah yang maut dalam kemalangan jatuh gaung semalam menjadi kenyataan. Pada awal ibunya terbayang arwah terbabit dalam kemalangan sejak beberapa hari lalu.

Jelas ibu arwah, Endok Oti Ahmad, anaknya seorang yang bertanggungjawab dan meninggal setelah segala hajatnya tercapai termasuklah membawa dia dan suaminya menunaikan haji.

Gerak Hati Ibu Jadi Benar

“Sejak beberapa hari lalu, gerak hati saya sering terbayang arwah terbabit dalam kemalangan.

“Tak sangka pula perkara yang menjadi kerisauan saya benar-benar berlaku,” kata Endok Oti Ahmad, 65, yang anaknya, Dayana Damsah, 27, maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Kijang berhampiran Jambatan Merotai Besar di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 6 pagi, kereta dinaiki Dayana yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Umas-Umas (SK Umas-Umas) hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke tebing sungai di lokasi kejadian.

Kemalangan itu turut mengorbankan rakan setugasnya, Nurizyani Kafli@Masri, 24, yang meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tawau manakala pemandu kereta, Hasnaini Paiori, 38, dan Nur Zairah Aladin, 35, dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, keempat-empat guru terbabit dalam perjalanan untuk bertugas di SK Umas-Umas. Mereka juga sering berkongsi kereta untuk ke sekolah.

IKLAN

Baca Juga Di Sini:

Guru Meninggal Kemalangan Jatuh Gaung Dalam Perjalanan Mengajar, Baru Menikah 10 Hari Lalu

Dua Anak Cedera Menangis Di Sisi Jenazah Ibu, Yang Dijemput Ilahi Dalam Kemalangan

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

IKLAN

Ibu Pernah Minta Anak Tukar Sekolah

Menurut Endok, sebelum ini dia pernah meminta Dayana bertukar ke sekolah lain yang dekat dengan kediamannya di Kampung Pasir Putih di sini, berikutan SK Umas-Umas agak jauh.

“Saya ada meminta dia bertukar sekolah lain yang lebih dekat kerana setiap hari terpaksa berulang-alik berikutan jarak antara sekolah dan rumah agak jauh.

“Bagaimanapun, saya berasa sangat sedih apabila anak yang baru melangsungkan perkahwinan minggu lalu (27 Julai) maut dalam kemalangan,” katanya.

Selepas Segalanya Tercapai, Arwah Meninggal

Endok berkata, arwah anaknya itu seorang yang pemurah dan suka bersedekah, malah kerap menginfakkan gajinya kepada pertubuhan serta badan amal termasuk rumah anak yatim.

IKLAN

Selain itu, katanya, arwah juga aktif dan sering terbabit dengan kerja sukarelawan selain mengedarkan bantuan kepada fakir miskin dan asnaf termasuk golongan ibu tunggal.

“Malah, semasa mula bertugas di SK Umas-Umas empat tahun lalu, dia pernah menyatakan tidak akan berkahwin selagi saya dan bapanya, Damsah Lonting belum merasa duit gajinya dan mengerjakan umrah.

“Arwah seorang yang cermat serta bertangungjawab dan dalam tempoh tidak sampai dua tahun berkhidmat sebagai guru, anak bongsu daripada empat beradik itu mampu mengumpul wang sehingga kami bertiga berpeluang menunaikan ibadah umrah pada 2018.

“Selepas semua hajatnya tercapai, arwah pergi meninggalkan kami,” katanya.

MW: Benarlah orang yang baik pasti Allah sayang. Selepas segala hajat dan impiannya tercapai, Dayana pergi  buat selamanya. Al-Fatihah. 

Sumber/Foto: myMetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI