Geng-Geng Suami Bolehlah Rileks, Bila Isteri ‘Me Time’ & Reunion Dengan Sahabat Baik

Share

Seorang insan yang bergelar sahabat adalah orang yang sentiasa mengingati temannya terhadap perkara-perkara yang baik. Bukan itu sahaja malah sahabat juga akan berasa bahagia apabila melihat teman mereka berjaya dan akan merasa sedih apabila melihat rakannya berduka. Dek kerana hubungan persahabatan yang cukup erat, tujuh orang sahabat yang terdiri daripada Norseyha Sugeharto (Seyha), Salwani Mohd Khaidzir (Wani), Nor Roshaidah Mohd Thith (Ieda), Che Hazrina Che Hamzah (Sue), Nik Syahirah Hamizah Nik (Nik), Suhaila Shahrul Annuar (Lala) dan Nurul Huda Zakaria (Huda) telah memberikan nama kumpulan mereka ‘7 Petala Cinta’.

Baru-baru ini bagi meraikan persahabatan mereka, kumpulan ‘7 Petala Cinta’ ini telah mengadakan sebuah majlis reunion bertempat di VERDI Eco-Dominiums Cyberjaya bertujuan untuk membina semula keakraban dan melepaskan rindu antara mereka. Malah semasa mereka mengadakan reunion anak-anak dibawa suami jadi suami bolehlah rileks di rumah.

Menurut Seyha mewakili rakan-rakannya sewaktu ditemubual Mingguan Wanita, perkenalan mereka bermula ketika masing-masing melanjutkan pelajaran di universiti.

“Kami mula berkenalan ketika berada di zaman belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka pada tahun 2007-2010. Masa tu kami sama-sama mengambil jurusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media dan duduk dalam satu kelas yang sama. Selepas itu, kami satu hati untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Masa ini kami tidak lagi duduk kelas yang sama kerana masing-masing memilih jurusan yang lain pada 2010-2012.

“Biasanya kalau geng yang mempunyai ahli ramai, wajib ada nama kumpulan. Kami beri nama kumpulan ini ‘7 Petala Cinta’. Ia diambil sempena dengan nama filem yang pada masa itu tengah popular pada 2012. Kebetulan pula nombor tujuh itu merupakan simbolik bagi jumlah ahli kumpulan kami,” ungkap Seyha mulai bicara.

Reunion Erat Hubungan

Selepas tamat pengajian, Seyha memaklumkan mereka terlalu sibuk membina kerjaya dan ada yang memberikan tumpuan pada keluarga selepas mendirikan rumah tangga.

“Ada yang mendirikan rumah tangga sehingga kami tiada masa untuk berjumpa walaupun hakikatnya semua duduk dekat sahaja dalam kawasan Selangor dan Kuala Lumpur. Biasanya kami berjumpa tiga atau lima bulan sekali. Ikut kelapangan masing-masing. Tapi tidak pernah lengkap tujuh orang. Kadang-kadang hanya dapat berjumpa seorang dua saja untuk setiap kali pertemuan. Jadi sebab itu kami cadangkan untuk buat reunion supaya ketujuh-tujuh kami ada bersama,” akui Seyha yang turut memberitahu sewaktu majlis reunion berlangsung mereka turut membawa anak-anak bersama yang digelar ‘Junior Petala Cinta’.

Sentiasa berkongsi masalah.
Sememangnya bertujuh sangat akrab

Tempah Homestay Untuk Reunion

Seyha juga menerangkan majlis reunion mereka telah diadakan selama tiga hari dua malam dan mereka turut menempah homestay.

“Pada hari Pertama, kami semua daftar masuk homestay. Macam biasa, ada yang masuk tengah hari dan ada yang masuk malam. Masa tu pula bermula pada hari Jumaat. Jadi ada sebilangan daripada kami yang masih bekerja pada waktu itu.

“Hari kedua merupakan hari kejadian di mana kami menghias homestay yang disewa mengikut tema yang dipersetujui iaitu,  Pink, Mint  and White. Selain deko, kami turut menempah kek dan kek cawan sebagai kudapan. Majlis tidak lengkap kalau tiada sesi bergambar. Kami sewa juru foto untuk ambil gambar kami sebagai kenangan.

“Pada waktu petang pula, kami meneruskan aktiviti mandi kolam renang bersama anak-anak. Waktu malam, selepas anak-anak dah tidur, kami bermain permainan Bean Boozled (coklat busuk). Permainan ini kena ikut giliran untuk membuat putaran pada bekas berbentuk bulat. Siapa yang kurang bernasib baik, akan dapat coklat busuk dan kena makan! Itu salah satu cabarannya. Hari Ketiga pula kami bersiap-siap untuk daftar keluar,” cerita Seyha.

Kumpul Duit Untuk Reunion

Bagi merealisasikan perjumpaan ini Seyha turut menerangkan mereka sepakat menabung dan setiap ahli kumpulan perlu membayar RM50 sebulan.

“Sebenarnya, sebelum deadline reunion, kami akan ada tabung bersama untuk dikutip setiap bulan. Setiap daripada kami akan menyumbang RM50 sebulan. Kos ini bagi menampung perbelanjaan ketika berlangsungnya majlis tersebut. Sebagai contoh, sewa homestay, makanan (tengah hari dan malam), sewa juru foto dan dekorasi.

“Alhamdulillah. Majlis berjalan dengan lancar semuanya, walaupun ada anak yang meragam. Demi menjayakan majlis tersebut, kami gagahi juga untuk mendapatkan sesi fotografi terbaik sebagai kenang-kenangan ‘7 Petala Cinta’ walaupun masa tu anak-anak sedang meragam.

‘Inilah keunikkan reunion kami, bawa bersama dengan anak-anak. Jadi masa ni, geng-geng suami bolehlah rileks di rumah.

Reunion Setahun Sekali

Meneruskan perbualan, Seyha dan rakan-rakannya cukup gembira apabila ketujuh-tujuh ahli berjaya dikumpulkan pada reunion kali ini.

“Ya. Sebenarnya, ini  kali  kedua kami mengadakan reunion. Pertama kali kami buat pada tahun 2017, di Regalia Residence. Tapi masa itu kami kekurangan seorang ahli, Nik Syahirah. Dia ketika itu memilih berpantang di kampung bagi cahaya mata kedua.

“Apabila bertemu masing-masing cukup gembira, sudah tentu yang paling best bila masa bergosip. Nak tahu perkembangan masing-masing, kehidupan berumah tangga, melayan keletah anak-anak yang masih kecil dan kerjaya yang dibina.

“InsyaAllah, kalau ada rezeki dan umur yang panjang, kami memang tetapkan reunion setahun sekali wajib buat dan mesti kesemua tujuh ahli perlu hadir. Itu sudah pasti,” luah Seyha sambil tersenyum manis.

Published by
Norhayati Suboh